What is Baitulmal? 
            
 
What is faraidh? 
    
FAQ on inheritance
       
Inheritance Certificate
     
General Information       
  Other useful links 
  - Faraidh in AMLA 
                  
 
Public Education
on inheritance
   
 


FAQ-Menu
      
                
          

 

Soalan  1:

       Apakah itu faraidh dan adakah ia hanya kena-mengena dengan
yang sudah tiada?

 

   

 

Jawapan :

 

Hukum faraidh adalah khusus untuk harta yang telah ditinggalkan oleh pemiliknya
yang sudah meninggal dunia.

  
    

Soalan 2 :

 

Bolehkah harta peninggalan dibahagikan sama rata kepada waris-waris dengan
persetujuan masing-masing? 

       
  Jawapan :
 

Pembahagian harta pada hukum asalnya adalah mengikut hukum faraidh. Setiap
waris perlu mengetahui bahagian saham masing-masing mengikut hukum Islam.
Tetapi sekiranya waris-waris bersetuju untuk membahagi sama rata harta tersebut,
maka hukum pembahagian tersebut adalah dibolehkan.

     
  
    

Soalan 3 :

  Apa hukumnya orang yang tidak setuju dengan pembahagian harta mengikut faraidh?
       
  Jawapan :
  Hukum faraidh merupakan satu perintah yang ditentukan oleh Allah s.w.t melalui
firmannya dalam ayat-ayat yang jelas dalam Al-Qur'an. Ia bertujuan untuk menjamin
keadilan dan hak setiap ahli waris serta menjaga silaturahim antara keluarga. Sebagai
umat Islam, kita wajib mematuhi hukum ini.
   
  Bagaimanapun, sekiranya semua ahli waris bersetuju dan reda untuk membahagikan
harta ini dengan cara lain, ia boleh dilakukan kerana ia bersangkut dengan hubungan
sesama manusia.
       
             
       
   

Soalan 4 :

     Perlukah wang simpanan ibubapa yang meninggal dunia dibahagikankepada anak–anaknya mengikut hukum Islam?
             
Jawapan :
Wang simpanan arwah ibu atau bapa perlu dibahagikan mengikut hukum faraidh.
Akan tetapi para ahli waris  boleh menghalalkan bahagian yang diterima untuk
diserahkan kepada ahli waris yang lain.
       
        
                          

Soalan 5 :

Bilakah hak waris bermula? 
      
Jawapan :
Hak waris bermula apabila kematian seseorang itu telah dipastikan dan setelah
dilaksanakan semua hal-hal yang bersangkutan dengan harta itu, yakni:
       
     i.   Perbelanjaan mengurus jenazah secara berpatutan.
  ii.  Membayar hutang-hutang si mati, sama ada hutang dengan manusia atau  
       hutang dengan Allah termasuk zakat dan fidyah. 
  iii. Wasiat yang tidak melebihi 1/3 dan bukan untuk waris.
             
     
  
 

Soalan 6 :

 

Adakah wajib membuat wasiat ke atas harta peninggalan? 

   
  Jawapan :
  Mengikut ajaran Islam, orang Islam sangat–sangat digalakkan membuat wasiat
supaya tidak meninggalkan masalah kepada warisnya yang hidup dan kepada dirinya.
    
   

Soalan 7 :

   Bolehkah seseorang itu membuat wasiat untuk seorang waris agar mendapat
bahagian lebih daripada yang telah ditetapkan?
              
  Jawapan : 

Wasiat untuk ahli waris tidak sah kerana ahli waris mempunyai bahagian yang
telah ditetapkan dalam hukum faraidh.

     
        

Soalan 8 :

 

Bolehkah seorang Islam itu membuat wasiat agar harta pusakanya dibahagikan
menurut wasiat yang ditulis?

        
  Jawapan :
   

Di dalam Islam, pembahagian harta pusaka orang yang telah meninggal dunia
adalah menurut faraidh seperti yang telah ditetapkan di dalam Al-Qur’an. Tujuan
berwasiat adalah untuk memberi harta pusaka kepada yang tidak mewarisi dan
ia tidak boleh melebihi 1/3 harta tersebut. Hukum faraidh penuh dengan hikmahnya,
seperti mana perintah-perintah Allah s.w.t yang lain berhikmah juga dan adalah baik
kita sebagai orang Islam menghormati perintah tersebut kerana Allah Maha Mengetahui.

              
       

Soalan 9 :

  Apakah hukumnya wasiat yang melebihi 1/3 dari harta pusaka?
      
