Sumber Manusia People


Sebagai satu-satunya akhbar Melayu di negara ini, Berita Harian mempunyai peranan dan tanggungjawab yang penting untuk menyampaikan bukan sahaja berita terkini tetapi yang bersifat objektif tentang perkembangan setempat dan dunia.

Di samping itu, ia juga mempunyai tukikan sebagai media masyarakat Melayu yang melaporkan nadi kegiatan masyarakatnya secara meluas.

Tanggungjawab ini bukan saja penting tetapi berat. Seringkali ia perlu bersikap seimbang dan peka. Inilah antara rumusan di akhir pertemuan para pegawai kanan Muis dengan beberapa wartawan kanan Berita Harian termasuk Editor, Encik Guntor Sadali di pejabat Berita Harian, Kim Seng Road, bulan lalu.

Rombongan Muis dipimpin Haji Abdul Rahim Saleh, Pengarah Divisyen Perkhidmatan Korporat. Lain-lain pegawai terdiri daripada para pengurus jabatan-jabatan utama Muis.

Menurut Encik Zulkifli Rahmat, Timbalan Editor Berita Harian/Minggu yang mempengerusikan perbincangan, pendekatan kemasyarakatan dan profil Muis semakin meningkat, dengan tersiarnya lebih banyak berita mengenai khidmat Muis di Berita Harian.

Antara maklum balas yang diutarakan beberapa wartawan kanan Berita Harian ialah peri perlunya Muis bersikap 'media friendly' atau mudah dihubungi apabila


wartawan memerlukan pandangan atau maklumat.

Buat masa ini, setiap pertanyaan disalurkan ke Jabatan Ehwal Awam Muis. Meski Berita Harian berpendapat proses ini memakan masa, namun, mereka akur cara ini lebih sistematik dan tersusun.

Berita Harian sentiasa mengalu-alukan berita kegiatan masjid asalkan ia mempunyai nilai berita yang menarik dibaca dan melaporkan sesuatu yang terkini.

Selain daripada itu, Berita Harian juga mengalu-alukan sumbangan Muis dan mana-mana badan serta individu dalam rencana-rencana intelektual yang membuka minda masyarakat.

Dalam sesi tersebut, Muis juga merujuk beberapa maklum balas pembaca berhubung sesetengah laporan di akhbar tersebut. Misalnya, laporan mengenai barang-barang jemaah yang tertinggal dan tidak dituntut di masjid terlalu digembar-gemburkan.

Lawatan ke Berita Harian merupakan sebahagian daripada siri lawatan Muis ke beberapa media tempatan yang bertujuan memupuk dan mengeratkan lagi jaringan kerja antara kedua-dua pihak. Sebelum ini Muis telah ke pejabat akhbar Cina, Lianhe Zaobao dan ia akan dituruti dengan stesyen media eletronik.

Bagi lawatan selanjutnya, Muis akan mengunjungi MediaCorp News & Radio.