Menjelang Hari Raya Idul Fitri setiap tahun
Muslimin dan Muslimat diwajibkan atas
mereka Zakat Fitrah sebagaimana Rasulullah
saw telah menerangkan dalam sabdanya yang bermaksud:
"Rasulullah telah memfardukan Zakat Fitrah untuk
menjadi pensuci orang yang berpuasa daripada kekata
buruk atau sia-sia yang diucapkan dan untuk menjadi
makanan bagi orang-orang miskin."
Zakat Fitrah ini telah diwajibkan ke atas setiap orang
Islam baik lelaki mahupun perempuan, kaya atau miskin,
dewasa atau kanak-kanak. Ukurannya adalah apabila
seseorang itu mempunyai makanan lebih dari
keperluannya pada malam dan pagi Hari Raya Idul Fitri
maka ia dikira mampu dan wajib mengeluarkan Zakat
Fitrah bagi dirinya dan tanggungannya. Dari itu sungguh
sedikit sekali orang yang terlepas daripada kewajipan
membayar Zakat Fitrah ini, kerana walau bagaimana miskin
seseorang itu pada umumnya masih ada persediaan
makanan di rumahnya untuk keperluan malam dan siang
Hari Raya.
Kalaulah ada seseorang itu memang miskin biasanya
ia akan mendapat bantuan dari MUIS pada minggu terakhir
bulan puasa sebagai habuan fakir miskin yang tetap
membolehkannya membayar zakat ini sepenuhnya.
Seseorang itu seharusnya merasa bahagia kerana dapat
menyempurnakan Zakat Fitrah ini kerana besar ganjarannya
dan menjadi sebab terkabul puasanya. Sebaliknya
ia sewajarnya merasa sedih jika tidak berkesempatan
menunaikannya. Jangan ada yang merasa ianya satu beban.
Zakat Fitrah ini juga dinamakan Zakat badan. Zakat
nikmat anggota badan kita yang kita kecap sepanjang
setahun. Kita diwajibkan mengeluarkannya sekali setahun
iaitu pada akhir bulan puasa. Kalaulah kita anggarkan qadar
nilai Fitrah dengan jumlah hari dalam setahun nescaya
kita dapati qadar itu tidak sampai 1 sen pun sehari kita
bayar sebagai tanda syukur ke hadrat Allah swt di atas
segala nikmat yang kita kecapi. Adalah perlu kita
mengikhlaskan diri untuk mengeluarkan zakat ini dengan
sebaiknya terutama sekali mengenangkan bahawa wang-
wang itu akan menjadi sebagai pembelaan kepada fakir
miskin dan masyarakat Islam amnya.