BILANGAN/ISSUE 113
Nov - Dis 1997

DI DALAM/INSIDE

Dari Meja Warita/
From Warita's Desk
Panduan Hidup Muslim /
Muslim Living Guide
Berita Bergambar /
Pictorial News
Zakat
Pandangan /
Viewpoint
Warita Main Page
MUIS HomePage










Terus Hidupkan Cahaya Ramadan

KEDATANGAN Ramadan disambut dengan berbagai reaksi. Orang Islam yang suka beribadat dan beramal sentiasa menanti-nanti kedatangan bulan Al-Quran ini. Orang Islam yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada sikap dan perbuatan pula merasakan bulan Ramadan ini mengikat kebebasan dan kemahuan diri mereka.

Biar bagaimana sambutan yang diberikan dan ditunjukkan, yang pasti kedatangan bulan Ramadan ini diiringi dengan rahmat Allah, keampunanNya dan janji pembebasan dari api neraka.

Hakikat yang berlaku dan dapat disaksikan ialah sejumlah besar masyarakat Islam hanya 'berpuasa' sebulan sahaja. Bererti hanya ketika bulan Ramadan sahaja orang-orang Islam rajin dan aktif dalam hal-hal keagamaan. Jadi apakah yang diisikan dalam sebelas bulan yang lain? Inilah yang perlu ditanya dan dijawab oleh setiap individu Muslim.

Sewajarnyalah bulan Ramadan dijadikan pemangkin bagi orang-orang Islam dalam menjalani kehidupan ini. Jika ketika Ramadan, kita banyak melakukan solat malam (tarawih), banyak berzikir, banyak berdoa, banyak bersedekah, banyak bersyukur dan seterusnya, maka semangat dan kesungguhan yang sama hendaklah diteruskan dan dipertingkatkan. Dengan kata lain, semangat perjuangan dan falsafah bulan Ramadan terus hidup pada bulan-bulan yang lain. Islam adalah agama yang bersifat ber-sungguh-sungguh dan terus bergerak maju. Ia sama sekali tidak menghendaki para pengikutnya hidup terbelakang dan tertinggal. Islam mahukan mereka berada di tempat yang tinggi dan terhormat. Untuk itu, Islam telah memberikan panduan dan arahan kepada manusia umumnya dan orang-orang Islam khasnya tatacara pola kehidupan yang selayaknya dilalui untuk mencapai kemuliaan di sisi Allah dan penghargaan di sisi manusia.

Mukjizat terbesar Rasulullah saw iaitu Al-Quran sudah cukup lengkap panduan dan prinsip yang diberikan dan bersifat semasa perlaksanaannya dan keberkesanannya. Hanya jika orang-orang Islam mahu memahami, menghayati dan merealisasikan isi kandungan Al-Quran maka sudah tentu mereka menjadi generasi Al-Quran yang sebenarnya.

Mari tingkatkan kualitas ibadat dan kehidupan kita agar benteng rohani dan jasmani kita semakin kuat dan kita semakin dekat kepada Allah swt, insya'Allah.