Usah perbezaan mengorbankan perpaduan
Saudara-saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Hari ini kita menyambut Aidiladha, satu antara dua hari kebesaran dalam Islam. Hari kita digalakkan agar memperbanyakkan takbir, mengagungkan Allah s.w.t. Pada hari ini juga berlangsung secara serentak dua perhimpunan agung yang besar maknanya kepada umat Islam sedunia. Pertama, perhimpunan di Mina di kalangan para jemaah yang menunaikan ibadah haji, sejurus selepas mereka selesai berwukuf di Arafah. Kedua, perhimpunan untuk mengerjakan solat Aidiladha di merata tempat di dunia, bagi orang-orang seperti kita yang tidak berkesempatan menunaikan ibadah haji.
Kita berhimpun dengan tujuan yang sama iaitu mengabdikan diri dan mengharapkan keredaan Allah swt. