Kemusykilan Agama
Haji
Bantuan Kewangan
Zakat
Maklumat Umum
i-FAQ (Malay) | (English)

Contoh:- Apa itu makanan Halal?

Kemusykilan Agama
Kemusykilan   
  Zakat, Kewangan, Makanan dan Minuman, Korban & Aqiqah, Toharah, Kemusykilan wanita, Sains & Perubatan, Kemusykilan lelaki, Pendermaan organ dalam Islam, Akhlak, Aqidah, Faraid, Haji & Umrah, Hubungan antara kaum, Ibadah, Isu haiwan, Isu kontemporari, Kematian
Fatwa   
  Prosedur Fatwa
Puasa   
  Puasa Sunnah, Qadha' & Fidyah, Yang membatalkan puasa, Amalan di bulan Ramadan, Perlaksanaan puasa
Solat   
  Solat Jemaah, Solat Sunnah, Qadha', Jamak & Qasar, Solat Jumaat, Perlaksanaan Solat, Yang membatalkan solat
Isu anak
 
1. Adakah benar bahawa seorang ibu susuan dan suaminya sudah menjadi mahram kepada anak susuannya?

Sekiranya anda menyusukan anak sehingga kenyang, lebih dari lima kali, maka anak tersebut menjadi anak susuan bagi anda dan suami anda. Ketika itu, statusnya adalah sama seperti anak betul anda, iaitu tidak batal air sembahyang dan tidak perlu menutup aurat seperti orang luar. Walaubagaimanapun, harta pusaka tidak boleh diwarisi antara satu sama lain.




2. Apakah pandangan Islam terhadap memberi anak kandung sendiri kepada orang lain kerana tidak mampu?

Memberikan anak sendiri sebagai anak angkat kepada orang lain, tidak salah dalam Islam. Namun, perlu difikirkan kesan-kesan sosial dan emosi. Sekiranya dapat dipastikan benar-benar bahawa pasangan yang akan mengambil anak tersebut adalah baik dan boleh membesarkan anak itu dengan baik mengikut landasan Islam, dan ibu-bapa kandung anak itu sememangnya tidak mampu untuk membesarkan anak itu dari sudut emosi, kewangan dan ugama, maka tiada salah untuk memberikan anak itu sebagai anak angkat.

Sekiranya anak itu tidak dapat dibesarkan dengan baik oleh keluarga angkatnya, maka dosanya kembali kepada ibu-bapa kandung. Sayugia perlu diingatkan bahawa anak angkat tidak boleh mewarisi harta ibu-bapa angkatnya, tidak boleh berbinkan kepada bapa angkatnya, dan tidak boleh melihat aurat ibu-bapa angkatnya. Hukumnya adalah hukum orang luar dalam keluarga lain. Dalam masa yang sama, anak angkat itu masih boleh mewarisi harta ibu-bapa kandungnya dan wajib berbinkan kepada bapa betulnya.




3. Apakah hukum mengambil anak angkat dalam Islam?

Pengambilan anak angkat adalah satu proses di mana hak dan tanggungjawab penjagaan seseorang di bawah usia 21 tahun diserahkan oleh ibu bapa kandungnya atau penjaganya kepada pasangan ibu bapa lain.

Dalam Islam, mengambil anak angkat dibolehkan dalam erti kata menjadikan seseorang yang bukannya anaknya untuk dididik, diasuh dan diperlakukan dengan baik, sama seperti anak sendiri.




4.

Bolehkah meletakkan nama bapa angkat dibelakang nama anak angkatnya dengan meniadakan perkataan "bin" atau "binte"?

Islam melarang seseorang dari menyatakan dengan rasmi bahawa anak angkatnya adalah anaknya dari sudut namanya yang dibinkan kepada bapa angkatnya.

