Fatwa Title

Fidyah dan kaffarah dengan nilai wang

Soalan :

Adakah boleh dikeluarkan fidyah/kaffarah dengan nilai wang ?

 

Jawapan : 

Agama Islam didatangkan adalah untuk menjaga kebaikan manusia dan mencegah dari sebarang kerosakan di bumi Allah ini. Begitu juga ianya bermaksud untuk membina masyarakat yang seimbang daya dan kekuatannya. Yang kuat membantu yang lemah dan yang kaya membantu yang miskin dalam suasana persaudaraan, hormat menghormati dan belas kasihan mengikut panduan Ilahi serta taat kepada suruhanNya.

Orang yang miskin dan yang lemah senantiasa mendapat pembelaan yang sewajarnya dalam syariat Islam. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"ابغوني في ضعفائكم إنما تنصرون وترزقون بضعفائكم"[1]

Ertinya: "Dapatkanlah saya bagi membantu orang-orang kamu yang lemah, sesungguhnya kamu mendapat bantuan Ilahi dan mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan kamu kepada orang-orang kamu yang lemah.”

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa besarnya kedudukan orang yang membantu para janda dan miskin dengan sabdanya:

الساعي على الأرملة والمسكين كالمجاهد في سبيل الله[2]

Ertinya : "Orang yang berusaha untuk membantu janda-janda dan orang-orang miskin adalah seumpama orang yang berjihad pada jalan Allah.” 

Islam mewajibkan setiap Muslim berusaha untuk mendapatkan rezekinya dengan bekerja supaya tidak menjadi beban kepada orang lain, tetapi jika seseorang itu tidak mampu bekerja maka pihak negara atau masyarakat Islam wajib membantu orang yang dalam kesusahan ini. Al-Quran telah menentukan bahawa orang-orang yang tidak berkemampuan mempunyai hak pada harta orang-orang yang kaya dan hak ini diambil dari si kaya berpandukan hukum Islam. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan kebaikan orang-orang Mukminin:

الَّذِينَ هُمْ عَلَى صلاتِهِمْ دَائِمُونَ .وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ. لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ[3]

Ertinya: "Mereka yang tetap mendirikan sembahyang. Dan orang-orang yang (menetapkan) dalam hartanya peruntukan yang tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa.”

Penentuan yang dibuat pada harta orang-orang kaya ini menjadi hak orang-orang miskin. Wajib atas si kaya mengeluarkannya. Jika ia enggan mengeluarkannya dengan sukarela maka Islam membolehkan pihak yang berwajib mengambilnya dengan paksa.

 

Selain dari zakat wajib dan sedekah biasa, terdapat dalam syariat Islam suatu hukum yang dinamakan ‘fidyah/kaffarah’. Iaitu denda-denda yang dikenakan atas mereka yang melanggar hukum sesuatu ibadat sebagai penebus dosa dan menjadi sedekah kepada fakir miskin. Umpamanya orang yang batal puasanya kerana bersetubuh dengan isterinya pada siang Ramadan maka wajib atasnya memerdekakan hamba, dalam keadaan tiada hamba, ia mesti berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika ia tidak mampu maka wajib atasnya memberi makan 60 orang fakir miskin. Begitu juga hukumnya bagi seseorang yang melanggar hukum zihar[4] (ظهار). Ada lagi beberapa kaffarah atau fidyah yang cara menebusnya adalah dengan memberi makan kepada fakir miskin.

 

Begitulah kita dapati syariat Islam menjadikan pembelaan fakir miskin dengan memastikan mereka mendapat makanan menerusi denda-denda dari mereka yang melanggar hukum dan juga menjadi penebus dosa atau penolak kecuaian. Dikatakan bahawa sedekah memadam dosa selagi ianya tidak merampas hak orang Muslim lain. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:

 

"الصدقة تطفئ الخطيئة كما يطفئ الماء النار"

 

Ertinya: “Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.”

Kalaulah maksiat itu dari jenis merampas atau menganiaya hak orang Muslim lain maka dosa itu tidak boleh dipadam dengan fidyah atau kaffarah bahkan wajib dikembalikan semula hak orang itu.

Dengan demikian nyatalah bahawa Islam mewajibkan fidyah/kaffarah ini sebagai satu jalan bagi membela fakir miskin. Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menyatakan tidak sah atau tidak harus mengeluarkan zakat fitrah, fidyah atau kaffarah dengan nilai (wang) kerana tidak ada nas yang menyatakannya. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dibolehkan bahkan dihukumkan sebagai lebih baik lagi kerana ianya membolehkan si fakir miskin membeli keperluan-keperluannya. Memandangkan bahawa si fakir miskin itu mungkin tidak memerlukan kepada makanan, tetapi keperluannya lebih kepada pakaian atau barang-barang lain. Sedang memberinya makanan berlebihan mungkin membuatnya terpaksa menjual pula dengan harga yang murah jauh dari harga yang sepatutnya dan tentu sekali itu akan merugikannya terutama sekali jika jenis makanan itu banyak di pasaran. Andaikata yang menjadi keperluan itu adalah makanan maka memberi makan adalah lebih afdhal.

 Memandangkan bahawa asal nas dari al-Quran dan al-Hadis yang pada dasarnya bermaksud supaya fakir miskin itu wajib dibela nasib mereka, dan jika diberi pilihan mereka lebih suka kepada nilai wang dari makanan yang sudah banyak diterimanya, Jawatankuasa Fatwa memutuskan ada keharusan mengambil pendapat Imam Hanafi dalam masalah ini dan memfatwakan bahawa fidyah/kaffarah dengan nilai (wang) dibolehkan mengikut keadaan masa demi mensesuaikan pembelaan fakir miskin itu sendiri.

 

Kumpulan Fatwa 3. MUIS. Cetakan pertama.1998. ms 39.


[1] Hadis hasan sohih. Imam al-Tirmidhzi. Sunan al-Tirmidhzi.

[2] Hadis Sohih. Al-Suyuti, Jalaluddin Abd Rahman. Al-Jamik Al-Saghir.

[3] Al-Ma’aarij, 70: 23, 24.

[4]Pemisahan di antara suami dan isteri iaitu suami menyatakan bahawa isterinya menyerupai emaknya atau meyerupai perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya.