RASULULLAH saw telah
bersabda yang ber
maksud: "Tuhan tidak mengangkat sesuatu ilmu dengan mencabutnya dari manusia tetapi Ia mengangkatnya dengan matinya para ulama."
Begitulah gambaran yang diberikan oleh Rasulullah (saw) tentang kerugian sesuatu masyarakat dengan kematian ulama.
Masyarakat Islam Singapura khasnya telah kehilangan seorang ulama unggul pada 22 September 97. Shaikh Umar bin Abdullah bin Ahmad Alkhatib seorang ulama yang terkenal bukan sahaja di rantau ini bahkan juga di banyak negara Islam khasnya Yemen dan Saudi Arabia telah kembali ke Rahmatullah di rumahnya setelah menjangkau usia 90 tahun yang penuh dengan bakti mulia kepada agama Islam dan masyarakat Islam. Dilahirkan di Tarim, Hadramaut, Yemen Selatan pada tahun 1907M-1325H dari keluarga yang terkenal dalam ilmu agama kerana ramai dari kalangan mereka yang menjadi ulama. Sejak kecil lagi beliau telah menunjukkan kemampuannya dalam mempelajari ilmu Syariat Islam. Beliau telah menghafal al-Quran ketika berumur 9 tahun dan mengatasi rakan-rakannya dalam sekolah hampir dalam semua matapelajaran. Beliau telah mendapat pengajaran dari ulama-ulama ulung di negerinya yang lebih dari 70 orang bahkan juga dari bandar-bandar Hadramaut yang lain. Antara gurunya yang sangat terkenal adalah Syaikh Abubakar bin Abdullah Alkhatib, Abdur Rahim bin Abdullah bin Salim Alkhatib, Habib Abdur Rahman bin Ubaidillah Assegaf, Habib Alwi bin Abdur Rahman Alseri dan ramai lagi tetapi yang sangat diingati olehnya antara masyayiknya yang begitu ramai adalah Habib Abdullah bin Idrus bin Alwi Al Idrus.
Guru-gurunya sangat menyanjung dan kasih kepadanya kerana mendapatinya begitu cerdas dan bijak dalam menghafal dan menguasai ilmu-ilmu Syariat Islam yang dipelajarinya khasnya ilmu al-Quran dan cabang-cabangnya seperti ilmu tafsir, ilmu qiraat dan tawarikh. Begitu juga ia mahir dalam ilmu bahasa Arab dan cabang-cabangnya seperti balaghah, nahu, Syair Arab dan lain-lain lagi. Suatu ilmu yang boleh dikatakan sungguh luarbiasa yang ada pada dirinya dan tidak ada pada kebanyakan ulama lain adalah beliau menghafal nasab keturunan keluarga Arab khasnya Arab Yemen Hadramaut dan asal-usulnya.
Oleh kerana kebolehannya yang meluas dan tinggi, ulama Tarim telah merancang melantiknya menjadi kadi di kota Tarim. Oleh kerana perasaan warak dan rendah diri beliau telah menolaknya. Oleh kerana takut digesa oleh orang-orang yang ia merasa segan untuk menolak maka beliau telah membuat keputusan untuk keluar negeri dan berhijrah ke Singapura kira-kira pada tahun 1935. Beliau telah memulakan hidup di Singapura dengan bekerja sebagai kerani di salah satu syarikat hartanah. Kemudian beliau telah mencuba berniaga sendiri secara kecil-kecilan. Tetapi bila sahaja ada kumpulan tadarus ilmu ugama, beliau selalu mengikutinya.
Pada tahun 1967 beliau telah pergi ke Makkah dan tinggal di sana selama 10 tahun dan kembali semula ke Singapura pada tahun 1977. Pada tahun 1977 itulah beliau telah mula aktif dalam bidang pengajaran dan dakwah sehingga ke akhir hayatnya. Ramai yang telah mengikuti kelas bimbingannya yang telah diadakan hampir tiap hari dan malam. Ada yang dalam peringkat permulaan dan ada yang dalam peringkat atasan dengan bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya. Kelas tadarusnya itu terkenal kepada ramai ulama luar negeri. Apabila sahaja datang seseorang ulama dari luar negeri antara tempat yang mesti dilawat adalah majlis ilmu yang dipimpin oleh beliau. Ada juga yang datang ke Singapura khusus untuk menemuinya atau mengambil ijazah dengan menjadi muridnya. Kesemua kelas bimbingan itu adalah secara percuma dengan tidak mengharapkan upahan bahkan hanya mengharapkan keredaan Ilahi semata-mata. Walaupun begitu rezekinya tetap mencurah datang kepadanya. Murid-muridnya bahkan ramai orang yang mengenalinya tetap membantu dalam mengenang khidmat suci yang dicurahkannya. Pendapatannya yang lebih dari keperluannya itu senantiasa dibahagi-bahagikan kepada ramai keluarga miskin di negerinya, Tarim secara sulit yang dikatakan sampai angka ratusan. Peninggalannya itu sungguh merugikan masyarakat Islam setempat.
Rahimahullah Rahmatal Abrar. Amin.