Meniadakan kalimat 'bin' dari nama anak tersebut, tetapi meletakkan nama bapa angkatnya selepas nama anak tersebut, adalah dilarang oleh Islam juga. Kerana sudah menjadi adat zmaan sekarang terutama di Singapura yang mana kalimat 'bin' digugurkan dari nama anak tersebut. Maka sekiranya diletakkan nama bapa angkatnya selepas namanya samada dengan kalimat 'bin' atau tiada 'bin', ia adalah dilarang.




5. Bagaimanakah caranya mengIslamkan anak angkat yang datang dari keluarga yang bukan Islam?

Niat anda untuk mengambil anak angkat adalah satu yang dipuji dalam Islam, apatah lagi mengambil anak angkat bukan orang Islam. Tidak perlu mengislamkannya, kerana setiap anak yang lahir adalah dalam keadaan fitrah, bersih. Maka semulajadinya ia adalah seorang Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya lah yang mengyahudikannya, atau mengkristiankannya atau memajusikannya.

Didiklah anak itu mengikut landasan Islam.




6. Bolehkah anak angkat di bin/ binte kepada bapa angkatnya untuk mengatasi soalan emosinya?

Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 5, yang bermaksud: Dan panggillah mereka (anak-anak angkat) dengan nama bapa (betul) mereka.

Oleh itu, tidak boleh dibin/bintekan anak angkat itu kepada bapa angkatnya.




7. Bolehkah mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat?
Mengambil anak angkat dengan tujuan untuk menjaga dari segi kesihatan, pelajaran dan memberi kasih sayang adalah satu perkara yang digalakkan. Yang menjaga anak itu merupakan orang yang akan mencorak kehidupan anak tersebut. Dari itu ibu bapa angkat bertanggungjawab dalam pembangunan anak yang diangkat. Tiada salahnya atau bahayanya mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat.

Walaubagaimanapun anak itu tidak dikira sebagai anak dari keturunan ibu bapa angkatnya. Dari itu, anak angkat perlu dibinkan pada keluarga asalnya atau pada Abdullah. anak angkat juga tidak dikira sebagai mahram, dari itu kehidupan bersama anak angkat khususnya yang sudah meningkat dewasa perlu mengikuti garispandu syara'. Melainkan anak itu disusukan oleh ibu angkatnya dan anak itu akan menjadi anak susuan.




8.

Masihkah seorang anak yang dihasilkan diluar nikah dianggap sebagai anak luar nikah jika ibu bapanya telah diijab-kabulkan?

Seseorang yang telah melakukan hubungan jenis di luar nikah, dianggap sebagai telah melakukan zina, satu perbuatan yang besar dosanya di sisi Allah s.w.t. Orang itu perlu melakukan taubat nasuha.

Anak yang lahir hasil dari hubungan itu dianggap sebagai anak di luar nikah, walaupun ibunya akhirnya bernikah dengan lelaki yang bertanggung-jawab terhadap penghamilan tersebut.  Anak tersebut dianggap sebagai anak luar nikah sebaik sahaja ia terhasil di luar pernikahan yang sah.

Anak tersebut adalah anak sah ibunya. Tetapi ia bukan anak yang sah bagi bapanya, walaupun ia adalah zuriat bapanya. Lelaki tersebut tidak berhak untuk menjadi wali bagi anak tersebut (jika perempuan), dan tidak berhak untuk mewariskan hartanya kepada anaknya itu. Dia juga tidak berhak meletakkan namanya selepas nama anak tersebut (bin/binte) kerana ini akan menjadikannya sebagai bapa yang sah, sedangkan ia bukan bapa yang sah. Mereka juga tidak mewarisi antara satu sama lain.




9.

Perlukah orang yang mendapat tahu dia adalah anak luar nikah menukar bin/bintenya kepada Abdullah atau biarkan saja kepada nama asal?

Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 5, yang bermaksud: Dan panggillah mereka (yang bukan anak kandung kamu) dengan nama bapa (kandung) mereka.

