Pegawai Dakwah,
MUIS
|
Ucap Tahniah Atas Kelahiran
|
|
Amalan Sejurus Selepas Kelahiran
|
|
Azan dan Qamat
|
|
Amalan Tahnik
|
|
Amalan Pada Hari Ketujuh:
|
|
Aqiqah
|
|
Mencukur Rambut
|
|
Menamakan Bayi
|
|
Hukum Menamakan Anak Angkat dan Menukar Nama Bapa Kepada Nama Suami
|
|
Hukum Berkhatan Bagi Lelaki dan Perempuan
|
|
Tembuni atau uri bayi. Apa perlu dibuat?
|
|
Adat melenggan perut dan pemeriksaan scanning
|
|
Hukum menggugurkan kandungan
|
|
Keguguran janin. Apa yang perlu dilakukan
|
|
Mendapat anak yang cacat
|

KELAHIRAN anak adalah saat yang dinanti-nantikan oleh pasangan yang berumah-tangga.
Hubungan suami-isteri menjadi lebih erat dan mesra dengan lahirnya anak.
Pasangan yang dikurniakan anak boleh berbangga bahawa keturunan mereka
akan diteruskan dengan kelahiran anak, penyambung zuriat. Atas sebab ini
juga, Rasulullah saw pernah bersabda menggalakkan perkahwinan demi
meramaikan zuriat dan umat yang beriman.
Umat Islam sewajarnya bersyukur kerana menganuti agama Islam yang telah mengatur dan memberi panduan dalam hampir seluruh kegiatan manusia. Sehingga kepada persoalan kelahiran anak, umat Islam diajar cara yang paling sesuai yang menepati fitrah manusia itu sendiri.
Ucap Tahniah Atas Kelahiran
Kegembiraan yang dirasai oleh pasangan yang dikurniakan anak, hendaklah dikongsi sama oleh kita. Sama ada sebagai kawan atau saudara, kita mesti melahirkan rasa syukur dan gembira kita dengan ketibaan cahaya mata itu. Ketika Rasulullah saw dilahirkan, berita gembira kelahiran itu disampaikan kepada Abu Lahab yang kemudian membebaskan hamba sahayanya sebagai tanda kegembiraan-nya.
Islam telah mengajar kita bahawa apabila kita mengucapkan tahniah kepada pasangan yang dikurniakan cahaya mata, doa yang baik untuk dilafazkan ialah: "Burika fil mauhub, wa syakartal wahib, wa bulligha asyuddahu, wa ruzikta birrahu". (Semoga Allah memberi barkah di atas anak itu, dan hendaklah engkau mensyukuri Allah, semoga anak itu membesar dewasa dan kuat dan engkau mendapat ketaatannya.)
Sekarang ini, kita melahirkan ucapan tahniah melalui pemberian hamper dan kad ucap selamat yang ditempah dan dihantar terus kepada ibu dan anak tersebut. Cara ini memang mudah dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam cuma kadangkala kemesraan yang timbul dari kunjungan peribadi tidak dapat dirasakan.
Amalan Sejurus Selepas Kelahiran
a) Azan dan Qamat
Sejurus selepas kelahiran, sunat diazankan pada telinga kanan bayi itu dan diqamatkan di telinga kirinya. Diriwayatkan dari hadis Rasulullah saw bahawa Baginda pernah azan pada telinga Hasan bin Ali. Dan Baginda per-nah juga qamat pada telinga kiri bayi.
Ibnu Jauzi di dalam kitab 'Tuhfah al-Maulud' menyatakan bahawa hikmah di sebalik azan dan qamat itu adalah supaya kalimah pertama yang didengar oleh bayi itu adalah kalimah-kalimah yang mengandungi kebesaran dan keagungan Allah.
Yang demikian adalah sebagai isyarat pemberitahuan kepada bayi itu tentang syiar Islam ketika mula lahir ke alam dunia.
b) Amalan Tahnik
Amalan tahnik ini bererti mencecahkan korma yang telah dimamah oleh orang alim atau orang salih ke lelangit mulut bayi itu. Jika tidak terdapat korma, boleh digantikan benda-benda manis seperti madu. Amalan tahnik ini adalah sunat.
Di dalam hadis Rasulullah saw diriwayatkan: "Bahawa Rasulullah saw telah mentahnik anak-anak dari kaum Ansar".
