Menyambut Kelahiran: Panduan Islam Untuk Ibubapa

........sambungan


Hukum menggugurkan kandungan

Perkembangan teknologi per-ubatan telah banyak memberi khidmat kepada ibu yang mengandung. Antara perkhidmatan yang diberikan ialah mengadakan pemeriksaan terhadap bayi dalam kandungan setelah mencapai usia empat bulan sama ada bayi tersebut cacat atau sebaliknya. Perkhidmatan ini lebih ditujukan kepada ibu yang sudah menjangkau usia 35 tahun atau 40 tahun yang dikategorikan oleh ilmu perubatan sakit puan sebagai golongan yang berisiko tinggi. Jika hasil pemeriksaan mendapati bahawa bayi tersebut cacat, ibubapa itu diberi pilihan untuk menggugurkan kandungan tersebut.

Tidak dinafikan bahawa ibubapa yang mendapat perkhabaran dari doktor bahawa bayi dalam kandungan mereka disah cacat pasti mengalami satu tekanan perasaan antara menerima hakikat kecacatan anak yang bakal dilahirkan atau menggugurkan saja kandungan itu atas alasan kasihan dan simpati pada anak yang akan hidup kelak dalam keadaan serba kekurangan.

Di dalam Islam, pengguguran anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram.

Bahkan ia merupakan satu perbuatan jenayah. Perbuatan ini merupakan satu pembunuhan ke atas makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat Islam sama sekali ditegah dari melakukannya. Kecuali pengguguran itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa ibu tersebut. Ini tidak pula bermakna bahawa pengguguran sebelum 4 bulan dibenarkan dalam Islam. Walaupun ada pendapat dari sebahagian ulama yang membenarkan pengguguran sebelum 4 bulan disebabkan kandungan itu boleh dipastikan hidupnya, ilmu perubatan sekarang telah mengesahkan bahawa janin itu sudah hidup sejak pen-cantuman benih lelaki dan perempuan. Maka bersandarkan kepada kenyataan ini, maka pengguguran benih itu juga dihukumkan sebagai haram.

Keguguran janin. Apa yang perlu dilakukan?

Kandungan yang belum sempurna atau keguguran ketika hamil memang ada berlaku. Keguguran itu kadang-kadang berlaku ketika kandungan itu berusia sebulan atau tiga bulan atau lima atau tujuh bulan. Janin yang gugur pula itu kadang-kadang telah sempurna tubuh anggotanya dan ada pula yang separuh sempurna.

Dalam keadaan begini, Islam telah memberi panduan cara mengurus dan menyempurnakan janin tersebut. Jika janin yang gugur itu terdapat padanya tanda-tanda bernyawa seperti bergerak ia dan bersuara ia, maka keguguran itu hendaklah disempurnakan seperti lazimnya menyempurnakan mayat orang dewasa. Bererti keguguran itu mesti dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Jika tidak terdapat tanda bernyawa tetapi mempunyai bentuk manusia seperti kelihatan telinganya atau jari-jarinya atau apa jua anggota badannya, maka keguguran itu hanya dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disembahyangkan.

Jika tidak terdapat langsung apa-apa tanda sama ada bernyawa atau bentuknya, maka keguguran itu tidak wajib disempurnakan seperti lazimnya. Tetapi adalah digalakkan dan sunat hukumnya keguguran itu dibungkus dan kemudiannya ditanam sahaja.

Mendapat anak yang cacat

Semua ibubapa mengharapkan agar anak yang lahir itu sempurna tubuh badannya dan sihat akal fikirannya. Namun hakikatnya manusia merancang dan ketentuannya adalah dari Allah swt. Cacat atau sempurnanya anak yang lahir itu tetap merupakan anugerah Allah dan ibubapa wajib bersyukur di atas pemberian itu.

Tiada seorang manusia pun yang dapat menjangkakan dengan pasti bentuk kehidupan yang akan dilalui. Terdapat di dunia ini, manusia yang cukup anggota badannya tetapi kehidupannya kocar-kacir, melarat dan miskin hasil dari sikap malasnya untuk belajar dan bekerja. Di dunia yang sama, kita dapat bertemu dan mungkin juga telah mendengar orang-orang yang hidup serba kekurangan dari segi fizikal, orang yang dikatakan tidak punya harapan untuk hidup lama telah berjuang melawan segala kekurangan yang ada dan akhirnya membuktikan kepada dunia bahawa kecacatan anggota bukanlah bererti hilangnya semangat dan kesungguhan untuk belajar dan bekerja.

Sebagai seorang Muslim, kita berkeyakinan bahawa anak yang dikurniakan itu tetap mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Allah swt yang mencipta anak itu lebih mengetahui tentang ciptaan-Nya. Insya'Allah, selagi kita redha dengan pemberian Allah swt itu dan sabar dengan keadaan yang kita hadapi, kita akan dapat menyingkap rahsia sebenar dari anugerah Allah itu.