Fatwa Title

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM


(BAB 3, BAHAGIAN 32)

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA


Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan berkenaan soalan yang diterimanya daripada Penguasa Sains Kesihatan (Health Science Authority - HSA) pada mesyuarat fatwa yang ke-21 pada 28 Feb 2013.

FATWA

    Latarbelakang
  1. Jawatankuasa Fatwa Muis telah menerima soalan daripada Penguasa Sains Kesihatan (Health Science Authority - HSA) berkaitan ubat vaksin Rotavirus.

  2. Virus Rotavirus boleh menyebabkan muntah, kekurangan air, demam dan pada kes-kes yang tertentu boleh menyebabkan kematian. Buat masa kini, vaksin Rotavirus merupakan cara yang terbaik bagi menangani penyakit tersebut. Maklumat yang diterima daripada HSA menyatakan bahawa pada salah satu peringkat penghasilan (manufacturing) vaksin tersebut, enzim daripada pankreas babi (trypsin) telah digunakan sebagai alat untuk memisahkan dan memindahkan sel-sel vaksin tersebut.

  3. Prinsip Syarak Berkaitan Perubatan dan Rawatan
  4. Islam amat menggalakkan bagi setiap individu untuk berubat bagi segala penyakit yang dihadapinya. Ini adalah kerana pemeliharaan jiwa termasuk di antara objektif utama syariat (maqasid syariah) dan dengan berubat seorang insan berusaha untuk memelihara jiwa dan raganya. Terdapat banyak hadith yang mana Nabi s.a.w. mendorong umatnya untuk berubat antaranya: Dari Usamah bin Syarik, dia berkata, seorang Arab badawi pernah bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

  5. يا رسول الله ألا نتداوى ؟ قال : ( تداووا ، فإن الله لم يضع داء إلا وضع له شفاء إلا داء واحد ) قالوا : يا رسول الله وما هو ؟ قال : ( الهرم ).


    Yang bermaksud: Wahai Rasulullah, apakah kita perlu berubat? Nabi bersabda, Berubatlah, kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit, kecuali pasti Dia menurunkan penawarnya, kecuali satu penyakit (yang tidak ada ubatnya). Mereka bertanya lagi: Apakah dia? Nabi s.a.w. menjawab: Penyakit tua. .

  6. Mengambil vaksin adalah sejenis rawatan pencegahan awal dari dijangkiti oleh penyakit dan kuman-kuman. Seorang yang ingin mencegah dirinya daripada dijangkiti penyakit yang tertentu boleh mengambil vaksin tersebut sebelum beliau dijangkiti penyakit tersebut. Rawatan yang berbentuk pencegahan awal juga amat digalakkan dalam Islam. Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. sabdanya :

  7. من تصبح كل يوم سبع تمرات عجوة لم يضره في ذلك اليوم سم ولا سحر.

    Yang bermaksud : Barangsiapa yang memakan tujuh kurma Ajwah pada setiap pagi, beliau akan terselamat pada hari itu daripada racun dan juga sihir.

    Unsur Najis dalam berubat.
  8. Syariat Islam secara dasar melarang seseorang untuk berubat sekiranya ia daripada sumber najis ataupun haram. Namun ketika tiada alternatif lain yang halal dan nyawa pesakit bergantung kepadanya, maka syarak membenarkannya untuk berubat dengan bahan yang najis ataupun haram. Firman Allah s.w.t. :
  9. (وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ)


    Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan keatasmu, kecuali apa yang kamu terpaksa kepadanya (kondisi darurat). ( Surah Al-An’am: 119).

    Keputusan Jawatankuasa Fatwa
  10. Setelah meneliti proses penghasilan (manufacturing) vaksin tersebut, Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa sebuah solusi yang mengandungi enzim daripada pankreas babi (trypsin) telah digunakan bagi tujuan pemindahan sel-sel vaksin yang telah dikembang biak ke perkakas yang lain. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada HSA, solusi trypsin – buat masa kini - adalah cara yang paling selamat bagi menjamin keberkesanan pemindahan sel-sel tersebut, serta tidak menyebabkan sel tersebut mati. Setelah sel-sel mencapai jumlah yang diingini, solusi tersebut tidak lagi digunakan pada proses-proses yang selanjutnya. Sel-sel vaksin tersebut juga melalui proses penapisan dan pembersihan yang berulangkali bagi menjamin produk yang terakhir bebas daripada solusi trypsin.
  11. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa kadar bahan yang berasal daripada enzim babi pada solusi trypsin yang digunakan adalah amat sedikit (0.0001%). Berdasarkan konsep istihlak , Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa unsur najis yang sedikit telah bercampur dengan bahan suci yang berlipat kali ganda banyaknya berbanding bahan yang najis. Maka solusi trypsin dianggap sebagai suci kerana telah melalui proses pencairan dengan penambahan bahan-bahan lain yang suci. Proses pencairan melalui penambahan ini dikenali di dalam fiqh sebagai Istihlak bil Mukatharah..

