Title Fatwa

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM   

(BAB 3, BAHAGIAN 32)   

   

 FATWA YANG DIKELUARKAN   

OLEH   

   

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA   

  

Jawatankuasa Fatwa telah mengulas kembali fatwa berkenaan pembayaran Zakat ke atas emas perhiasan pada mesyuarat yang ke 7, bertarikh 9 Jun 2011.   

 

FATWA   

 

بسم الله الرحمن الرحيم   

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه . وبعد ،   

  

1. Jawatankuasa Fatwa Muis telah menerima soalan dari Unit Zakat dan Wakaf Muis berkenaan dengan teks fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Muis pada tahun 1995 berkenaan zakat emas perhiasan. Unit Zakat dan Wakaf Muis juga mengajukan persoalan berkenaan ketepatan kadar 20 mithqal yang dinyatakan pada teks fatwa yang sama.  

   

2. Setelah mengkaji isu ini, Jawatankuasa Fatwa bersependapat dengan fatwa tahun 1995, bahawa pembayaran zakat pada asalnyaadalah tidak wajib ke atas emas perhiasan.Ini adalah kerana Islam membenarkan bagi wanita untuk memakai emas perhiasan, maka ia tidak wajib dizakatkan. Berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad s.a.w :   

لَيْسَ فِي الحُلِّي زَكَاة.   

Yang bermaksud :“Tiada zakat dalam perhiasan.  

 

  

Juga hadis yang diriwayatkan Imam Malik di dalam Al-Muwatta’ :   

  

أخبرنا مالك عن عبد الرحمن بن قاسم عن أبيه : أَنَّ عَائِشَةَ كَانَتْ تَلِي بَنَات أَخِيْهَا  يَتَامَى فِي حِجْرِهَا لَهُنَّ حُلِّي  فَلاَ تَخْرُج مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاة.   

  

Yang bermaksud: Aisyah r.a pernah memakaikan beberapa anak saudaranya yang yatim emas perhiasan, lalu beliau tidak mengeluarkan zakat emas keatasnya.   

  

3. Namun, Jawatankuasa Fatwa berpandanganbahawa hanya terdapat dua keadaan yang mewajibkan zakat ke atas emas perhiasan :   

  1. Apabila kadar emas perhiasan melampaui batas uruf.[2]    
  2. Apabila emas perhiasan yang dibeli dengan tujuan untuk menyimpannya sebagai satu pelaburan.   

Penggunaan emas perhiasan yang melampaui batas.   

   

4. Penggunaan segala perkara yang halal di sisi Syariah haruslah berpandukan dua garis pandu yang utama, yang pertama adalah tiada pembaziran, dan yang kedua tiada berbangga dalam penggunaannya. Nabi s.a.w bersabda :   

  

 عن النبي (ص) : كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالبَسُوا مِنْ غَيْرِ سَرف وَلاَ مَخِيلَة[3].   

  

Yang bermaksud : Makanlah, minumlah dan pakailah dengan tanpa ada pembaziran ataupun berbangga-bangga.   

  

5. Untuk itu beberapa ulama berpendapat bahawa pada asalnya emas yang digunakan sebagai perhiasan tidak perlu dizakatkan.Dan perintah agar dikeluarkan zakat bagi emas perhiasan adalah kerana emas yang digunapakai melampaui had batas kebiasaan (uruf). [4] Sepertimana yang dinyatakan dalam hadis berikut:   

   

 وعَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ امْرَأَةً أَتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعَهَا ابْنَةٌ لَهَا ، وَفِي يَدِ ابْنَتِهَا مَسَكَتَانِ (إسورتان) غَلِيظَتَانِ مِنْ ذَهَبٍ ، فَقَالَ لَهَا : أَتُعْطِينَ زَكَاةَ هَذَا ؟ قَالَتْ : لا . قَالَ: أَيَسُرُّكِ أَنْ يُسَوِّرَكِ اللَّهُ بِهِمَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سِوَارَيْنِ مِنْ نَارٍ ؟ [5].      

  

Yang bermaksud: Dari Amru ibn Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Beliau berkata: “Seorang wanita bertemu Nabi s.a.w. dengan membawa anak gadisnya. Di tangan anaknya terdapat dua bentuk gelang emas yang tebal.[6]” Maka Nabi s.a.w. berkata kepadanya: “Adakah kamu mengeluarkan zakat perhiasan ini?” Wanita tersebut menjawab: “Tidak.” Maka Nabi bersabda: “Adakah kamu ingin  Allah s.w.t memakaikanmu dua bentuk gelang dari api pada hari Kiamat?.”   

  

Definasi Kadar Batas Uruf.   

   

6. Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa ketetapan kadar 20 mithqal yang dinyatakan teks fatwa 1995 adalah tidak tepat, dan perlu digantikan kepada 200 mithqal.   

