Title Fatwa

PERANCANGAN KELUARGA

Soalan :

Apakah pandangan Islam tentang merancang keluarga?

 

Jawapan :

Ugama Islam sangat menggalakkan penganutnya hidup berkelamin. Bagi lelaki yang tidak mampu, digalakkan supaya berpuasa kerana perkahwinan itu adalah untuk menyambung jenis manusia di bumi ini dan untuk memakmurkannya. Di antara faedah berkahwin juga adalah untuk mendapat zuriat dan membina keluarga dan menguatkan sesuatu umat saling bantu-membantu dalam kehidupannya sehari-hari.

 

Rasulullah s.a.w juga telah melarang umat Islam membujang sebaliknya sangat menggalakkan berkahwin sebagaimana sabdanya menegaskan:

 

" تَزَوَّجُوا الْوَدُوْدَ الْوَلُوْدَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ اْلأُمَمُ يَوْمَ الْقِيَامَة "[1]

 

Ertinya : "Berkahwinlah kamu dengan perempuan yang berbaka banyak anak kerana saya akan bermegah dengan kamu di hari kiamat kelak dengan banyak umat.”

 

Begitu juga Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

 

" اَلنِّكَاحُ سُنَّتِيْ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِيْ فَلَيْسَ مِنِّي"[2]

Ertinya : "Hidup berkelamin adalah cara hidupku, sesiapa yang tidak suka dengan cara hidupku bukanlah daripada golongan umatku.”

 

Tetapi pada masa kebelakangan ini perkara-perkara tentang terlalu ramainya penduduk dunia telah banyak menjadi perbincangan pihak berkenaan beberapa negara kerana telah menjadi masalah-masalah yang menggugat pembahagian kerja, perumahan, persekolahan dan lain-lain hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia. Islam sebagai satu ugama yang benar dan yang sesuai setiap tempat dan masa, ugama yang membina dan tidak kolot, sentiasa memberikan Nur dan Cahayanya kepada penganut-penganutnya dengan penuh tanggungjawab serta menjamin kebahagiaan rohani dan jasmani. Di dalam perkahwinan memang banyak ayat-ayat dan Hadis-hadis yang menggalakkan orang Islam supaya berkahwin terutama kepada muda-mudinya, ini supaya jangan tercebur ke dalam kezinaan atau godaan syahwat atau supaya terselamat daripada godaan syaitan. Selain dari itu perkahwinan juga mempunyai tujuan tinggi di dalam kehidupan.

 

Di dalam masalah “Merancang Keluarga” dan perkara mengawal beranak adalah satu perkara yang pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pada zaman itu ada beberapa sahabat yang merancang keluarga dengan cara yang dinamakan " Azal" iaitu dengan cara mengeluarkan air mani di luar rahim perempuan (mencabut) untuk mengelakkan beranak.[3] Dan perkara ini telah ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w tetapi Baginda telah tidak melarangnya dan tidak pula menggalakkannya, kerana memang tujuan asal dari perkahwinan itu jalah supaya seseorang itu mempunyai zuriat atau cahayamata. Dari Hadis ini difahamkan bahawa Azal itu untuk menjarakkan beranak adalah harus.  Dari sepotong ayat:

 

" وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ[4] "

 

Ertinya: "lbu-ibu itu menyusu anak-anaknya dua tahun genap bagi orang-orang yang menghendaki menyempurnakan susuan." 

Ayat ini difahamkan juga  bahawa kesempurnaan susuan anak itu yang boleh membawa kepada kesihatan yang baik kepada anak adalah dengan susuan yang berpanjang dua tahun.

 

Ulama Fiqih telah memberi pendapat bahawa: "Bersatu dengan isteri yang masih menyusukan anak yang boleh membuat isteri itu mengandung lagi sangat tidak digalakkan.  Kerana ditakuti hamilnya itu akan memberi mudarat kepada kesihatan anak yang sedang disusukan maka itu dilarang pula.”

 

Dari ini difahamkan juga bahawa Islam menggalakkan kita menjaga bayi-bayi kita dari kelemahan badan bahkan disuruh menjaga anak-anak itu supaya menjadi kuat dan sihat. Tentu sekali tidak dapat dijaga dengan baik melainkan dengan menjarakkan beranak sekurang-kurangnya dua tahun.  Di dalam Hadis:

 

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ نَهَى رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ نَعْزِلَ عَنِ الْحُرَّةِ إِلاَّ بِإِذْنِهَا "[5]

Ertinya: "Bahawa Rasulullah s.a.w melarang seorang suami itu berazal (mencabut) waktu air sedang hendak keluar melainkan dengan keizinan isterinya yang merdeka itu.”

 

Kerana persatuan suami isteri tidak akan memberi kepuasan dan bererti terzalim satu pihak di dalam hubungan ini.  Tetapi jika dengan memakai alat-alat-alat moden akan tidak terjadi perbuatan ‘Azal’ ini.

 

Dari keterangan-keterangan tadi tetap dapat difahamkan bahawa Islam lebih mementingkan kualiti dari kuantiti. Ulama-ulama telah berpendapat bahawa merancang keluarga dengan memakan ubat pil atau cara-cara lain yang menahan hamil untuk sementara dengan cara-cara yang ada sekarang ini tidaklah haram tetapi ianya harus (Mubah) selagi cara-cara itu tidak memberi mudarat kepada kesihatan orang yang memakainya dan tidak pula ia menahankan beranak sama sekali, tetapi seseorang itu dapat merancang dan menyusunkan keluarganya dengan sempurna dan teratur.

 

Kumpulan Fatwa 1. MUIS. Cetakan pertama.1987. ms 38.

 



[1] Aun Al-Ma ‘bud Syarh Sunan Abi Dawud. 1754.

http://hadith.al-islam.com/Display/Display.asp?Doc=4&Rec=2443

[2] Syarh Sunan Ibn Majah. 1836. http://hadith.al-islam.com/Display/Display.asp?Doc=5&Rec=2450

[3] Al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali, Fath Al-Bari. Cetakan pertama. 1998. Dar Al-Hadith. Jil 9. ms 367.

[4] Al-Baqarah, 2: 233.

[5] Syarh Sunan Ibn Majah Lissanadi. 1918.

http://hadith.al-islam.com/Display/Display.asp?Doc=5&Rec=2561