Zakat: Lambang Keadilan Sosial Islam

Zakat ialah rukun Islam ketiga dan merupakan bahagian harta yang ditentukan oleh Allah S.W.T. untuk diagihkan kepada 8 kategori (asnaf) yang berhak menerimanya. Pengertian Zakat dalam bahasa Arab ialah tumbuh, bertambah, subur, bersih dan penuh berkat. Ianya adalah ibadah dari segi harta. Sebagai lambang keadilan sosial Islam, Zakat menyucikan jiwa, membersihkan dan menambahkan harta anda serta menjauhkan kemiskinan.
Zakat dalam Quran dan Hadith:
"Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu..." (Al-Baqarah: Ayat 267)
"Islam dibina atas lima perkara: mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, menunaikan Zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji bagi yang mampu." (Riwayat Ibnu Umar R.A.)
Hikmah Zakat untuk individu:
- Menyuci dan mengembangkang harta.
- Melahirkan rasa bersyukur dengan pemberian Allah.
- Membawa suatu rasa keamanan dan kesejahteraan.
Hikmah Zakat untuk masyarakat:
- Mengurangkan perasaan iri hati di antara mereka yang kurang berkemampuan.
- Memberi satu panduan Islam dalam menguruskan ekonomi dan kewangan.
- Membolehkan pembahagian sebahagian kemewahan orang-orang yang kaya kepada orang-orang yang miskin.
Syarat-syarat wajib berzakat:
- Seseorang itu adalah Muslim.
- Seseorang mempunyai hak milik penuh harta.
- Cukup Nisab: Harga pasaran emas yang beratnya 86 gram.
- Cukup Haul: Cukup memiliki harta selama setahun hijrah (355 hari).