  Jawapan :
  Wasiat yang melebihi 1/3 bahagian dari harta pusaka hukumnya bergantung kepada
keredaan para waris yang berhak. Jika tidak ada keredaan mereka, maka wajib
dikurangkan kepada had maksimum wasiat iaitu 1/3 dari harta pusaka dan selebihnya
hendaklah dibahagikan kepada waris. Izin waris itu hanya diakur sah jika ia diberikan
setelah pembuat wasiat tersebut meninggal dunia.
        
        
   

Soalan 10 :

     Bolehkah seorang isteri itu membuat wasiat kepada orang lain dan tidak pada
suaminya sendiri?
         
  Jawapan :
  Wasiat termasuk di dalam perkara-perkara yang harus. Wasiat dianggap sah jika
diberikan kepada sesiapa sahaja yang bukan daripada kalangan pewaris dan tidak
melebihi 1/3 daripada harta pusaka.
       
      

Soalan 11 :

  Apakah boleh seseorang Islam membuat wasiat yang mana pewarisnya adalah
orang bukan Islam? 
     
  Jawapan :
 

Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa adalah dibolehkan seseorang Islam
membuat wasiat kepada seseorang bukan Islam selagi ianya tidak melebihi 1/3
dari harta pusaka tersebut.

      
     

Soalan 12 :

  Apakah kedudukkan anak luar nikah dari segi mewarisi harta arwah ayahnya?
        
  Jawapan :
  Garis pandu bagi seorang anak luar nikah kepada bapanya adalah seperti berikut :
              
  i)  Jika bapa tersebut menikahi ibunya, maka bapa tersebut menjadi bapa tiri, 
    bukan bapa kandung.
  ii)  Dia tidak boleh dibin atau dibintekan kepada bapa tiri itu.
  iii) Dia tidak boleh mewarisi harta bapa tiri itu, dan juga sebaliknya, bapa tiri
     itu tidak boleh mewarisi hartanya kelak.
  iv) Dia boleh menerima wasiat dari bapa tirinya, kerana dia bukan ahli waris
     bapa tirinya.
  v) Bapa tirinya tidak boleh menjadi wali nikah baginya.
   
  Jika seorang bapa tiri ingin memberikan sebahagian dari hartanya kepada anak
tirinya sewaktu dia hidup, maka itu dianggap sebagai hadiah dan tidak tertakluk
pada faraidh.
        
       

Soalan 13 :

  Bolehkah mewasiatkan harta kepada anak angkat?
        
  Jawapan :
  Boleh tetapi tidak melebihi dari sepertiga harta pusaka.
  
     

Soalan 14 :

 

Bolehkah anak tiri mewarisi harta pusaka bapa atau ibu tirinya yang sudah meninggal?
Bagaimana pula dengan anak angkat? 

       
  Jawapan :
  Dalam hukum faraidh, anak tiri, anak angkat dan isteri yang telah diceraikan semasa
hidup tidak dianggap sebagai ahli waris yang berhak. Oleh itu, anak tiri tidak boleh
mendesak balu bapa tirinya untuk menjual rumah untuk mereka mendapat bahagian
dari rumah tersebut. Mereka hanya berhak mendapat harta pusaka dari bapa
kandungnya sendiri.
          
      

Soalan 15 :

  Jika si mati tidak mempunyai sebarang waris, bolehkah anak angkatnya menuntut
seluruh harta peninggalannya? 
   
  Jawapan :
  Anak angkat tidak boleh mewarisi seluruh harta si mati. Ini memandangkan
anak angkat itu bukanlah waris yang sah dari sudut hukum agama Islam. Namun,
sekiranya si mati ada meninggalkan wasiat yang disaksikan oleh dua orang saksi
lelaki dewasa, maka hanya 1/3 bahagian sahaja yang boleh dituntutnya. Yang
selainnya mestilah diserahkan kepada Baitul Mal yakni Muis sebagai amal jariah
si mati dan digunakan untuk maslahat umum masyarakat Islam di Singapura.
        
        
Soalan 16 :      
  Yang mana harus diselesaikan dulu? Peninggalan harta atau hutang
amalan si arwah?
      
Jawapan :
  Mengikut hukum faraidh, harta pusaka perlu dibahagikan mengikut
urutan berikut :
   
  i)  Menyelesaikan segala perkara yang bersangkut-paut dengan
     harta, seperti hutang si mati
  ii) Menyelesaikan urusan pengebumiannya secara sederhana 
  iii) Menyelesaikan segala perkara yang bersangkut-paut dengan si mati,
    seperti Kaffarah puasanya, hajinya, zakatnya.
iv) Wasiat si mati
  v) Pembahagian kepada ahli waris yang berhak.
       
