Fatwa MUIS
Wasiat Hayat Diharuskan

Memudahkan pesakit nazak temui ajal


Isu wasiat hayat atau living will merupakan di antara isu- isu kontemporari yang mendapat perhatian ulama' dan perbincangan setempat sedikit masa dahulu.

Dalam mesyuaratnya pada 25 Ogos 94,Jawatankuasa Fatwa MUIS telah membincangkan isu wasiat hayat. Warita melaporkan fatwa yang dikeluarkan.

SESEORANG yang telah membuat ikrar sedang ia dalam keadaan waras bahawa dia tidak mahu dipasangkan alat 'life supporting system' kalau ia berada di dalam keadaan nazak (terminally ill) hukumnya adalah harus. Ini adalah kerana dia sanggup bersabar dan lebih rela mati dalam keadaan tabie kerana berkeyakinan bahawa apabila sampai ajal seseorang itu maka dia pasti mati.

Perkara ini dibenarkan kerana menurut pandangan majoriti ulamak Islam hukum berubat itu tidaklah wajib walaupun Islam sangat menggalakkannya. Ini berpandukan sebuah Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari yang menceritakan tentang seorang hamba perempuan yang sakit dan meminta Nabi saw supaya mendoakannya.

Lalu Nabi saw berkata kepadanya: "Jika engkau mahu sabar, maka ganjaran untukmu adalah syurga, ataupun engkau mahu aku doakan kepada Allah supaya kamu disembuhkan." Maka jawab perempuan tersebut; "Kalau begitu aku lebih suka bersabar."

Tambahan pula,alat 'life supporting system' yang dipasangkan ini adalah satu ikhtiar rawatan digunakan untuk meneruskan fungsi organ di tubuh tetapi tidak memberi kesan apa-apa pada keadaan sakit yang dideritai, terutama jika pesakitnya dalam keadaan 'terminally ill'. Walaubagaimanapun kami syukur, seperti dalam kertas saranan National Medical Ethics Committee (NMEC) itu, bahawa rawatan biasa akan diteruskan bagi si pesakit.

Adalah dari etika ilmu perubatan apabila seseorang itu sakit hendaklah dirawat dengan sepenuhnya dan mengikut usaha merawat ini segala peralatan moden akan digunakan termasuk alat 'life supporting system' dengan tujuan untuk memanjangkan nyawa seseorang itu. Jika pesakit itu telah dipasangkan alat 'life supporting syatem' dan dia berada di dalam koma atau tidak sedarkan diri, jika doktor mengesahkan alat itu tiada lagi berfaedah untuknya; maka Jawatankuasa Fatwa MUIS berpendapat dalam keadaan demikian alat itu boleh dicabutkan dengan syarat berikut:

Jika telah disahkan oleh tiga orang doktor yang pakar dalam bidang ini secara sebulat suara bahawa pesakit tersebut sudah tiada harapan lagi (terminally ill). Jika ada perselisihan pendapat oleh doktor ini, perkara ini hendaklah dibawa ke sebuah panel pakar yang bebas seperti yang dicadangkan oleh NMEC.

Masalah ini pernah juga dibahaskan oleh Akademi Fiqah Islam dalam persidangannya yang ke 10 di Makkah el Mukarramah pada 17 Oktober 1987 yang mana telah diputuskan bahawa: Pesakit yang dipasangkan padanya alat 'life supporting system', jika telah dipastikan oleh 3 orang doktor yang pakar bahawa si pesakit ini telah mati otaknya dan tidak mungkin kembali berfungsi lagi bolehlah dicabut alat itu sekalipun jantung dan pernafasannya masih bekerja dengan kuasa alat yang dipasangkan itu.

Seperti yang dinyatakan dalam kertas saran NMEC itu, kami gembira bahawa Euthanasia atau 'mercy-killing' adalah salah di segi undang-undang Negara Singapura sebagaimana ianya adalah haram dalam hukum Islam.

Oleh kerana perkara 'living will' ini adalah perkara baru dan mungkin menimbulkan salah faham kami alu- alukan syor NMEC bahawa undang-undang dikuatkuasakan bagi sebarang penyalahgunaan undang-undang 'Living Will' ini. Kami juga sokong "Living Will' ini hanya dibolehkan secara pilihan sukarela/peribadi.