MUIS: Saluran Aspirasi Masyarakat


Pada 25 Jan 97, Presiden MUIS, HJ Maarof Salleh, dalam majlis iftar di Masjid Darul Ghufran telah menjelaskan peranan lebih luas MUIS, yang aktif majukan serta galakan masyarakat Islam sertai dan sumbangan pada pembangunan negara. Warita menerbitkan ucapan penuh Hj Maarof untuk makluman dan renungan bersama.

MAJLIS iftar MUIS, seperti yang diusahakan tahun- tahun sebelumnya, diselenggarakan bersama LPM sebuah masjid generasi baru. Kali ini giliran LPM Darul Ghufran.

Kerjasama MUIS dengan Badan-Badan Luar Meluas

Mereka yang mengikuti dari dekat perkembangan MUIS dapat melihat bahawa memang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama MUIS dengan badan-badan luar di dalam dan di luar negara telah meningkat dan meluas.

Bagi program pembangunan pendidikan agama termasuk para asatizah, MUIS bekerjasama dengan Pergas dan Perdaus.

MUIS membantu beberapa program kebajikan Pertapis, Jamiyah dan Muhammadiyah, di samping meluaskan program membantu golongan miskin dengan program latihan kemahiran secara bekerjasama dengan masjid- masjid, balai rakyat dan perpustakaan negara.

Geran tahunan diberi kepada badan mahasiswa Melayu/Islam di universiti dan politeknik bagi program latihan dan memperkaya pengetahuan keislaman; kepada FMSA untuk mengendalikan kelas pendidikan agama kepada pelajar- pelajar pra-u. Subsidi juga diberi kepada program AMP yang melibatkan pendidikan agama kepada sekumpulan pelajar ITE.

Darul Arqam mendapat geran untuk penerbitan majalah remaja, selain peruntukan mualaf lainnya.

Geran sebagai dermasiswa disalurkan kepada LBKM tanda MUIS menyokong penyelarasan urusan pemberian dermasiswa.

Kerjasama dengan YM diperkukuh dengan pembentukan Jawatankuasa MUIS-Mendaki yang antara lain akan meluaskan program pengembangan keluarga dan penggemblengan tenaga sukarela.

MUIS berurusan dengan firma perundingcara milik usahawan Islam dalam membantu melakar dan menjalankan program latihan pengurusan para sukarelawan masjid.

Dengan agensi-agensi bukan Islam jalinan dibuat menerusi program memberi penerangan mengenai kehidupan budaya orang-orang Melayu/Islam kepada beberapa sekolah SAP, kakitangan pemerintah dan kumpulan badan-badan akar umbi.

Dengan Kementerian Kesihatan, MUIS membantu menjayakan kempen berhenti merokok dan pencegahan Aids, dan insya'Allah, dengan NCADA, MUIS akan lebih aktif menyertai program- program pencegahan dalam kempen membanteras penyalahgunaan dadah.

Di peringkat kerantauan dan antarabangsa, penyertaan MUIS membolehkan adanya pengongsian pengalaman dan kerjasama dalam menghurai masalah bagi mencapai kebaikan kerjasama di samping membantu meningkatkan pandangan positif pihak luar terhadap masyarakat Islam di sini dan negara ini amnya.

Peluasan kerjasama ini bukan hanya setakat menyatakan sikap dan pendirian, tetapi disertakan dengan penyertaan fizikal dalam bentuk bersama melakar dan melaksanakan program, dan komitmen kewangan.

Bidang kerjasama itu bukan sahaja dalam hal keagamaan yang difahami dalam kontek tradisional. Ia mencakup seluruh aspek hidup yang perlu dimajukan untuk kesejahteraan masyarakat Islam.

Jelasnya, konsep MUIS sebagai badan berkanun yang tugasnya hanya untuk memberi nasihat tentang Islam dan ehwal orang-orang Islam sudah mengalami perubahan besar akibat perkembangan zaman.

MUIS - Pemain Aktif Dalam Ehwal Keislaman

Memang MUIS dikehendaki terus memberi pandangannya mewakili kepentingan masyarakat Islam kepada pemerintah. Dan ini terus dijalankan menerusi saluran-saluran yang sedia ada.

Bagaimanapun, masa juga berkehendakkan bahawa dalam memainkan peranan tersebut, MUIS perlu sekali mendekati, memujuk memandu dan membawa masyarakat Islam kepara peningkatan tahap kesejahteraan mereka bertunjangkan nilai-nilai Islam yang harus kekal sebagai jatidiri.

Dalam hal ini hasrat masyarakat Islam cukup jelas: mereka mahu Islam dan identiti keislaman mereka tidak tergugat, dan pada masa yang sama mereka mahu menyertai, menyumbang dan menikmati hasil program membangun dan memajukan negara yang tercinta ini.

Hasrat ini merupakan satu pendirian positif yang mesti didukung. MUIS layak memainkan peranan mendukung hasrat ini.