Oleh itu, seorang anak luar nikah tidak boleh dibintikan kepada bapa angkatnya, walaupun bapa angkat tersebut adalah bapa kandunganya di luar nikah. Maka dia wajib menukar nama bte kepada bte Abdullah apabila dia sudah mengetahui hakikat kedudukan perkara sebenar. Jika dia tidak menukarnya, dia akan menanggung dosa. Pernikahannya akan terjejas dan menjadi tidak sah jika walinya adalah bapa kandungnya di luar nikah. Anak luar nikah harus berwali hakim jika ingin bernikah.




10. Apakah hak-hak seorang anak yang dilahirkan diluar nikah?
Menurut mazhab Syafi’i, tiada hubungan langsung antara seorang bapa dan anaknya yang dilahirkan diluar nikah. Dalil yang biasanya digunakan adalah sebuah Hadith mengenai sebuah pertikaian tentang hak jagaan seorang anak. [Sila rujuk: Sahih Muslim, Jilid II Hadith 3435]. Sa’d ibn Abi Waqas telah mendakwa bahawa anak tersebut adalah anak saudaranya kerana saudara lelakinya, Utba telah memberitahunya bahawa ia tersebut adalah anaknya dan juga kerana anak itu mempunyai persamaan dengan Utba. Walaubagaimanapun, ‘Abd ibn Zaman juga telah mendakwa bahawa anak itu adalah saudara lelakinya kerana ia dilahirkan di katil bapanya. Pada zaman Rasulullah s.a.w, kes ini adalah kes yang melibatkan rentapan kasih sayang dan bukan tentang anak yang dilalaikan. Mengikut prinsip bahawa anak adalah milik katil pernikahan, Rasulullah s.a.w telah memberi hak jagaan kepada bapa yang sah dan bukan bapa betulnya.


11. Jika pasangan bernikah semasa wanita hamil luar nikah, adakah mereka perlu bernikah semula selepas anak dilahirkan?
Dalam Islam, nikah boleh dilakukan dimana sahaja dan dalam keadaan apa sahaja sekalipun kecuali dalam keadaan ihram untuk Haji dan Umrah. Oleh itu, nikah semasa wanita sedang hamil luar nikah dibolehkan dan tidak perlu bernikah lagi selepas melahirkan anak. Walaubagaimanapun, lelaki yang menghamilkan wanita itu tidak dibenarkan mem’bin’kan anak itu dengan namanya kerana ini adalah sebagai denda bagi mereka yang melakukan zina dan menghamilkan wanita diluar nikah.


12. Benarkah wanita hamil luar nikah jika bernikah kurang dari tiga bulan dari tempoh kehamilan, anaknya boleh dibin/ btekan kepada bapanya?

Ulama bersepakat bahawa had minimum kandungan adalah 6 bulan, berdasarkan ayat-ayat Al-Quran.

Maka, jika seseorang itu berzina, dan kemudian berkahwin kurang dari tiga bulan selepas melakukannya, maka tempoh kehamilannya selepas dia bernikah adalah selama 6 bulan. Jika tiada dalil yang menyatakan bahawa dia berzina, maka anaknya dianggap sah dari suaminya itu.

Namun, dalam zaman sekarang yang telah canggih ilmu kedoktoran dan alat kesihatan, tidak sukar untuk mengetahui samada bayi yang lahir adalah 6 bulan atau 9 bulan. Oleh itu, apabila seorang wanita telah melahirkan anak selepas 6 bulan berkahwin, dan bayi yang keluar berumur 9 bulan, maka tidak syak lagi bahawa anak tersebut adalah anak luar nikah. Ini adalah kerana had 6 bulan itu adalah dari tafsiran para ulama, dan bukan lafaz yang jelas dari Al-Quran atau hadith. Maka ijtihad para ulama dahulu akan terbatal dengan kepastian ilmu kedoktoran yang lebih tepat zaman sekarang.