Amalan ini juga dinamakan oleh orang-orang tua kita sebagai adat membelah mulut. Membelah mulut dilakukan setelah bayi itu diazan dan diqamatkan.
Amalan Pada Hari Ketujuh:
a) Aqiqah
Menurut amalan Rasulullah saw, hukumnya sunat mengadakan aqiqah pada hari ketujuh dari kelahiran anak. Aqiqah ini dilaksanakan dengan menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Imam Ahmad dan Tarmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah ditanya tentang aqiqah, lalu Baginda menjawab: "Bagi lelaki dua ekor kambing, bagi perempuan seekor kambing".
Majlis aqiqah tidaklah semestinya diadakan pada hari ketujuh kelahiran anak itu, walaupun banyak hadis yang menyebut kelebihan dan sunat diadakan pada hari ketujuh. Sebaliknya jika aqiqah itu diadakan pada hari keempat, kelapan, kesepuluh atas selepas itu sekalipun, hukum aqiqah itu telah terlaksana, insya'Allah. Ada pendapat yang mengatakan aqiqah boleh dilakukan selagi anak itu belum baligh. Sebahagian ulama berpendapat bahawa apabila anak itu sudah baligh maka tidaklah sunat lagi bagi bapa anak itu melakukan amalan aqiqah itu.
Aqiqah yang diadakan sebenarnya bertujuan untuk melahirkan rasa kesyukuran dengan kurniaan Allah disamping mempelawa sanak-saudara, handai-taulan dan jiran-tetangga meraikan kegembiraan pasangan yang dikurniakan cahaya mata. Oleh itu, sunat mengadakan aqiqah ini tidaklah diberatkan dan dibebankan kepada pasangan yang tidak berkemampuan.
Cara melakukan ibadat aqiqah itu samalah seperti melakukan ibadat qurban. Bezanya ialah bahawa qurban itu dilakukan pada Hari Raya Aidiladha atau/dan tiga hari tasyrik, manakala aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Binatang yang dijadikan aqiqah ialah kambing, unta atau lembu yang sihat, berumur antara 2 hingga 3 tahun, tidak cacat. Tidak sah binatang yang tempang, buta atau sakit dijadikan aqiqah. Aqiqah dengan kambing ialah aqiqah bersendirian, tetapi lembu atau unta boleh dijadikan aqiqah berkongsi.
Menyembelih binatang aqiqah adalah sama dengan cara menyembelih binatang-binatang biasa tetapi hendaklah dengan niat aqiqah. Daging aqiqah itu hendaklah dipotong-potong dengan tidak mematah atau memecahkan tulangnya. Dagingnya pula sunat dibahagi tiga; sepertiga untuk makanan yang empunya aqiqah, sepertiga untuk dihadiahkan dan sepertiga untuk disedekahkan.
b) Mencukur Rambut
Pada hari ketujuh ini, sunat mencukur rambut bayi. Ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, maksudnya: "Rasulullah saw telah menyuruh agar dicukur rambut Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua, lalu dicukur dan disedekahkan timbangan rambut itu dengan nilai perak."
Setelah rambut bayi itu dicukur, ianya tidak langsung dibuang. Sebaliknya, rambut itu ditimbang dengan perak, dan nilainya disedekahkan kepada fakir miskin. Apabila kita mencukur rambut bayi, rambut itu hendaklah dicukur semuanya. Bukan sekadar menggunting beberapa helai rambut ataupun dicukur sebahagiannya dan ditinggalkan sebahagiannya.
Mengikut adat yang diamalkan, suatu kenduri diadakan bagi upacara mencukur rambut. Pada majlis tersebut, bayi itu dibawa ke ruang tengah dan disambut dengan taburan beras kunyit yang bercampur dengan wang duit atau syiling. Tiga atau lima atau tujuh orang tetamu yang dihormati akan diminta memotong rambut bayi itu. Tetamu akan mengambil sejemput beras kunyit dan sejemput bertih lalu menaburkannya di keliling bayi; kemudian menyapukannya air tepung tawar ke bahagian rambut yang hendak dipotongnya lalu mengambil gunting dan memotong rambut bayi itu. Potongan rambut yang digunting tadi dimasukkan ke dalam mangkuk.
Majlis kenduri atau bacaan maulid berzanji yang diadakan serentak dengan majlis mencukur rambut itu tidaklah menyalahi peraturan syariat.
Akan tetapi perbuatan menabur beras kunyit, wang, bertih serta memasukkan potongan rambut itu ke dalam mangkuk atau kelapa muda adalah perbuatan khurafat.
