AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

 

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Jawatankuasa Fatwa telah mengulas kembali fatwa berkenaan nominasi CPF pada mesyuarat yang ke 24, bertarikh 3 Ogos 2010.

 

 

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه . وبعد ،

 

 

1        Syariat Islam telah menetapkan bahawa setiap harta yang dimiliki oleh seseorang akan menjadi sebahagian daripada tarikahnya (pusaka). Tarikah terikat dengan beberapa hukum agama, seperti pelunasan hutang- piutang si mati (seperti hutang zakat, haji dll.), pengagihannya mengikut wasiat si mati, sebelum diagihkan kepada ahli waris mengikut hukum faraidh.

 

2        Berkaitan wang CPF yang dimiliki oleh pencarum, Jawatankuasa Fatwa Muis telah memutuskan pada tahun 1971 bahawa wang CPF tersebut merupakan tarikah pencarum yang perlu dibahagikan mengikut faraidh. Fatwa tersebut juga menyentuh tentang status nominee (penama), bahawa seorang nominee itu hanyalah pengamanah, dan bertanggungjawab untuk membahagikan wang tersebut kepada ahli waris mengikut hukum faraidh.

 

3        Berdasarkan maklumbalas dari masyarakat, terdapat banyak kes di mana keluarga-keluarga Islam menghadapi kesulitan kerana Fatwa terdahulu tidak mengiktiraf segala nominasi yang dilakukan untuk tanggungan dan ahli keluarga yang lebih memerlukan.

 

4        Pada masa yang sama, terdapat banyak perubahan kepada pentadbiran wang CPF sejak 1971, terutama dari segi penerimaan wang CPF oleh si pencarum sewaktu hidupnya. Di antara perubahan terbaru dan yang ketara yang mempunyai implikasi terhadap hukum berkaitan wang CPF adalah bahawa wang simpanan CPF tidak akan diserahkan kesemuanya kepada pencarum secara serentak apabila tiba masa mengeluarkannya (draw down age). Sebaliknya, pencarum hanya akan memperolehi sejumlah wang secara bulanan yang dapat memenuhi keperluan perbelanjaan bagi dirinya sahaja.

 

5        Berpandukan dapatan di atas, maka Jawatankuasa Fatwa merumuskan perkara-perkara berikut:

 

i.        Setiap fatwa yang dikeluarkan secara umum kepada masyarakat tidak seharusnya menyempitkan pilihan yang ada. Fatwa perlu mengambil kira keadaan-keadaan dan situasi berbeza yang dihadapi setiap individu. Maka fatwa perlu memainkan peranan memberi ruang kepada masyarakat untuk menentukan maslahat yang diperlukan.

 

ii.       Jawatankuasa Fatwa tetap berpendapat bahawa wang CPF merupakan sebahagian dari tarikah, oleh itu bagi mereka yang tidak melakukan nominasi, ianya akan dibahagikan melalui faraidh.

 

iii.      Sistem nominasi merupakan cara pengurusan wang yang baru. Ia tidak terdapat di dalam penulisan dan karya para ulama dahulu. Namun, sistem nominasi ini ada beberapa persamaan dengan hibah.[1] 

 

iv.      Perbandingan di antara sistem nominasi dan hibah menghasilkan dapatan berikut:

Nominasi CPF

Hibah

Nominasi adalah untuk wang CPF milik peribadi.

Hibah hanya sah dengan harta milik peribadi.

Wang CPF masih lagi menjadi hak milik pencarum selagimana wang tersebut belum diserahkan kepada nominee.

Wang yang ingin dihibahkan terus menjadi hak milik pemberi sehingga penerima menerimanya (berlaku qabadh[2]).

Pencarum CPF berhak menarik balik nominasinya, selagimana tiada qabadh terhadap pemberiannya

Orang yang memberi hibah berhak untuk menarik balik / menukar hibahnya, selagimana tiada qabadh terhadap pemberiannya.

Pencarum CPF boleh meletakkan nama warisnya sebagai nominee.

Hibah boleh diberikan kepada ahli waris.

Tiada had bagi nominasi.

Tiada had bagi hibah.

Nominee hanya akan mendapat wang CPF selepas kematian pencarum.

Hibah boleh diterima (berlaku qabadh) selepas kematian pemberi, dengan syarat-syaratnya.

 

 

6        Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa terdapat dua aspek yang membezakan antara hibah dan sistem nominasi CPF. Ia adalah berikut:

 

Nominasi CPF

Hibah

Nominasi boleh dibuat pada jumlah wang CPF yang belum dimiliki oleh si pencarum.

