Keluarga Family

Komunikasi pupuk
keluarga harmoni

"Semalam, ayah telefon. Katanya dah lama kita tak ziarahnya," kata Cik Rahimah.Suaminya, Encik Ekhsan menjawab, "Kan baru bulan lalu kita ke sana. Ayah mesti tahu yang kita ni sibuk. Lagipun, budak-budak tu nak periksa. Takkan tiap-tiap minggu kita nak ke sana. Apahal dengan masa untuk kita sekeluarga."

Luahan sedemikian memang tidak asing lagi dalam konteks kehidupan hari ini. Sentiasa sibuk adalah alasannya. Sibuk dengan kerjaya, sibuk dengan kerja rumah. Malah sibuk membeli-belah dan ada kalanya melancong.

Golongan muda selalunya ingin warga tua memahami cara kehidupan mereka.Tetapi sukar bagi ibu bapa yang telah bersara dan mempunyai banyak masa, memahami mengapa anak-anak mereka yang telah berumahtangga amat sibuk sekali.

 

Orang-orang tua hari ini telah mengalami sekitaran sosio-politik dan ekonomi yang amat berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat muda. Ramai di antara mereka pernah hidup susah dan miskin. Hanya segelintir sahaja yang berpelajaran dan itu pun tidak setinggi mana.

Disebabkan perbezaan tersebut, mereka mempunyai pemikiran mungkin sukar difahami dan diterima golongan muda. Hidup sebagai pesara boleh menjejas psikologi dan keyakinan diri warga tua. Mereka tidak lagi menjawat apa-apa pekerjaan dan ia menjejas pengaliran sumber kewangan.

Ini tidak bermakna kedua-dua pihak harus menyimpan perasaan sendiri-sendiri. Sebaliknya, golongan muda dan tua boleh menjalin ikatan mesra sesama mereka dengan mengambil beberapa langkah tertentu.


    Menjalin ikatan mesra
  • Luangkan masa secara tetap dengan warga tua antara seminggu atau dua minggu sekali.
  • Usahakan kegiatan yang dapat dinikmati bersama seperti menjamu selera atau beriadah.
  • Sentiasa berbincang tentang isu kekeluargaan atau ehwal semasa.
  • Menghormati dan memanfaatkan sumber pengalaman orang tua sebagai panduan dan nasihat.
  • Peka terhadap keperluan dan cara hidup mereka.
  • Elakkan daripada menganggap semua warga tua adalah seragam keperibadian dan keperluannya. Mereka mempunyai keunikan dalam hidup.
  • Fahami pandangan dan falsafah kehidupan mereka.
  • Hargai jasa-jasa mereka membesarkan kita.
Adab berkomunikasi dengan warga tua

  • Bertutur dengan perlahan. Ini cara yang terbaik sekiranya anda mempunyai cadangan untuk disampaikan.
  • Bersikap ramah dan terbuka. Usah berpeluk tubuh apabila berbual dengan warga tua kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa anda tidak mempunyai masa atau minat untuk berbual dengannya.
  • Bongkokkan tubuh anda ke hadapan. Ini menunjukkan minat terhadap warga tua dan kesediaan untuk mendengar.
  • Bertutur dengan nada suara yang rendah. Ia lebih meninggalkan kesan.
  • Tatapi wajah dan mata mereka dengan mesra. Ini bukan saja untuk menghormatinya tetapi juga merupakan antara asas budi bahasa.