Apabila telah dipastikan bahawa seseorang wanita itu berzina, samada ia melahirkan anak selepas 6 bulan kandungan, atau kurang 6 bulan kandungan, maka anak yang lahir tidak boleh dibinkan kepada suaminya. Ia adalah anak tiri suaminya itu, walaupun benihnya telah disemai oleh suaminya itu sebelum mereka berkahwin.




13. Jika seorang wanita bernikah semasa hamil luar nikah, bolehkah anak didalam kandungan itu di’bin’kan kepada bapanya?

Anak dianggap sebagai anak luar nikah apabila ia dihasilkan diluar nikah, tidak kira samada ibunya menikahi lelaki yang menghamilkannya atau tidak. Anak luar nikah tidak boleh di’bin’kan kepada lelaki itu, walaupun lelaki itu telah bernikah dengan ibunya. Walaubagaimanapun, ia masih dianggap anak yang sah bagi ibunya.

 

Oleh itu, anak itu tidak boleh di’bin’kan kepada bapanya.


14. Apakah hukum meletakkan bin/ binte pada nama?

Rasulullah s.a.w dalam perjanjiannya dengan orang-orang Quraisy di Hudaibiyah meletakkan namanya sebagai Muhammad bin Abdullah. Baginda menggunakan perkataan bin. Maka adalah sunat bagi umat Islam ikut cara Rasulullah s.a.w dalam meletakkan bin/bte pada nama mereka.

Namun, jika dengan tidak meletakkan bin/bte akan menimbulkan fitnah, sebagai contoh adakah anak tersebut adalah anak yang sah atau tidak, maka menjadi wajib untuk meletakkan bin/bte pada nama anak.

Umat Islam perlu berbangga dengan tradisinya. Dan antara tradisi umat Islam adalah meletakkan bin/bte kepada nama bapa untuk mengekalkan keturunan yang nyata.




15. Bolehkah seorang anak yang salah satu daripada ibu bapanya bukan Islam, menghadiri madrasah atau memasuki masjid untuk belajar seperti kanak-kanak Islam yang lain?
Adalah wajib bagi seorang ibu atau bapa Islam untuk menggalakkan anaknya untuk belajar tentang Islam. Jika ibu atau bapanya telah melakukan zina kerana bernikah secara sivil, sekurang-kurangnya dia harus menggalakkan anaknya untuk mempelajari tentang Islam dan menjadi seorang Islam yang baik. Anak itu boleh menghadiri madrasah walaupun salah satu daripada ibu bapanya sahaja yang Islam dan walaupun namanya bukan nama Islam.


16. Jika terdapat keganasan di kalangan keluarga, adakah anak akan dipisahkan dari keluarga?
Anak adalah milik ibu dan bapanya. Oleh itu, jika ada tanggapan bahawa ada keganasan keatas anak tersebut, adalah tanggungjawab ibu bapanya untuk melindunginya. Jika salah satu atau kedua-duanya tidak dapat melindunginya, mereka boleh meminta bantuan dari pihak kerajaan. Perkara ini dibolehkan oleh


17. Apakah perkara-perkara yang sunat dilakukan apabila lahirnya seorang bayi?

Apabila seseorang bayi itu lahir, adalah sunat untuk lakukan berikut:

1) Azan di telinga kanan, dan iqamat di telinga kiri (tidak kira lelaki atau perempuan)

2) Memberikan nama pada hari ketujuh atau sebelumnya.

3) Mencukur rambut bayi pada hari ketujuh atau selepasnya. Berat rambut bayi itu dianggarkan dengan nilai emas dan kemudian disedekahkan kepada fakir miskin.

4) Melakukan aqiqah dengan menyembelih 2 ekor kambing untuk anak lelaki, dan seekor kambing untuk anak perempuan. Di Singapur, aqiqah boleh dilakukan pada Hari Raya Haji.

