Hidup dalam masyarakat majmuk
Maasyiral muslimin rahimkumullah,
Pada pagi yang berbahagia ini, saya menyeru saudara-saudara sekelian dan juga diri saya agar terus mempertingkatkan ketaqwaan kita, dengan meninggalkan segala larangan Allah, dan terus berazam untuk tidak melakukannya selama mana kita hidup di dunia ini. Dan kita berazam untuk melakukan segala perintah Allah sepenuhnya. Marilah kita tunduk sepenuhnya di bawah perintah dan hukum Allah. Janganlah kita menjadi golongan yang mengambil sebahagian perintah Allah dan meninggalkan bahagian yang lain. Ingatlah bahawa balasan bagi mereka yang melakukan demikian adalah api yang membakar di akhirat kelak.
Saudara-saudara sidang hadhirin yang dirahmati Allah,
Hari ini adalah salah satu hari kebesaran Islam. Hari ini adalah Aidiladha, hari perayaan bagi umat Islam. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada kita dua hari perayaan untuk kita makan dan minum serta bergembira, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Oleh kerana itu diharamkan ke atas umat Islam berpuasa pada kedua-dua hari perayaan ini. Aidilfitri menyambut kemenangan selepas berpuasa sebulan. Aidiladha pula menandakan salah satu syiar Islam yang teragung iaitu ibadah haji.
Ibadah haji yang dilaksanakan oleh umat Islam setiap tahun membawa bersamanya banyak pengajaran dan pendidikan. Alangkah baiknya jika umat Islam dapat melihat pengajaran-pengajaran tersebut, bukan setakat kesan fizikal dari ibadah itu sahaja. Ibadah haji mendidik kita peri pentingnya pengorbanan untuk mendapat ganjaran yang besar. Untuk mendapat keredhaan Allah dan pengampunanNya, ia bukanlah satu perkara yang murah dan mudah. Ia perlukan pengorbanan dan iltizam yang tinggi yang mana ganjaran bagi haji yang mabrur adalah pengampunan dosa seperti bayi yang baru dilahirkan, suci dan bersih. Untuk mendapat ganjaran ini perlu pengorbanan, sabar dan iltizam yang tinggi.
Allahu Akbar 3x
Saudara-saudara sekelian,
Di dalam ibadah haji ini, kita dapat lihat bagaimana berjuta manusia berkumpul di satu tempat, berpakaian yang sama, tidak kira mereka itu kaya atau miskin, dari pelbagai bangsa dan keturunan. Perhimpunan agung manusia di Padang Arafah tersebut menunjukkan satu konsep yang sudah dipelopori oleh umat Islam, iaitu konsep kesatuan dalam kepelbagaian. Tidak ada satu bangsa lebih baik dari bangsa yang lain. Semuanya sama disisi Allah kecuali mereka yang bertaqwa. Allah menjadikan manusia berbagai bangsa dan bahasa. Ini adalah sunnatullah. Allah menjadikan manusia demikian agar kita berkenal-kenalan antara satu sama lain dan mengamalkan sikap hormat-menghormati. Dengarlah firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:
Ertinya: Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah adalah mereka yang lebih taqwanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.
Begitulah ketentuan Allah. Tidak mustahil bagi Allah menjadikan manusia satu bangsa dan satu bahasa. Tetapi Dia menjadikan kita berbagai bangsa dan bahasa. Ada bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India, bangsa Arab dan berbagai lagi. Bukan untuk kita berbangga antara satu sama lain. Bukan juga untuk kita berselisih dan memandang rendah kaum yang lain. Tetapi untuk kita berkenal-kenalan. Untuk melatih kita mengamalkan sikap hormat-menghormati. Untuk kita pupuk dalam diri kita sikap toleransi dan memahami keadaan bangsa yang lain. Untuk kita melihat kebesaran Allah dan kekayaanNya dalam penciptaanNya.
Sikap ingin berkenal-kenalan antara satu sama lain akan menimbulkan kefahaman tentang budaya bangsa lain. Dengan memahami budaya bangsa tersebut akan timbul sifat hormat-menghormati dan toleransi. Inilah resepi kehidupan yang lebih harmoni di dunia ini. Lebih-lebih lagi di negara kita Singapura, sebuah negara yang kecil tetapi mempunyai berbagai-berbagai bangsa. Kalau setiap bangsa hanya mementingkan dan memajukan budayanya sendiri tanpa menghiraukan perasaan bangsa yang lain, negara kita akan porak-peranda dan mengalami kehancuran.