       
Soalan 17 :      
  Adakah wang CPF (Tabung Simpanan Pekerja) yang telah diletakkan nama
“calon” (nominee) oleh si mati menjadikan calon tersebut pemilik harta wang
CPF itu secara  mutlak? 
         
  Jawapan :
  Sila klik sini  untuk mengetahui Fatwa terbaru yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa mengenai nominasi CPF pada 3 Ogos 2010.  

 

       
Soalan 18 :      
  Adakah wang pampasan dari Skim Insurans CPF Dependents perlu
diagihkan mengikut faraidh?
                       
  Jawapan :
  Skim Insurans CPF tersebut adalah sebuah skim ko-operatif. Skim ini sama seperti
skim Khairat Kematian. Wangnya dianggap halal dan wang pampasannya harus
diagihkan menurut hukum faraidh.
                 
                             
Soalan 19 :      
  Apa hukumnya menerima wang pampasan daripada syarikat insurans?
                 
  Jawapan :
 

Wang pampasan insurans dibahagikan kepada dua:

   
 

i. Wang yang dibayar (premium) oleh pemegang polisi (si mati).

  ii. Wang lebihan yang diberikan oleh syarikat insurans.
   
  Wang yang dibayar oleh pemegang polisi (si mati) adalah termasuk dalam harta
peninggalan yang harus diagihkan menurut hukum faraidh.  Wang lebihan yang diterima
dari syarikat insurans dianggap sebagai wang syubhah (nota): kalau syarikatnya
mengamalkan kaedah takaful atau insurans Islam, maka ia tidak dikira syubhah. Tetapi yang
mana taraf halal dan haramnya adalah kurang jelas, wang ini harus diberikan kepada
BaitulMal agar ia digunakan untuk kebaikan masyarakat.
               
                                
Soalan 20 :      
Adakah flat peninggalan yang telah dibeli oleh seseorang dengan bekas isterinya
secara "joint-tenancy" menjadi milik mutlak kepada bekas isteri ketika bekas suami
meninggal dunia?
                    
  Jawapan :
  Setelah mengkaji kedudukan "joint-tenancy", Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa
flat tersebut bukanlah harta mutlak milik bekas isteri almarhum. Bekas isteri kepada yang
meninggal dunia itu hanya mendapat separuh bahagian (50%) daripada nilai harga rumah
tersebut. Bahagian ini diperolehi atas sebab hak beliau sebagai pembeli bersama (joint-tenants)
                      
  Bakinya adalah bahagian yang dimilik waris si mati. Bahagian baki ini tidak boleh diberikan
kepada bekas isteri si mati kerana mereka telah bercerai sebelum si suami meninggal dunia.
Maka bekas isteri tidak mendapat apa-apa daripada bahagian baki ini kerana beliau bukan
lagi merupakan isteri dan waris kepada si mati.
   
                           
Soalan 21 :      
  Apakah harus difaraidhkan jika pembayaran hutang kepada si mati itu dilunaskan?
                        
  Jawapan :
  Jika seseorang itu sudah meninggal dunia, dan kemudian datang seseorang melunaskan
hutangnya kepada si mati tersebut, maka wang yang dibayar itu adalah dianggap sebagai
harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraidh.
                                                         
   
Soalan 22 :      
  Adakah pewaris berhak meminta segala hutang dibayar kepada si mati sebelum harta
warisan diagihkan? 
               
  Jawapan :
  Segala hutang-piutang menjadi tanggungjawab si peminjam membayarnya tidak kira
siapa yang meminjamkan. Lantaran itu, pewaris berhak meminta orang yang diamanahkan
untuk menguruskan harta selepas kematian untuk meminta peminjam agar  hutang tersebut
dibayar kerana harta itu merupakan harta warisan yang perlu diagihkan mengikut faraidh. 
                    
   
                
  Soalan 23 :      
  Bolehkah harta pusaka si mati dilaburkan dan hasil keuntungannya digunakan untuk
membiayai pendidikan anak, cucu dan cicit si mati?
               
  Jawapan :
  Perkara tersebut boleh dilakukan dengan syarat semua ahli waris yang berhak telah
melepaskan bahagian mereka dengan reda.
                      
                         
Soalan 24 :      
  Bolehkah seorang wanita yang kematian suaminya menggunakan wang sedekah yang
diterima dari kematian itu untuk kegunaan harian?
                     
  Jawapan :
  Wang yang disedekahkan ketika kematian adalah milik keluarga yang hidup. Maka itu,
ia tidak termasuk di dalam kategori harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraidh,
lantas boleh digunakan untuk keperluan harian keluarga si mati.
       

   
faraidh arrow   
Back To Top    

 

 

 

 

 

Last update on : 14/10/2010