Menurut Islam, mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus, tetapi
mengakuinya sebagai anak sendiri dengan dibinkan dan dibintikan anak itu kepada si ayah angkat adalah haram.
Rasulullah saw bersabda menerusi Hadisnya yang bermaksud: "Orang-orang yang berbin/binti kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar maka ia dilaknati oleh Allah."
Orang-orang Islam yang meng-ambil anak angkat dinasihatkan supaya mengebin/membintikan anak angkat-nya itu dengan nama bapanya yang sebenar jika bapanya yang sebenar itu beragama Islam atau mengebin/bintikannya dengan Abdullah sekiranya anak angkatnya itu bukan berasal dari orang Islam.
Menukar nama bapa kepada nama suami pada setengah-setengah wanita kita adalah meniru kebiasaan orang-orang bukan Islam. Misalnya Salmah Kassim (Kassim nama bapanya) diubah kepada Salmah Ahmad (Ahmad nama suaminya). Agama Islam tidak mengakui amalan dan perbuatan sedemikian.
Penukaran nama itu adalah sama dengan menafi dan memutuskan perhubungan keluarga antara anak dengan ibu bapanya. Di samping itu, perbuatan itu menunjukkan seolah-olah wanita itu telah menjadi hak milik suaminya dan melucutkan hak ayahnya ke atas dirinya; sehingga ia membuang nama binti bapanya yang telah mendidik dan memeliharanya sejak kecil.
Hukum Berkhatan Bagi Lelaki dan Perempuan
Terdapat perbezaan pendapat antara ulama berhubung berkhatan bagi lelaki. Pendapat Imam Abu Hanifah bahawa berkhatan hukumnya sunat. Ini berpandukan sebuah Hadis yang bermaksud: "Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan penghormatan bagi perempuan."
Imam Malik, Imam As-Syafei dan Imam Ahmad pula berpendapat bahawa berkhatan itu hukumnya wajib. Mereka membawa dalil dari sebuah Hadis yang bermaksud: "Empat perkara adalah dari amalan para rasul: berkhatan, berwangi-wangian, bersiwak dan bernikah."
Tiada ketentuan berhubung waktu seorang kanak-kanak lelaki atau perempuan itu harus dikhatankan. Tetapi kebanyakan pendapat mengatakan bahawa kanak-kanak lelaki wajib dikhatankan sebelum usia mereka sampai peringkat baligh. Ini adalah kerana pada usia baligh, kanak-kanak lelaki tersebut sudah menjadi mukallaf dan mula dipertanggungjawabkan segala perintah agama. Dalam melaksanakan perintah agama ini, mukallaf itu mestilah dalam keadaan suci dan bersih dari segala najis dan kekotoran.
Mengikut lazim kebiasaan masyarakat Islam kita pula, kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika usia mereka 12 tahun dan diadakan ketika musim cuti sekolah. Musim cuti ini dipilih untuk memberi sedikit masa pada kanak-kanak itu untuk sembuh dan kembali bergerak aktif.
Tembuni atau uri bayi. Apa perlu dibuat?
Menurut amalan orang dulu, tembuni anak yang keluar sesudah kelahiran anak tersebut akan diambil dan dibersihkan. Tembuni itu kemudian akan dimasukkan ke dalam bekas dan ditanam. Amalan ini dilakukan dengan alasan bahawa tembuni itu adalah kembar anak tersebut atau merupakan sebahagian dari anggota anak yang baru lahir itu.
Ibubapa memang berhak mengambil tembuni itu dan menanamnya, tetapi dakwaan seperti di atas adalah bertentangan dengan Islam dan kepercayaan yang khurafat. Jika ibu-bapa tidak mengambil tembuni tersebut dan menyerahkannya kepada pihak hospital, perbuatan tersebut juga tidak menyalahi ajaran Islam.
Adat melenggang perut dan pemeriksaan scanning
Bila ibu mengandungkan anak sulungnya, dan masa hamilnya sudah mencapai tujuh bulan, bidan dipanggil untuk menjalankan adat berlenggang perut. Direntangkan kain sepanjang tujuh helai, disusun berlapis-lapis dan ibu yang hamil itu disuruh baring berlentang. Tengah-tengah kain itu terletak bahagian pinggang. Hujung kain berada di sebelah kiri dan kanannya. Bidan kemudian menarik helai demi helai kain panjang itu, arah ke kanan pada helai yang pertama dan ke kiri pada helai yang berikutnya, begitulah seterusnya berselang-seli.
Menurut adat Banjar, diambil tiga biji kelapa dan kelapa itu dibelah dua. Kepercayaan anak itu tidak selamat kalau tidak menjalankan adat itu merupakan khurafat. Begitu juga, kepercayaan anak itu selamat kalau belahan kelapa itu elok, juga merupakan khurafat.
Adat melenggang perut yang diamalkan sebenarnya bertujuan memastikan kedudukan bayi dalam kandungan adalah betul.
Cuma
yang menjadikan amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam ialah apabila kepercayaan khurafat dikaitkan dengan keselamatan bayi dalam kandungan.
Walaupun adat melenggang perut ini tidak diamalkan lagi, pemeriksaan scanning yang dilakukan terhadap ibu yang mengandung juga mempunyai tujuan yang sama dengan adat melenggang perut. Selain dari memastikan kedudukan bayi dalam kandungan, scanning juga dikatakan dapat membantu mengenalpasti jantina bayi itu. Islam tidak melarang pemeriksaan scanning khusus berkenaan kedudukan bayi dalam kandungan. Bahkan pemeriksaan ini dapat membantu memudahkan si ibu apabila tiba waktu melahirkan. Bayi yang tidak betul kedudukannya dalam perut atau diistilahkan 'songsang' boleh membahayakan kedua-dua ibu dan bayi tersebut.
Scanning untuk melihat jantina bayi itu juga tidak menyalahi agama kerana ia hanya ramalan semata-mata. Mempercayai hasil pemeriksaan ini tidak bermakna seseorang itu mengengkari kuasa dan ilmu Allah swt. Bahkan realitinya banyak laporan menunjukkan bahawan ramalan awal hasil pemerik-saan scanning adalah sebaliknya.
........sambungan