PENGENALAN
MABIMS adalah sebuah bentuk kesepakatan di peringkat
serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi memelihara dan
menjaga kebajikan masyarakat Islam dengan tidak mencampuri hal
ehwal politik negara masing-masing. Nama penuh MABIMS ialah Pertemuan
Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam,
Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

Pertemuan MABIMS dan SOM Pertama pada 7 Ogos 1989 di Negara
Brunei Darussalam.
SEJARAH AWAL PENUBUHAN
Sejarah awal penubuhan MABIMS bermula dari Persidangan Menteri-Menteri
Waqaf dan Hal Ehwal Agama kali keempat yang telah berlangsung
pada 12 hingga 14 Syawal 1409 bersamaan 17 hingga 19 Mei 1989
di Jeddah, Arab Saudi. Sebanyak 41 buah negara Islam dan beberapa
buah pertubuhan serta badan-badan Islam menghadiri persidangan
tersebut.
Turut hadir di persidangan tersebut ialah menteri-menteri dari
Negara Brunei Darussalam iaitu Yang Berhormat Pehin Jawtan Luar
Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr.Ustaz Haji Mohd. Zain bin Haji
Serudin, Menteri Hal Ehwal Ugama, dari Republik Indonesia iaitu
Yang Terhormat Haji Munawir Sjadzali M.A, Menteri Agama, dan dari
Malaysia iaitu Yang Berhormat Dato Dr.Mohammad Yusof bin Haji
Mohamed Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Agama MABIMS di Brunei Darussalam, Ogos 1994
Ketiga-tiga menteri berkenaan telah memikirkan akan perlunya mengadakan
kerjasama yang lebih rapat antara ketiga negara berkenaan sebagai
langkah susulan bagi mencapai tujuan-tujuan dalam persidangan
di Jeddah itu iaitu cara-cara meningkatkan dakwah, aliran-aliran
yang mengancam dunia Islam dan penyelarasan antara media-media
yang bekerja dalam bidang dakwah.
Setelah dibuat beberapa perjumpaan dan mesyuarat di peringkat
Pegawai-
Pegawai Tinggi dari ketiga-tiga negara tersebut, maka Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Dipertuan
Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan supaya Negara Brunei
Darussalam menjadi tuan rumah pertama bagi Pertemuan Tahunan Tidak
Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik
Indonesia dan Malaysia. Pada hari Isnin, 5 Muharram 1410H bersamaan
7 Ogos 1989 diadakan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri
Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Malaysia
pertama ( MABIMS 1) di Negara Brunei Darussalam berlangsung di
Pusat Dakwah Islamiah.
Republik Singapura menjadi anggota penuh bagi pertemuan tersebut
pada tahun 1994.
Sebelum itu Republik berkenaan hanya diwakili oleh gawai-Pegawai
Tingginya sahaja bagi menghadiri mana-mana pertemuan dan mesyuarat
MABIMS. Republik Singapura yang diwakili oleh Yang Berhormat Abdullah
Tarmugi, Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat
Islam Republik Singapura, menjadi anggota penuh pada MABIMS ke
5 yang berlangsung di Langkawi, Kedah, Malaysia pada hari Rabu
dan Khamis 25-26 Safar 1415H bersamaan 3-4 Ogos 1994M.

Pegawai Tinggi Negara Anggota MABIMS di Singapura, September
1994
MATLAMAT
Meujudkan dan mengukuhkan semangat persaudaraan yang sediada di
kalangan umat Islam di Asia Tenggara.
Sebagai wadah untuk bermuzakarah, bertukar maklumat, pengetahuan,
bahan kajian dan berkongsi pengalaman dan kepakaran di kalangan
umat Islam serantau dalam menangani perkara-perkara yang menyangkut
kepentingan bersama dalam mempertingkat dan memantapkan akidah
dan syariah.
Untuk mengangkat kedaulatan umat Islam Asia Tenggara dalam pengembangan
ekonomi, sosial dan kebudayaan Islam.
Untuk menjadi model atau contoh kepada umat Islam sejagat tentang
satu budaya kerjasama serantau yang berjaya mentadbir, mengatur
dan mengurus hal ehwal Islam.
Untuk memahami sistem perundangan dasar dan peraturan pentadbir
hal ehwal Islam di kalangan negara-negara anggota.
|