Title Fatwa

SKIM INSURANS BERKUMPULAN

Soalan :

Apa hukumnya ‘Skim Insurans Berkumpulan’ (Group Insurance)?


Jawapan :

Masalah Insurans adalah masalah baru. Para ulama seluruh dunia masih belum mencapai kata sepakat mengenainya dan masalah ini masih diperbincangkan. Sebahagian ulama mengharuskannya, sementara sebahagian yang lain tidak membolehkannya. Ulama-ulama yang tidak membolehkan memberi alasan, antaranya, pada insurans terdapat unsur-unsur riba, perjudian dan kesamaran di dalam akad.


Ulama-ulama yang mengharuskannya pula memberi alasan, antaranya, insurans adalah perkara baru yang tidak ada persamaannya dengan muamalah pada zaman dahulu dan insurans ada faedahnya. ‘Skim Insurans Berkumpulan’ juga termasuklah dalam masalah yang dipertelingkahkan ini.


Keputusan yang pernah dicapai oleh ulama-ulama dalam konferensi yang diadakan oleh Jabatan Kajian Hukum Agama Islam, Al-Azhar pada bulan Jun 1965 di Kahirah berbunyi:


(i) Insurans yang ditadbirkan oleh syarikat kerjasama yang dianggotai oleh semua anggota-anggotanya untuk menjaga maslahat mereka dan apa yang diperlukan oleh anggota-anggotanya dari segi bantuan dan perkhidmatan, adalah seperkara yang diakui oleh syarak dan ia dari jenis bantu-membantu dalam kebajikan.


(ii) Begitu juga insurans syarikat mirip kerjasama (kooperatif) bagi maslahat masyarakat umum dan apa yang termasuk di dalamnya dari perkara seperti pengangguran, keuzuran, umur tua, kemalangan waktu bekerja dan yang seumpamanya, pihak konferensi telah memutuskan jenis insurans seperti ini adalah diharuskan. Dari itu ternyata bahawa insurans jenis kooperatif sahajalah yang dibolehkan oleh persidangan ulama antarabangsa itu.


Ini bererti juga bahawa insurans yang dikelolakan oleh syarikat-syarikat swasta yang bertujuan untuk mendapat keuntungan peribadi atau untuk faedah segelintir manusia telah tidak dapat pengakuan daripada para ulama yang menyertai persidangan Islam antarabangsa ini.


Oleh kerana Skim Insurans Berkumpulan ini tidak dapat dipastikan sama ada termasuk dalam insurans jenis kooperatif ini atau pun bukan, maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa masalah ini terpulang kepada diri masing-masing untuk memilih pendapat yang mana satu yang perlu bagi dirinya. Sebagaimana yang termaklum seseorang itu harus berhati-hati dan berjaga-jaga dalam menentukan kadar darurat dan keperluannya.


Kumpulan Fatwa 2. 24/8/88. MUIS. Cetakan pertama.1991. ms 22.