Panduan Puasa & Amalan Pada Bulan Ramadan

........sambungan


SUNAT PUASA

  • Makan sahur walaupun sedikit. Riwayat dari Annas, katanya Rasulullah saw bersabda: "Bersahurlah kamu, kerana bersahur itu ada berkatnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Rasulullah saw telah bersabda: "Makanlah sahur kerana ia menolong menguatkan kamu berpuasa pada siang hari."

  • Melambatkan makan sahur, tetapi janganlah hingga terbit fajar Riwayat dari Abi Dzar ujarnya: "Sentiasalah umatku dalam kebajikan selama mereka melambatkan sahur dan mencepatkan berbuka."
  • Menyegerakan berbuka puasa Abi Zar meriwayatkan: "Bahawa Nabi saw pernah bersabda: Umatku akan tetap segar-bugar, selama mereka melambatkan makan sahur dan berbuka dengan segera."
  • Berbuka dengan buah tamar atau air sejuk Diriwayatkan dari Annas: "Rasulullah saw berbuka sebelum solat dengan rutab (korma mengkal) kalau tidak ada. Baginda berbuka dengan tamar (korma biasa) dan jika tidak ada tamar Baginda minum dengan beberapa teguk air."
  • Meninggalkan kata-kata yang keji seperti berbohong, mengumpat dan lain-lainnya
  • Mandi hadas besar sebelum fajar
  • Memperbanyakkan sedekah, derma, dan ibadah seperti membaca Quran, solat terawih, solat tahajjud dan witir
  • Banyakkan beriktikaf di masjid
  • Makan dan minum dengan cara yang sederhana
  • Membaca doa berbuka:
      "Ya Tuhanku, kerana Engkau aku berpuasa, kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka."

MAKRUH PUASA

  • Merasa makanan dengan lidah
  • Bergurau senda dengan isteri
  • Menggosok gigi selepas tergelincir matahari
  • Berkumur-kumur berlebihan
  • Mengulum sesuatu benda


    Hukum Orang yang Meninggalkan Puasa

    Wajib Qada

    • Orang yang sedang sakit dan sakitnya akan memberi mudarat kepadanya atau bertambah lambat sembuhnya
    • Orang yang meninggalkan puasa sewaktu belayar atau bepergian jauh (musafir) kira-kira 81 km
    • Ibu yang hamil atau menyusukan anak dan khuatir dirinya menjadi mudarat
    • Orang yang sedang haidh atau nifas
    • Orang yang terlalu lapar atau daha-ga yang boleh membahayakan dirinya
    • Orang yang batal puasanya kerana salah satu sebab yang membatalkannya

    Wajib Qada dan Membayar Fidyah

    • Ibu yang hamil atau menyusukan anak, sekiranya hanya khuatir anaknya menjadi mudarat
    • Orang yang berhutang puasa yang belum dijelaskan sehingga timbulnya Ramadan yang lain

    Tidak Wajib Qada Tetapi Wajib Fidyah

    • Orang sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan sembuh sangat tipis
    • Orang yang lemah kerana sudah tua dan tidak mampu lagi untuk berpuasa

    Fidyah Puasa

    Anggaran fidyah satu mud (ber-samaan 15 tahil atau 576g) beras disedekahkan kepada fakir miskin.

    Kaffarah Puasa

    Suami yang membatalkan puasa Ramadan dengan berjimak (hubungan jenis) pada siang hari, wajib mengqada puasa dan membayar kaffarah iaitu:

    • Memerdekakan seorang hamba;
    • sekiranya tidak dapat, dikehendaki berpuasa dua bulan berturut-turut;
    • sekiranya tidak upaya kerana uzur atau sangat tua dikehendaki memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

      Isteri yang disetubuhi tidak wajib membayar kaffarah tetapi wajib mengqadakan puasanya sahaja.


    ........sambungan