Menyambut Kelahiran: Panduan Islam Untuk Ibubapa

........sambungan


Amalan Pada Hari Ketujuh:

a) Aqiqah
Menurut amalan Rasulullah saw, hukumnya sunat mengadakan aqiqah pada hari ketujuh dari kelahiran anak. Aqiqah ini dilaksanakan dengan menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Imam Ahmad dan Tarmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah ditanya tentang aqiqah, lalu Baginda menjawab: "Bagi lelaki dua ekor kambing, bagi perempuan seekor kambing".

Majlis aqiqah tidaklah semestinya diadakan pada hari ketujuh kelahiran anak itu, walaupun banyak hadis yang menyebut kelebihan dan sunat diadakan pada hari ketujuh. Sebaliknya jika aqiqah itu diadakan pada hari keempat, kelapan, kesepuluh atas selepas itu sekalipun, hukum aqiqah itu telah terlaksana, insya'Allah. Ada pendapat yang mengatakan aqiqah boleh dilakukan selagi anak itu belum baligh. Sebahagian ulama berpendapat bahawa apabila anak itu sudah baligh maka tidaklah sunat lagi bagi bapa anak itu melakukan amalan aqiqah itu.

Aqiqah yang diadakan sebenarnya bertujuan untuk melahirkan rasa kesyukuran dengan kurniaan Allah disamping mempelawa sanak-saudara, handai-taulan dan jiran-tetangga meraikan kegembiraan pasangan yang dikurniakan cahaya mata. Oleh itu, sunat mengadakan aqiqah ini tidaklah diberatkan dan dibebankan kepada pasangan yang tidak berkemampuan.

Cara melakukan ibadat aqiqah itu samalah seperti melakukan ibadat qurban. Bezanya ialah bahawa qurban itu dilakukan pada Hari Raya Aidiladha atau/dan tiga hari tasyrik, manakala aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Binatang yang dijadikan aqiqah ialah kambing, unta atau lembu yang sihat, berumur antara 2 hingga 3 tahun, tidak cacat. Tidak sah binatang yang tempang, buta atau sakit dijadikan aqiqah. Aqiqah dengan kambing ialah aqiqah bersendirian, tetapi lembu atau unta boleh dijadikan aqiqah berkongsi.

Menyembelih binatang aqiqah adalah sama dengan cara menyembelih binatang-binatang biasa tetapi hendaklah dengan niat aqiqah. Daging aqiqah itu hendaklah dipotong-potong dengan tidak mematah atau memecahkan tulangnya. Dagingnya pula sunat dibahagi tiga; sepertiga untuk makanan yang empunya aqiqah, sepertiga untuk dihadiahkan dan sepertiga untuk disedekahkan.

b) Mencukur Rambut
Pada hari ketujuh ini, sunat mencukur rambut bayi. Ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, maksudnya: "Rasulullah saw telah menyuruh agar dicukur rambut Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua, lalu dicukur dan disedekahkan timbangan rambut itu dengan nilai perak."

Setelah rambut bayi itu dicukur, ianya tidak langsung dibuang. Sebaliknya, rambut itu ditimbang dengan perak, dan nilainya disedekahkan kepada fakir miskin. Apabila kita mencukur rambut bayi, rambut itu hendaklah dicukur semuanya. Bukan sekadar menggunting beberapa helai rambut ataupun dicukur sebahagiannya dan ditinggalkan sebahagiannya.

Mengikut adat yang diamalkan, suatu kenduri diadakan bagi upacara mencukur rambut. Pada majlis tersebut, bayi itu dibawa ke ruang tengah dan disambut dengan taburan beras kunyit yang bercampur dengan wang duit atau syiling. Tiga atau lima atau tujuh orang tetamu yang dihormati akan diminta memotong rambut bayi itu. Tetamu akan mengambil sejemput beras kunyit dan sejemput bertih lalu menaburkannya di keliling bayi; kemudian menyapukannya air tepung tawar ke bahagian rambut yang hendak dipotongnya lalu mengambil gunting dan memotong rambut bayi itu. Potongan rambut yang digunting tadi dimasukkan ke dalam mangkuk.

Majlis kenduri atau bacaan maulid berzanji yang diadakan serentak dengan majlis mencukur rambut itu tidaklah menyalahi peraturan syariat.

Akan tetapi perbuatan menabur beras kunyit, wang, bertih serta memasukkan potongan rambut itu ke dalam mangkuk atau kelapa muda adalah perbuatan khurafat.

Selain unsur pembaziran, perbuatan-perbuatan yang disebutkan di atas itu jelas tiada hubung-kait dengan anjuran Islam yang menggalakkan pencukuran rambut.

c) Menamakan Bayi
Juga disunatkan pada hari ketujuh dari kelahiran bayi itu, menamakan bayi tersebut. Biarpun begitu, seperti majlis aqiqah, ibubapa tidaklah terikat dengan hari ketujuh. Pada bila-bila masa saja, anak tersebut boleh diberikan nama.

Orang tua dulu, menamakan anak mereka dengan mengambil sempena nama benda atau orang yang mula-mula terlihat oleh waris bayi itu, misalnya: Komeng, Guntur, Comel, Buang, Putih dan sebagainya. Sekarang ini, masyarakat kita yang mempunyai kesedaran agama selalu merujukkan nama-nama yang telah mereka pilih kepada ustaz-ustaz untuk mengetahui makna sebenar; sama ada baik atau buruk. Cara begitu memang bersesuaian dengan anjuran Rasulullah saw yang bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya kamu akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada hari kiamat nanti, maka perelokkanlah nama-nama kamu."

Sekarang ini juga, terdapat sebahagian ibubapa yang memilih nama-nama yang glamour dan pelik (kononnya nama-nama tertentu sudah common dan terlalu banyak digunakan) untuk anak mereka. Nama bintang filem atau penyanyi terkenal lebih mendapat perhatian. Atau nama yang mempunyai unsur Barat seperti Linda, Eddy dan sebagainya.

Kadangkala kita dapati juga bahawa seorang anak mempunyai tiga nama (3-in-1). Nenek dari kedua belah pihak ingin memberikan nama selain dari ibubapa anak tersebut. Akhirnya jadilah nama anak itu panjang misalnya: Azizah Fatimah Hamidah binti Ahmad. Tetapi apabila dipanggil, cuma disebut 'Ah' mengambil dari dua perkataan terakhir dari ketiga-tiga nama.

........sambungan