Selain unsur pembaziran, perbuatan-perbuatan yang disebutkan di atas itu jelas tiada hubung-kait dengan anjuran Islam yang menggalakkan pencukuran rambut.
c) Menamakan Bayi
Juga disunatkan pada hari ketujuh dari kelahiran bayi itu, menamakan bayi tersebut. Biarpun begitu, seperti majlis aqiqah, ibubapa tidaklah terikat dengan hari ketujuh. Pada bila-bila masa saja, anak tersebut boleh diberikan nama.
Orang tua dulu, menamakan anak mereka dengan mengambil sempena nama benda atau orang yang mula-mula terlihat oleh waris bayi itu, misalnya: Komeng, Guntur, Comel, Buang, Putih dan sebagainya. Sekarang ini, masyarakat kita yang mempunyai kesedaran agama selalu merujukkan nama-nama yang telah mereka pilih kepada ustaz-ustaz untuk mengetahui makna sebenar; sama ada baik atau buruk. Cara begitu memang bersesuaian dengan anjuran Rasulullah saw yang bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya kamu akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada hari kiamat nanti, maka perelokkanlah nama-nama kamu."
Sekarang ini juga, terdapat sebahagian ibubapa yang memilih nama-nama yang glamour dan pelik (kononnya nama-nama tertentu sudah common dan terlalu banyak digunakan) untuk anak mereka. Nama bintang filem atau penyanyi terkenal lebih mendapat perhatian. Atau nama yang mempunyai unsur Barat seperti Linda, Eddy dan sebagainya.
Kadangkala kita dapati juga bahawa seorang anak mempunyai tiga nama (3-in-1). Nenek dari kedua belah pihak ingin memberikan nama selain dari ibubapa anak tersebut. Akhirnya jadilah nama anak itu panjang misalnya: Azizah Fatimah Hamidah binti Ahmad. Tetapi apabila dipanggil, cuma disebut 'Ah' mengambil dari dua perkataan terakhir dari ketiga-tiga nama.
Hukum Menamakan Anak Angkat dan Menukar Nama Bapa Kepada Nama Suami
Menurut Islam, mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus, tetapi
mengakuinya sebagai anak sendiri dengan dibinkan dan dibintikan anak itu kepada si ayah angkat adalah haram.
Rasulullah saw bersabda menerusi Hadisnya yang bermaksud: "Orang-orang yang berbin/binti kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar maka ia dilaknati oleh Allah."
Orang-orang Islam yang meng-ambil anak angkat dinasihatkan supaya mengebin/membintikan anak angkat-nya itu dengan nama bapanya yang sebenar jika bapanya yang sebenar itu beragama Islam atau mengebin/bintikannya dengan Abdullah sekiranya anak angkatnya itu bukan berasal dari orang Islam.
Menukar nama bapa kepada nama suami pada setengah-setengah wanita kita adalah meniru kebiasaan orang-orang bukan Islam. Misalnya Salmah Kassim (Kassim nama bapanya) diubah kepada Salmah Ahmad (Ahmad nama suaminya). Agama Islam tidak mengakui amalan dan perbuatan sedemikian.
Penukaran nama itu adalah sama dengan menafi dan memutuskan perhubungan keluarga antara anak dengan ibu bapanya. Di samping itu, perbuatan itu menunjukkan seolah-olah wanita itu telah menjadi hak milik suaminya dan melucutkan hak ayahnya ke atas dirinya; sehingga ia membuang nama binti bapanya yang telah mendidik dan memeliharanya sejak kecil.
Hukum Berkhatan Bagi Lelaki dan Perempuan
Terdapat perbezaan pendapat antara ulama berhubung berkhatan bagi lelaki. Pendapat Imam Abu Hanifah bahawa berkhatan hukumnya sunat. Ini berpandukan sebuah Hadis yang bermaksud: "Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan penghormatan bagi perempuan."
Imam Malik, Imam As-Syafei dan Imam Ahmad pula berpendapat bahawa berkhatan itu hukumnya wajib. Mereka membawa dalil dari sebuah Hadis yang bermaksud: "Empat perkara adalah dari amalan para rasul: berkhatan, berwangi-wangian, bersiwak dan bernikah."