Masyarakat sendiri berkehendakkan MUIS melaksanakan tanggungjawab ini berdasarkan harapan yang sering mereka lontarkan di arena-arena tertentu (seperti forum, seminar, surat, dialog dan sebagainya) dan sokongan yang mereka tunjukkan kepada usaha MUIS yang menurut perhitungan mereka adalah baik (pembinaan majid, pembangunan madrasah, program dakwah), ataupun teguran dan kritikan mereka kepada mana-mana hal yang mereka anggap MUIS telah tersilap.

Ertinya, peluasan tanggungjawab MUIS daripada hanya sebagai arm-chair adviser kepada pemain aktif dalam ehwal keislaman adalah sesuatu yang berkembang secara semulajadi dan sesuatu yang sesuai dengan keperluan masa.

Jadi, sama ada kita sedar atau tidak, proses masa, perkembangan sekitaran serta sikap masyarakat telah menjuruskan MUIS kepada menjadi sebuah badan berkanun yang unik. Ia ditubuhkan pemerintah dan bertanggungjawab kepadanya, tetapi ia juga ingin dikongsi hak miliknya oleh masyarakat.

Perkara terakhir ini dibuktikan berdasarkan sokongan besar masyarakat kepada, sekadar sebagai contoh, skim dana pembinaan masjid, dana madrasah dan pembayaran zakat. Harus diingat kesemua skim tersebut dilaksanakan secara sukarela, tetapi menghasilkan kutipan yang besar jumlahnya.

MUIS _ Penghubung Masyarakat

Ia menjadi petanda bahawa masyarakat telah menerima MUIS untuk menjadi saluran aspirasi mereka dan masyarakat mahu MUIS bertanggungjawab dengan aspirasi mereka itu.

Kerana keunikan itulah MUIS dalam melakar dan melaksanakan program- programnya harus bersifat unik.

Keunikan itu kadang-kadang perlu dijelmakan dalam bentuk pendirian atau pendekatan yang mungkin dilihat baru ataupun di luar daripada kelaziman.

Hal ini bagaimanapun perlu dilihat dengan perspektif yang betul dan tidak segera - kerana barunya - dianggap ganjil atau tidak wajar. Kewajaran harus dilihat kepada matlamat dan keperluan.

Misalnya walaupun ruang kerjanya secara kasar adalah agama, namum kerana pengertian agama yang luas sebagai cara hidup, hal-hal yang secara tradisi tidak dianggap agama, harus juga tersentuh dalam kerja MUIS.

Sebagai contoh, penggunaan kaedah promosi dengan iklan untuk pembayaran zakat adalah satu keperluan bukan sahaja untuk menambah kutipan tetapi mendekati khalayak yang lebih besar yang kemudian dimanfaatkan untuk menyedar dan mendidik mereka dengan tanggungjawab agama.

Ruang lingkup dakwah kepada masyarakat Islam sebenarnya harus luas mencakup semua ruang lingkup kehidupan.

Jadi, bukanlah tidak konsisten kalau MUIS menyokong pembentukan budaya hidup yang adil dan bermaruah, tetapi turut mendorong kemajuan kebendaan.

Kita memanggil kepada keharmonian hidup berbilang agama, kita juga menyeru supaya dipertingkatkan kesejahteraan sosial dan kemajuan ekonomi yang berterusan.

Usaha ini dibuat bukan sahaja dengan berkhutbah atau melalui ceramah-ceramah, tetapi juga dalam bentuk tindakan. Misalnya melalui program- program ataupun pembiayaan bagi program- program yang relevan. Sama ada secara usaha sendiri ataupun dengan bergabung tenaga.

Keseluruhannya, kita bukan sahaja akan terus memanggil orang kepada agama, tetapi secara sedar menyeimbangkan mereka dengan dorongan supaya memajukan sosio- ekonominya. Kita mahu bukan sahaja kesejahteraan kerohanian, tetapi juga kesejahteraan kebendaan.

Kita akan gembira setiap kali ada satu pencapaian baru di kalangan masyarakat Islam yang tidak dianggap bertentangan dengan agama. Dan kita wajar menyatakannya secara terbuka.

Misalnya kalau dengan menyokong dan mendokong masyarakat di bidang usahaniaga, satu paradigma baru boleh dicapai yang mampu mengangkat kekuatan ekonomi masyarakat, maka sokongan dan dorongan ini sebenarnya harus dianggap sejajar dengan anjuran agama.

Dengan sokongan positif yang berterusan yang ditunjukkan masyarakat, MUIS akan terus bekerja memenuhi dan mengembangkan fungsinya di samping terus menjadi relevan dengan keperluan masa. Kami akan terus mengongsi aspirasi masyarakat dan negara, dan yakin pendekatan ini akan mendatangkan kebaikan bersama.

Adalah diharapkan dengan ini akan lebih cepatlah MUIS merealisasikan misinya menuju ke arah masyarakat Islam cemerlang.