 

Seseorang hanya boleh melakukan hibah pada harta yang sudah berada di dalam pemilikannya.

Sistem nominasi CPF mensyaratkan bahawa penerimaan (qabadh) hanya boleh berlaku selepas kematian tanpa perlu keizinan waris.

Sebahagian ulama mensyaratkan bahawa jika tiada qabadh sebelum kematian pemberi, maka hibahnya hanya boleh dilaksanakan dengan keizinan waris si pemberi.

 

7        Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa syarat di dalam hibah yang menyatakan bahawa harta yang diberikan mestilah sudah berada di dalam pemilikan si pemberi ketika hibah dibuat, adalah bertujuan mengelakkan ketidakpastian yang mengakibatkan penipuan (gharar) atau penganiayaan (zhulm) kepada si penerima. Di dalam nominasi CPF, walaupun akan terdapat penambahan kepada jumlah wang dalam simpanan si pencarum, unsur-unsur ketidakpastian, penipuan atau penganiayaan tidak wujud kerana niat dan kesungguhan si pemberi tidak diragui, ditambah pula dengan adanya perlindungan undang-undang CPF.

 

8        Jawatankuasa Fatwa berpendapat juga bahawa sistem nominasi boleh dianggap sebagai hibah kerana ianya dibuat sewaktu si pencarum masih hidup. Qabadh tidak berlaku mengikut ketetapan undang-undang CPF. Ini adalah berbeza dengan jenis hibah yang biasa yang boleh diterima (qabadh) yang mensyaratkan keizinan waris jika berlaku kematian si pemberi sebelum qabadh. Maka apabila pencarum membuat nominasi secara rasmi, ia merupakan satu bukti jelas tentang kesungguhan pencarum dan janjinya untuk memberi wangnya kepada nominee. Firman Allah swt :

 

] يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ [

Yang bererti: Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah segala perjanjian-perjanjian.   [Al-Maidah : Ayat 1]

 

Dan firman-Nya lagi:

] وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً[

Yang bererti: Dan tunaikanlah janji, sesungguhnya setiap janji itu akan dipersoalkan.   [Al-Isra’: Ayat 34].

 

9        Hukum asal dalam urusan muamalat ialah harus, berpandukan kaedah fiqh berikut:

الأَصْل فِي الْعُقُودِ وَالشُّرُوطِ الصِّحَّةُ إلا مَا أَبْطَلَهُ الشَّارِعُ أَوْ نَهَى عَنْهُ

 

Hukum asal bagi akad adalah sah, kecuali apa yang dibatalkan ataupun dilarang oleh Syara’. [3]

 

Maka, dasar Islam di dalam perkara berkaitan muamalat adalah meraikan kebaikan (maslahah) dan mengelakkan kerosakan (mafsadah).

 

10      Atas sebab-sebab tersebut, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa :

 

i.        Setiap pencarum CPF berkewajipan untuk menilai cara yang terbaik yang membawa maslahah dan mengelakkan mafsadah dalam menguruskan wang CPFnya. Dia boleh memilih untuk menggunakan instrumen nominasi atau pengagihan wang CPFnya mengikut hukum faraidh, atau kedua-duanya sekali. Perkiraan dan pertimbangan ini tertakluk kepada hal keadaan ahli warisnya, dan siapa yang lebih memerlukan kepada wang tersebut.

 

ii.       Sistem nominasi merupakan cara baru pembahagian harta. Cara ini tidak terdapat dalam penulisan dan karya para ulama terdahulu, namun ia dibenarkan kerana ia dianggap sebagai jenis hibah yang baru. Ia juga dapat menjaga maksud di sebalik faraidh, khususnya kerana perubahan yang berlaku pada undang-undang CPF, di mana pencarum tidak akan menerimanya setelah bersara dengan jumlah yang membolehkan dia berbelanja bagi tanggungannya. Pada masa yang sama, nominasi tidak boleh dibuat dengan niat dan tujuan menzalimi ahli waris yang lain.

 

11      Penerima wang CPF, samada melalui faraidh atau sistem nominasi, berkewajipan memastikan segala hutang si mati, jika ada, diselesaikan dahulu sebelum mengambil wang tersebut.

 

 

الله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

 

  

SYED ISA MOHD B SEMAIT

MUFTI NEGARA SINGAPURA

PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 



[1] Hibah: Sebuah pemberian di waktu hidup tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.

[2] Qabadh: Penerimaan secara zahir barang yang diserahkan pemberi kepada penerima.

[3] Ibn Qayim al-Jauziyy, I’laam al-Muwaqqi’in, 1:470; al-Syaatibiyy, al-Muwaafaqaat, 305