5) Membawa bayi tersebut kepada seorang yang soleh untuk ditahnikkan dengan kurma atau sesuatu yang manis.




18. Apakah hikmahnya sebalik ibadah sunat mencukur rambut bayi yang baru lahir?

Adalah sunat dalam Islam untuk mencukur kesemua rambut bayi yang baru lahir. Sebaik-baiknya pada hari ketujuh. Rambut tersebut ditimbang, atau dianggarkan beratnya. Kemudian dianggarkan berat rambut tersebut dengan nilai emas, dan kemudian nilai itu diberikan kepada fakir miskin.

Ibadah ini mempunyai dua hikmah: rohani dan jasmani. Dari sudut rohani, ia menggalakkan kita agar menunjukkan rasa syukur kepada Allah s.w.t atas anugerah bayi tersebut, dan berkongsi rasa gembira itu dengan mereka yang kurang kemampuan dengan memberi mereka sedekah. Dari sudut jasmani pula, ia menghilangkan rambut yang telah lama berada dalam rahim ibu, dan mengurut ubun-ubun rambut agar segala kotoran yang terselit dalam ubun-ubun tersebut terkeluar, dan akhirnya menumbuhkan rambut yang baru dan sihat.




19. Bolehkah seseorang itu mencukur rambut bayinya selain dari hari aqiqah (iaitu pada bila-bila masa)?

Bagi bayi yang baru lahir, terdapat empat perkara yang harus dilakukan oleh ibu bapanya:

 

1.        Untuk melaungkan azan dan iqamat di telinga bayi. Adalah sunat untuk meletakkan sedikit kurma atau madu di langit-langit mulut bayi tersebut.

 

2.        Untuk memberikan nama yang baik untuk bayi itu.

 

3.        Untuk mencukur rambutnya dan bersedekah jumlah wang yang sama dengan berat rambut yang dicukur.

 

4.       Untuk melakukan aqiqah.

 

Semua perkara-perkara ini boleh dilakukan pada masa-masa yang berlainan. Akan tetapi, adalah sunat untuk melakukan nombor 2 hingga 4 pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi.



20. Apakah makna disebalik mencukur rambut bayi yang baru lahir dan meletakkan rambut yang dicukur itu didalam kelapa yang dihias dan mengadakan kenduri yang menghidangkan nasi kuning, bubur putih dan bubur coklat?

Islam menggalakkan orang Islam untuk mencukur rambut bayi yang baru lahir kerana ia telah berendam dalam beg air (water bag) selama beberapa bulan. Walaupun sudah dibersihkan, akan terdapat segelintir darah kering dan air di kulit kepala bayi tersebut. Rambut baru yang akan tumbuh akan membawa keluar kekotoran tersebut dan pada masa yang sama membawa kepada rambut yang bersih dan sihat.

 

Meletakkan rambut yang dicukur ke dalam buah kelapa ynag dihias bukanlah sesuatu amalan Islam. Ia lebih berdasarkan adat dan oleh itu, orang Islam tidak dibenarkan melakukannya kerana ia berdasarkan kepercayaan karut.

 

Mengadakan kenduri yang menghidangkan nasi kuning, bubur putih dan coklat juga nukan berdasarkan Islam. Makanan yang dihidangkan di sebuah kenduri terpulang kepada citarasa selagi mana ia adalah halal. Mengadakan kenduri sebenarnya bukanlah wajib.



21.

Apakah yang harus dilakukan dengan uri bayi selepas dilahirkan?

Uri adalah sebahagian dari anggota badan. Setiap anggota badan yang berpisah disunatkan agar ditanam. Namun, ia tidak perlu dibersihkan dan dibungkus dengan kain putih.

Sekiranya menanam anggota badan tersebut boleh membawa fitnah, seperti menyebabkan pihak polis mengesyaki sesuatu, atau tidak ada tempat untuk menanamnya, maka boleh sahaja membuang anggota badan tersebut.




Top