Tiada ketentuan berhubung waktu seorang kanak-kanak lelaki atau perempuan itu harus dikhatankan. Tetapi kebanyakan pendapat mengatakan bahawa kanak-kanak lelaki wajib dikhatankan sebelum usia mereka sampai peringkat baligh. Ini adalah kerana pada usia baligh, kanak-kanak lelaki tersebut sudah menjadi mukallaf dan mula dipertanggungjawabkan segala perintah agama. Dalam melaksanakan perintah agama ini, mukallaf itu mestilah dalam keadaan suci dan bersih dari segala najis dan kekotoran.
Mengikut lazim kebiasaan masyarakat Islam kita pula, kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika usia mereka 12 tahun dan diadakan ketika musim cuti sekolah. Musim cuti ini dipilih untuk memberi sedikit masa pada kanak-kanak itu untuk sembuh dan kembali bergerak aktif.
Tembuni atau uri bayi. Apa perlu dibuat?
Menurut amalan orang dulu, tembuni anak yang keluar sesudah kelahiran anak tersebut akan diambil dan dibersihkan. Tembuni itu kemudian akan dimasukkan ke dalam bekas dan ditanam. Amalan ini dilakukan dengan alasan bahawa tembuni itu adalah kembar anak tersebut atau merupakan sebahagian dari anggota anak yang baru lahir itu.
Ibubapa memang berhak mengambil tembuni itu dan menanamnya, tetapi dakwaan seperti di atas adalah bertentangan dengan Islam dan kepercayaan yang khurafat. Jika ibu-bapa tidak mengambil tembuni tersebut dan menyerahkannya kepada pihak hospital, perbuatan tersebut juga tidak menyalahi ajaran Islam.
Adat melenggang perut dan pemeriksaan scanning
Bila ibu mengandungkan anak sulungnya, dan masa hamilnya sudah mencapai tujuh bulan, bidan dipanggil untuk menjalankan adat berlenggang perut. Direntangkan kain sepanjang tujuh helai, disusun berlapis-lapis dan ibu yang hamil itu disuruh baring berlentang. Tengah-tengah kain itu terletak bahagian pinggang. Hujung kain berada di sebelah kiri dan kanannya. Bidan kemudian menarik helai demi helai kain panjang itu, arah ke kanan pada helai yang pertama dan ke kiri pada helai yang berikutnya, begitulah seterusnya berselang-seli.
Menurut adat Banjar, diambil tiga biji kelapa dan kelapa itu dibelah dua. Kepercayaan anak itu tidak selamat kalau tidak menjalankan adat itu merupakan khurafat. Begitu juga, kepercayaan anak itu selamat kalau belahan kelapa itu elok, juga merupakan khurafat.
Adat melenggang perut yang diamalkan sebenarnya bertujuan memastikan kedudukan bayi dalam kandungan adalah betul.
Cuma
yang menjadikan amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam ialah apabila kepercayaan khurafat dikaitkan dengan keselamatan bayi dalam kandungan.
Walaupun adat melenggang perut ini tidak diamalkan lagi, pemeriksaan scanning yang dilakukan terhadap ibu yang mengandung juga mempunyai tujuan yang sama dengan adat melenggang perut. Selain dari memastikan kedudukan bayi dalam kandungan, scanning juga dikatakan dapat membantu mengenalpasti jantina bayi itu. Islam tidak melarang pemeriksaan scanning khusus berkenaan kedudukan bayi dalam kandungan. Bahkan pemeriksaan ini dapat membantu memudahkan si ibu apabila tiba waktu melahirkan. Bayi yang tidak betul kedudukannya dalam perut atau diistilahkan 'songsang' boleh membahayakan kedua-dua ibu dan bayi tersebut.
Scanning untuk melihat jantina bayi itu juga tidak menyalahi agama kerana ia hanya ramalan semata-mata. Mempercayai hasil pemeriksaan ini tidak bermakna seseorang itu mengengkari kuasa dan ilmu Allah swt. Bahkan realitinya banyak laporan menunjukkan bahawan ramalan awal hasil pemerik-saan scanning adalah sebaliknya.
Hukum menggugurkan kandungan
Perkembangan teknologi per-ubatan telah banyak memberi khidmat kepada ibu yang mengandung. Antara perkhidmatan yang diberikan ialah mengadakan pemeriksaan terhadap bayi dalam kandungan setelah mencapai usia empat bulan sama ada bayi tersebut cacat atau sebaliknya. Perkhidmatan ini lebih ditujukan kepada ibu yang sudah menjangkau usia 35 tahun atau 40 tahun yang dikategorikan oleh ilmu perubatan sakit puan sebagai golongan yang berisiko tinggi. Jika hasil pemeriksaan mendapati bahawa bayi tersebut cacat, ibubapa itu diberi pilihan untuk menggugurkan kandungan tersebut.
