HARI Jumaat yang disebut oleh Rasulullah saw sebagai penghulu segala hari
merupakan hari yang mulia dan istimewa di dlam Islam. Pada hari Jumaat, setiap
orang lelaki Muslim diwajibkanmengerjakan salat Jumaat berjamaah.
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk mengerjakan salat pada
hari Jumaat maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli.
Itulah yang lebih baik bagi kamu mengetahui."
(Al-Jumu'ah:9)
Pada hari Jumaat ini juga, selain dari mengerjakan salat berjemaah, kaum
Muslimin digesa mendengar khutbah yang mengandungi peringatan-peringatan agama,
yang disampaikan sebelum salat didirikan.
|
Rukun khutbah Jumaat menurut mazhab As-Syafei
- Puji-pujian kepada Allah pada permulaan kedua-dua khutbah.
- Selawat ke atas Rasulullah dalam kedua-dua khutbah.
- Berwasiat supaya para jemaah bertaqwa kepada Allah.
- Membaca sekurang-kurangnya sepotong ayat Al-Quran di
dalam salah satu dari dua khutbah tersebut.
- Mendoakan orang-orang Islam di dalam khutbah kedua.
|
Orang-orang Islam perlu menyedari betapa penting dan besarnya
peranan khutbah Jumaat sebagai saluran dakwah dan tarbiyyah
di dalam membentuk serta membimbing ummah. Atas dasar ini, kaum
Muslimin diperintah menghadiri salat Jumaat, bukan setakat untuk
salat dua rakaat berjamaah sahaja, bahkan supaya mereka tidak
ketinggalan daripada menerima pendidikan agama yang disampaikan
melalui khutbah.
Meningkatkan Keberkesanan Khutbah
Maka untuk mengoptimumkan potensi yang sedia ada di dalam ibadah
salat dan khutbah Jumaat ini, MUIS telah membentuk sebuah panel
penulis penulis khutbah, yang diketuai oleh Ustaz Syed Abdillah
Aljufri, bagi menyiapkan khutbah-khutbah yang lebih bermutu, tersusun
dan relevan dengan isu-isu semasa yang perlu diketengahkan kepada
masyarakat.
Persiapan untuk Sslat Jumaat
Disamping itu, setiap jemaah yang menghadiri salat Jumaat
juga mempunyai peranan untuk menjadikan khutbah yang disampaikan
itu lebih berkesan. Di anatara perkara yang perlu diberi
perhatian:
- Kehadiran awal waktu ke masjid supaya jemaah dapat mendengar
seluruh khutbah yang disampaikan. Menurut Rasulullah, mereka
yang datang hanya selepas imam berada di atas mimbar tidak mendapat
keistimewaan namanya dicatat oleh malaikat. Di samping itu,
ganjaran orang yang datang ke masjid awal berbeza dengan mereka
yang datang lewat, sepertimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah
dalam hadisnya yang bermaksud:
"Bila masa hari Jumaat, terdapat malaikat-malaikat disetiap pintu masjid
yang mencatat kedatangan jemaah menurut siapa yang lebih awal, maka
apabila imam duduk (di atas mimbar) malaikat-malaikat tersebut menutup
buku-buku catatan dan masuk mendengar khutbah. Orang yang datang paling
awal adalah umpama orang yang mengorbankan seekor unta, yang datang lepas
itu umpama mengorbankan seekor lembu, yang datang lepas itu pula umpama
mengorbankan seekor kambing, yang datang lepas itu lagi umpama mengorbankan
seekor ayam, dan yang datang lepas itu pula umpama mengorbankan sebiji telur
sahaja."
- Sunnah membersihkan diri dan mandi sebelum ke masjid - bagi mengelakkan
gangguan bau busuk yang boleh mengganggu penumpuan jemaah lain; lebih segar
untuk mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib, menghindarkan dari
rasa ngantuk atau tertidur ketika khatib menyampaikan khutbahnya.
- Disarankan supaya mengambil juadah yang ringan bagi mengalas perut
sebelum ke masjid - perut yang terlalu kenyang boleh menimbulkan rasa
ngantuk dan boleh mengganggu penumpuan.