  12. Tambahan dari ini, maklumat rasmi yang diperoleh Jawatankuasa Fatwa daripada HSA menunjukkan bahawa bahan yang berasal daripada enzim babi (solusi trypsin) bukan merupakan antara kandungan vaksin rotavirus. Bahkan enzim tersebut hanya digunakan sebagai alat untuk memindahkan sel-sel vaksin sahaja. Setelah proses pemindahan itu selesai, sel-sel vaksin akan dibersihkan beberapa kali. Proses ini semua membuktikan bahawa enzim babi bukan terdiri antara kandungan vaksin tersebut. Vaksin yang terhasil juga telah mengalami proses penyaringan, pencucian dan pemurnian yang berulang kali sehingga tiada lagi kesan enzim babi yang dapat dikesan pada peringkat akhir penghasilan produk.

  13. Berdasarkan beberapa pertimbangan tersebut, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa vaksin rotavirus adalah halal dan suci, memandangkan tiada lagi unsur najis di dalamnya.
  14. والله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلّم



DR MOHAMED FATRIS BAKARAM
MUFTI OF SINGAPORE
CHAIRMAN, FATWA COMMITTEE
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA



Hadith riwayat Tirmidzi 2038 dan Sunan Abu Dawud 3855. Sila lihat: Al-Tirmizi, Sunan Al-Tirmizi, Beirut, Dar Ihya’ At-Turath Al-‘Arabi, juz 4, hlm 383. Sila lihat: Abu Dawud, Sunan Abu Dawud, Damascus, Dar Al-Fikr, juz 2, hlm 396.

2
Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim. Sila lihat: Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Beirut, Dar Ibn Al-Kathir, [5130], Juz 5, hlmn 2075. Sila lihat: Muslim, Sahih Muslim, Beirut, Dar Al-Jiil, [5459], Juz 6, hlm 123.

3
Konsep Darurat dalam berubat: Nabi s.a.w pernah mengizinkan sebahagian sahabat untuk berubat dengan perkara yang diharamkan atas dasar darurat. Seperti keizinan yang diberi kepada Abdurrahman bin 'Auf dan Az-Zubair ibn Al-‘Awwam untuk memakai sutera sebagai rawatan bagi penyakit kulitnya.(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Sila lihat: Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, [2763], Juz 3, hlmn 1069. Sila lihat: Muslim, Sahih Muslim, [5554], Juz 6, hlm 143.

4
Kadar enzim yang terdapat di dalam kandungan keseluruhan solusi trypsin tersebut adalah 0.0001% sahaja.

5
Istihlak Istilah “istihlak” berasal daripada kalimat bahasa Arab (هلك) yang bererti : Hancur. Oleh itu, istihlak membawa pengertian sebuah proses penghancuran. Pada isu ini, bahan yang dihancurkan ialah bahan yang najis. Terdapat beberapa jenis proses untuk menghancurkan bahan najis, contoh yang biasa diberikan oleh fuqaha’ ialah seperti percampuran setitis arak dengan air yang sangat banyak (Istihlak bil Mukatharah). Konsep teori Istihlak ini membawa maksud sedikit bahan yang diharamkan atau najis bercampur dengan bahan yang baik, halal dan banyak sehingga hilang sifat-sifat bahan haram yang bercampur dengannya seperti warna, bau dan rasanya. Percampuran ini menghilangkan sifat najis dan hukum haram pada bahan tersebut dari kacamata syara’. Sila rujuk : az-Zuhaily, Qadaya al-Mu’asirah, Damascus, Dar al-Fikr, 1428H/2007, hlm 72.