Tidak dinafikan bahawa ibubapa yang mendapat perkhabaran dari doktor bahawa bayi dalam kandungan mereka disah cacat pasti mengalami satu tekanan perasaan antara menerima hakikat kecacatan anak yang bakal dilahirkan atau menggugurkan saja kandungan itu atas alasan kasihan dan simpati pada anak yang akan hidup kelak dalam keadaan serba kekurangan.
Di dalam Islam, pengguguran anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram.
Bahkan ia merupakan satu perbuatan jenayah. Perbuatan ini merupakan satu pembunuhan ke atas makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat Islam sama sekali ditegah dari melakukannya.
Kecuali pengguguran itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa ibu tersebut.
Ini tidak pula bermakna bahawa pengguguran sebelum 4 bulan dibenarkan dalam Islam. Walaupun ada pendapat dari sebahagian ulama yang membenarkan pengguguran sebelum 4 bulan disebabkan kandungan itu boleh dipastikan hidupnya, ilmu perubatan sekarang telah mengesahkan bahawa janin itu sudah hidup sejak pen-cantuman benih lelaki dan perempuan. Maka bersandarkan kepada kenyataan ini, maka pengguguran benih itu juga dihukumkan sebagai haram.
Keguguran janin. Apa yang perlu dilakukan?
Kandungan yang belum sempurna atau keguguran ketika hamil memang ada berlaku. Keguguran itu kadang-kadang berlaku ketika kandungan itu berusia sebulan atau tiga bulan atau lima atau tujuh bulan. Janin yang gugur pula itu kadang-kadang telah sempurna tubuh anggotanya dan ada pula yang separuh sempurna.
Dalam keadaan begini, Islam telah memberi panduan cara mengurus dan menyempurnakan janin tersebut. Jika janin yang gugur itu terdapat padanya tanda-tanda bernyawa seperti bergerak ia dan bersuara ia, maka keguguran itu hendaklah disempurnakan seperti lazimnya menyempurnakan mayat orang dewasa. Bererti keguguran itu mesti dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Jika tidak terdapat tanda bernyawa tetapi mempunyai bentuk manusia seperti kelihatan telinganya atau jari-jarinya atau apa jua anggota badannya, maka keguguran itu hanya dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disembahyangkan.
Jika tidak terdapat langsung apa-apa tanda sama ada bernyawa atau bentuknya, maka keguguran itu tidak wajib disempurnakan seperti lazimnya. Tetapi adalah digalakkan dan sunat hukumnya keguguran itu dibungkus dan kemudiannya ditanam sahaja.
Mendapat anak yang cacat
Semua ibubapa mengharapkan agar anak yang lahir itu sempurna tubuh badannya dan sihat akal fikirannya. Namun hakikatnya manusia merancang dan ketentuannya adalah dari Allah swt. Cacat atau sempurnanya anak yang lahir itu tetap merupakan anugerah Allah dan ibubapa wajib bersyukur di atas pemberian itu.
Tiada seorang manusia pun yang dapat menjangkakan dengan pasti bentuk kehidupan yang akan dilalui. Terdapat di dunia ini, manusia yang cukup anggota badannya tetapi kehidupannya kocar-kacir, melarat dan miskin hasil dari sikap malasnya untuk belajar dan bekerja. Di dunia yang sama, kita dapat bertemu dan mungkin juga telah mendengar orang-orang yang hidup serba kekurangan dari segi fizikal, orang yang dikatakan tidak punya harapan untuk hidup lama telah berjuang melawan segala kekurangan yang ada dan akhirnya membuktikan kepada dunia bahawa kecacatan anggota bukanlah bererti hilangnya semangat dan kesungguhan untuk belajar dan bekerja.
Sebagai seorang Muslim, kita berkeyakinan bahawa anak yang dikurniakan itu tetap mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Allah swt yang mencipta anak itu lebih mengetahui tentang ciptaan-Nya. Insya'Allah, selagi kita redha dengan pemberian Allah swt itu dan sabar dengan keadaan yang kita hadapi, kita akan dapat menyingkap rahsia sebenar dari anugerah Allah itu.