Dari Pejabat Mufti


 

JUDI Ibarat Makan Harta Orang Lain

Berikut adalah sedutan makalah untuk media oleh Pejabat Mufti.

Mencari rezeki untuk menampung keperluan hidup merupakan sesuatu tanggung jawab setiap insan. Bagaimanapun seorang Muslim diwajibkan memastikan mata pencariannya adalah dari sumber yang halal. Islam melarang kita mendapatkan rezeki daripada sumber yang haram. Di antara sumber rezeki yang haram adalah judi. Ia ditegah bukan sahaja oleh Islam bahkan juga oleh agama-agama besar yang lain.

Al-Qur'an telah menyatakan dengan jelas tentang pengharaman judi dalam surah Al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan menenung nasib adalah perbuatan keji dari tipu daya syaitan. Maka jauhilah perkara-perkara tersebut moga-moga kamu beroleh kejayaan."

Judi Merosakkan Keluarga

Allah s.w.t mengharamkan perjudian kerana ia membawa banyak kemudaratan terhadap manusia. Judi akan membuat manusia bergantung harapan seluruhnya kepada nasib tanpa berusaha. Judi akan merosakkan institusi keluarga dan akhirnya melemahkan sesebuah negara.

Islam menjadikan harta manusia sebagai barang berharga yang perlu dilindungi. Oleh kerana itu, ia tidak boleh diambil begitu sahaja, kecuali dengan cara tukar-menukar sebagaimana yang telah disyariatkan, atau dengan jalan hibah (hadiah) dan sedekah. Mengambil harta dengan jalan judi, dianggap termasuk sebagai memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Judi Memudaratkan Diri

Tidak menghairankan, judi boleh menimbulkan permusuhan dan pertentangan lebih-lebih lagi antara penjudi-penjudi itu sendiri. Yang menang akan merampas harta yang kalah. Institusi yang mentadbirkan perjudian itu juga akan merampas harta yang kalah. Sedang yang kalah tentunya tidak reda dan merasa benci. Bahkan, terdapat di kalangan mereka yang memaki dan menyumpah terhadap nasib tidak menyebelahi mereka. Mereka yang berjudi membawa mudarat kepada diri sendiri dan juga orang lain. Hal ini dilarang oleh agama. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak ada mudarat dan tidak ada yang memudaratkan".

Hadis ini membawa erti bahawa kita dilarang mencari mudarat dan memudaratkan orang lain. Berjudi memudaratkan orang lain dengan menimpakan kerugian terhadap mereka.

Kerugian itu mendorong pihak yang kalah untuk mengulangi lagi, dengan harapan agar suatu masa mereka akan menang dan dapat menutup kerugian yang sebelumnya. Bagi yang menang, kerana dorongan oleh lazatnya kemenangan, maka ia tertarik untuk mengulangi lagi. Begitulah perkaitannya kedua-dua putaran menang dan kalah dalam perjudian. Ia akan menyebabkan seseorang itu menjadi tahi judi, mengabaikan tanggungjawab dan membawa kepada melakukan kegiatan jenayah.

Penjudi-penjudi sibuk dengan berjudi sehingga lupa akan kewajiban kepada Tuhan, diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu, Islam sangat membenci judi, sehingga mereka yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, mendapat dosa.

Ini termasuklah mereka yang menggiatkan, menggalakkan dan membenarkan kegiatan tersebut. Oleh itu, setiap individu Muslim itu mesti berhati-hati dalam tindakan yang dilakukan sesuatu agar beliau terelak daripada sebarang amalan yang membawa kepada subahat.

Elakkan Subahat

Setiap Muslim bertanggungjawab menjaga dirinya daripada melakukan sesuatu yang dilarang dalam Islam, memainkan peranan untuk mendidik dan menasihati ahli keluarganya, sahabat-handai serta teman sekerja agar menjauhi kegiatan yang merosakkan seperti perjudian. Sekiranya, harta pencarian kita itu ada kaitan dengan perkara-perkara yang subahat, kita berkewajipan mencari sumber rezeki yang lebih jelas status halalnya.

Seorang Muslim dilarang sama sekali menjadikan perjudian sebagai alat untuk menghibur diri dan mengisi waktu lapang. Apatah lagi menjadikannya sebagai alat mencari rezeki dalam apa situasi pun.WK




Muka 11