   

7. Jawatankuasa Fatwa juga menetapkan bahawa kadar batasuruf  kekal pada 200 dinar, 200 mithqal, ataupun 860 gram.    

  

8. Ini berdasarkan pendapat Imam An-Nawawi di dalam kitabnya :   

  

 قال أصحابنا : كل حلي أبيح للنساء فإنما يباح إذا لم يكن فيه سرف ظاهر ، فإن كان كخلخال وزنه مائتا دينار، فالصحيح الذي قطع به معظم العراقيين تحريمه  

  

Yang bermaksud: “Sebahagian dari Ulama Syafieiyah berkata: Semua jenis emas di benarkan bagi wanita. Ianya dibenarkan bagi mereka selagi mana tidak terdapat pembaziran jelas di dalam pengunaan emas. Sekiranya emas perhiasan itu berbentuk gelang yang beratnya 200 dinar, maka yang sahih yang diputuskan oleh kebanyakan fuqaha Syafieyah di Iraq adalah mengharamkan pengunaannya.”   

   

9. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa zakat hanya diwajibkan apabila sebentuk emas perhiasan mencapai 860 gram.   

   

10.Jawatankuasa Fatwa juga berpendapat bahawa apabila zakat emas telah diwajibkan, maka zakat haruslah dikira dari jumlah keseluruhan emas perhiasan tersebut, dan bukanlah jumlah lebihan dari kadar uruf tersebut.   

  

Emas perhiasan yang disimpan sebagai pelaburan.   

   

11. Jawatankuasa Fatwa telah meneliti pendapat fuqaha di dalam isu ini. Imam An-Nawawi menyatakan di dalam Al-Majmuk :   

  

 

  قال أصحابنا ولو اتخذ حليا ولم يقصد به استعمالا محرما ولا مكروها ولا مباحا بل قصد كنزه واقتناءه فالمذهب الصحيح المشهور الذى قطع به المصنف والجمهور وجوب الزكاة فيه   

 

Ertinya: Sahabat kami (Ulama Syafieyah) berpendapat sekiranya seseorang memiliki emas perhiasan, dan dia tidak bermaksud untuk menggunakannya, samada pada penggunaan yang dilarang, yang makruh, ataupun yang dibenarkan; akan tetapi niatnya adalah untuk menyimpannya dan memilikinya sahaja, maka pendapat yang sahih yang diputuskan oleh As-Syirazi dan Jumhur adalah zakat diwajibkan ke atasnya 

Sesuai dengan ini Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa emas perhiasan yang disimpan sebagai pelaburan diwajibkan zakat ke atasnya apabila ia mencap kadar nisab 86 gram dan zakat wajib dikira daripada jumlah keseluruhan timbangan emas tersebut  

  

  

 الله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.  

   

DR MOHAMED FATRIS BAKARAM   

MUFTI NEGARA SINGAPURA   

PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA   

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA   



 [1] Hadith diriwayatkan oleh Ibn Jauzi dalam  al-Tahqiq. Lihat al-Hadi, Tanqih al-Tahqiq fi Ahadith al-Ta’liq, Beirut, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah, Cetakan pertama, 1998, Jilid. 2, ms 136.    

   

 [2] Uruf :Adalah kebiasaan sebuah masyarakat.   

   

 [3]Disebutkan oleh Imam Al-Bukhari melalui hadis ini di dalam bab Allah s.w.t. berfirman dalam Quran:   

زِينَةَ اللَّهِ الَّتِى أَخْرَجَ لِعِبَادِه. قُلْ مَنْ حَرَّمَ   

   

 [4] Al-Qardhawi, Yusuf, Fiqh al-Zakah, Beirut, Mua’sasah Ar-Risalah, Cetakan keenam, 1981-1401H, ms  308 & 309.   

   

 [5]Abu Dawud, Sunan Abu Dawud, Beirut, Dar Ibn Hazm, Cetakan pertama, 2005/1426H,  Hadith no. 1563, ms 743. An-Nasai, Sunan an-Nasai, Riyahd, Bait Al-Afkar, ms. 268, hadith no. 2479.   

   

 [6]Kalimat yang digunakan perawi hadis tersebut untuk menyifatkan jenis gelang yang digunakan ialah (غليظتان) ianya bermaksud: Tebal. Oleh itu gelangemas yang digunakan wanita tersebut adalah tebal, dan ia nya menyalahi kebiasaan manusia.   

   

 [7]An-Nawawi, Al-Majmu’ SharhulMuhazzab, Jeddah, Maktabah Al-Irshad, jilid. 5, ms. 523.   

   

 [8]An-Nawawi, Al-Majmu’ SharhulMuhazzab,Op. Cit.,jlid. 5, ms. 520.