Allahu Akbar! 3x
Saudara-saudara sekelian,
Islam tidak melarang kesatuan masyarakat walaupun berbilang bangsa dan agama. Lihat sahaja bagaimana negara Islam pertama yang didirikan oleh Rasulullah s.a.w di Kota Madinah. Penduduknya bukan seratus peratus orang Islam. Ada orang Yahudi, orang Nasrani, orang Majusi hatta orang-orang Munafiq. Ada bangsa Arab, ada bangsa Parsi, ada bangsa Afrika dan berbagai lagi. Bahasa mereka juga berbeza-beza, sehingga diberitakan bahawa Rasulullah s.a.w dikurniakan Allah kemampuan bertutur dalam bahasa kaum yang lain walaupun tidak pernah tinggal bersama mereka. Kepelbagaian ini semua tidak menghalang umat Islam ketika tersebut hidup dengan penuh harmoni dengan kaum yang lain. Sesebuah kaum tidak boleh memencilkan dirinya dari bergaul dan berinteraksi dengan kaum yang lain. Apatah lagi dalam negara seperti Singapura ini. Kita harus lebih giat memahami budaya dan kefahaman kaum yang lain dan memberi kefahaman kepada mereka tentang budaya kita yang sudah sebati dengan agama Islam, agar mereka faham mengapa kita umat Islam perlu melakukan sesuatu perkara atas tuntutan agama. Agar mereka tidak berasa sangsi dan ragu akan agama kita. Kita perlu bertolak-ansur dalam beberapa perkara agar mewujudkan suasana yang lebih tenteran dan harmoni di negara kita ini.
Kita juga diingatkan dalam ajaran Islam, bahawa yang kita tidak boleh bertolak-ansur ialah prinsip agama Islam. Apabila Islam sudah menetapkan satu-satu perkara adalah halal, kita tidak boleh bertolak ansur sehingga menjadikannya haram. Begitu juga sebaliknya. Apabila Islam sudah menetapkan satu-satu perkara adalah haram, kita tidak boleh bertolak ansur sehingga menghalalkannya. Agar kita benar-benar menjadi orang mukmin, bukan orang-orang yang bermuka-muka, yang telah diberi amaran oleh Allah seperti firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nisaa, ayat 145:
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.
Saudara-saudara sekelian,
Islam boleh diibaratkan seperti rumah. Kita perlu membuka pintu dan tingkap rumah tersebut agar orang-orang lain di luar yang bukan beragama Islam dapat melihat dalam rumah tersebut dan menghargai kecantikan perhiasan rumah tersebut. Kecantikan ugama Islam bukanlah untuk kita orang Islam menikmatinya sahaja. Bahkan ia perlu dikongsi bersama dengan orang-orang lain yang bukan Islam. Mudah-mudahan mereka dapat menghargai kecantikan tersebut dan bersedia untuk memasuki rumah itu, memeluk agama Islam. Atau sekurang-kurangnya, mereka faham mengapa orang yang tinggal dalam rumah tersebut, iaitu kita umat Islam, melakukan beberapa perkara tertentu.
Akan tetapi perlu kita faham, bahawa kita hanya membuka tingkap dan rumah sahaja. Kita tidak boleh merobohkan tiang dan tembok rumah tersebut. Kita boleh mengajak orang lain berkongsi kecantikan Islam, dengan tidak menghilangkan prinsip Syiar Islam. Kita perlu mengakui bahawa ada perbezaan antara mereka yang beriman dengan Allah dan RasulNya Muhammad s.a.w dengan mereka yang tidak beriman dengan Allah dan RasulNya.
Satu persoalan timbul. Apakah perbezaan ini? Ia adalah Iman dan Taqwa dalam diri umat Islam. Inilah pembezanya. Iman dan Taqwa tidak mengenal warna kulit, bahasa dan bangsa. Tetapi Iman dan Taqwa adalah pembeza antara mereka yang layak atau tidak menduduki syurga Allah. Dan ketahuilah, bahawa apabila Iman dan Taqwa ini ada dalam diri kita, ia akan mendorong kita menjadi manusia yang lebih baik lagi, manusia yang membawa rahmat kepada manusia lain, manusia yang tidak menjadi beban terhadap manusia yang lain. Orang yang ada dalam dirinya Iman dan Taqwa akan sentiasa sedar siapa diri mereka sebenarnya, maka akan timbul dalam diri mereka sikap tawadhu' dan rendah diri. Apakah yang ada pada diri kita sehingga kita boleh berbangga antara satu sama lain? Tidakkah semuanya adalah milik Allah? Hatta akal kita yang menjadi penentu kecerdikan seseorang adalah milik Allah, bukan milik kita. Jadi apa yang dapat kita banggakan? Pencapaian kita? Ia adalah atas keizinan Allah dan pertolonganNya. Jadi apa yang dapat kita banggakan?
Apabila seseorang mempunyai sifat-sifat yang mulia yang timbul dari Iman dan Taqwa dalam dirinya, orang tersebut akan mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain. Orang tersebut akan faham apakah yang dimaksudkan dengan dakwah bil-hal. Iaitu dakwah dengan perbuatan dan kelakuan. Satu jenis dakwah yang amat berkesan.
Dakwah bil-hal dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sepanjang hidup beliau. Akhlak mulia beliau menarik ramai manusia untuk memeluk agama Islam. Sifat amanah beliau dari semenjak beliau kecil lagi memukau masyarakat Arab Quraisy ketika tersebut sehingga beliau digelarkan sebagai Al-Amin, orang yang paling boleh dipercayai. Inilah dakwah bil-hal. Dakwah dengan kelakuan dan sikap yang mulia. Tiada gunanya seseorang bercakap panjang lebar berkenaan kecantikan dan kemulian agama Islam, tetapi tidak dicerminkan dalam akhlaknya.
Tanamkan azam dalam diri kita sendiri. Kita bangga menjadi umat Islam. Kita bangga dengan agama kita yang cukup lengkap dan cantik. Maka perlu pengajaran agama Islam yang mulia tersebut kita cerminkan dalam diri kita. Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa berakhlak mulia. Kita akan mencerminkannya dalam diri kita. Islam menyuruh umatnya agar giat membaca, menulis dan menambah ilmu pengetahuan. Kita akan mengikut suruhan tersebut. Islam menyuruh kita mengisi masa dengan perkara yang berfaedah bagi dunia dan akhirat kita. Kita tidak akan membazirkan masa kita dengan hiburan, nyanyian dan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Umat Islam boleh maju kalau mereka tidak dihanyutkan dan dilalaikan oleh perkara-perkara yang kurang faedah. Umat Islam boleh mendapat penghormatan dari mereka yang bukan Islam kalau kita mengambil berat dalam menuntut ilmu. Islam amat menitik-beratkan ilmu pengetahuan kerana ia adalah penghapus kejahilan. Orang yang kurang ilmu pengetahuan akan mudah diperdayakan oleh syaithan. Sebaliknya orang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sukar diperdayakan oleh syaithan dan mudah pula orang tersebut mendapat ganjaran yang tinggi dari ibadahnya. Pendek kata, orang yang berpengetahuan mendapat kemulian di dunia dan akhirat. Oleh kerana itu Islam menitik-beratkan ilmu pengetahuan. Kita akan mencerminkan ajaran Islam tersebut dalam diri kita.
Saudara-saudara sekelian,
Tidak cukup bagi kita melaung-laungkan kecantikan Islam dan meminta-minta agar orang bukan Islam menghormati kita. Kita juga mesti melakukan dakwah bil-hal. Kita mesti mencerminkan ajaran mulia Islam dalam diri kita. Selain dari kita memajukan diri kita dalam segi rohani, kita juga mesti meraih kemajuan dalam aspek fizikal juga. Kemajuan dari sudut ilmu pengetahuan, peningkatan bilangan cerdik pandai dan dari sudut kewangan juga. Dengan ini orang bukan Islam yang tidak dapat menghayati kenikmatan iman dan taqwa akan dapat melihat bahawa Islam bukanlah agama yang menghambat manusia daripada kemajuan di dunia ini. Mereka akan dapat melihat bahawa Islam sebenarnya adalah agama yang memacu deras umatnya mencapai kemajuan dunia dan akhirat.
Kunci penghormatan ini ada di tangan kita. Sekiranya kita inginkan penghormatan oleh ahli dunia dan ahli akhirat, ikutlah ajaran Islam sepenuhnya. Sebaliknya jika kita tidak mahu penghormatan di dunia dan akhirat, maka kita boleh sahaja menyibukkan diri kita dengan hiburan, tenggelam dalam khayalan dan duduk bermalas-malasan daripada berusaha dan menuntut ilmu. Kuncinya di tangan kita. Moga-moga Allah memberikan taufik dan hidayahNya dan menegohkan keazaman kita untuk berusaha mencapai kejayaan. Dan moga-moga Allah menerima segala ibadat kita, terutama ibadah korban yang akan dijalankan selepas ini.
Baarakallah......