BILANGAN/ISSUE 108
Jan - Feb 1997

DI DALAM/INSIDE

Dari Meja Warita/
From Warita's Desk
Laporan/Report
Teknologi
Maklumat/
Information
Technology
Panduan Agama/
Religious Guidance
Pandangan/
Viewpoint
Fatwa/
Religious Ruling
Warita Main Page
MUIS HomePage










Menghidupkan Falsafah Ramadan:
Pandangan Pertengahan - Peningkatan Berterusan


SEKALI lagi kita mengalu-alukan ketibaan Ramadan dengan berpuasa dan memuliakannya dengan ibadah-ibadah lain yang bersangkutan.

Menurut ulama, puasa dan amalan-amalan ibadah Ramadan yang lain merupakan manifestasi pandangan pertengahan yang dianjurkan Islam kepada manusia dalam melayan keperluan naluri mereka dari dalam kehidupan.

Pada satu ekstrem, ada manusia yang memilih melayan sepuasnya keperluan naluri mereka dari satu tahap kepuasan kepada tahap kepuasan yang lebih tinggi. Begitupun, mereka tidak mampu menghargai kepuasan yang demikian. Pada ekstrem lain pula, ada manusia memilih mengekang sepenuhnya keperluan naluri mereka sehingga kerana itu mereka turut tidak menghormati fitrah kejadian sendiri.

Kedua-dua ekstrem itu membinasakan.

Umat Islam hanya dikehendaki berpuasa di siang hari pada satu jangka masa tertentu. Pada jangka masa itu mereka dilarang makan minum dan melakukan hal-hal lain yang membatalkannya. Di luar jangka masa itu, mereka boleh melayan keperluan naluri seperti biasa. Namun, mereka masih perlu bersikap pertengahan - tidak boleh melampau- lampau. Mereka juga digalakkan menyeimbangkan keperluan naluri yang sifatnya jasmani dengan keperluan rohani melalui ibadah-ibadah Ramadan yang lain yang dituntut supaya dimuliakan.

Jadi, perlaksanaan puasa dan ibadah Ramadan merupakan pengukuhan kepada falsafah pertengahan yang dianjurkan Islam untuk manusia menyeimbangkan tuntutan jasmani dan rohani.

Tentulah pengertian Ramadan yang mulia akan rosak jika bulan berpuasa berubah menjadi bulan menjamu selera. Atau, amalan-amalan mulia di malam-malam Ramadan ditenggelamkan dengan kelaziman-kelaziman bersifat maksiat.

Satu hakikat yang harus mendapat perhatian ialah dari sejak dahulu lagi malam-malam Ramadan telah diterangi dengan amalan pengkajian Al-Quran.

Maksud pengkajian di sini, seperti yang diamalkan Nabi Muhammad dan para sahabat, tidaklah sekadar membacanya, tetapi mendalami makna ayat-ayat, membahaskan pengertiannya, menyampaikan risalah dan menghayati pengajarannya. Dengan demikian, setiap kali datang Ramadan, setiap kali pemahaman bertambah dan penghayatan kepada isi-isi Al-Quran menjadi semakin kukuh. Menerusi proses inilah pembaikan kehidupan Islam diteruskan untuk masa-masa seterusnya sehingga datang lagi Ramadan menjelang.

Amalan berpuasa dan ibadah-ibadah Ramadan lain yang dijalankan perlu kekal memenuhi pengertian sebenarnya; menjadikan kita manusia yang seimbang, mengambil pandangan pertengahan serta sentiasa bekerja ke arah mencapai tahap kehidupan yang lebih baik.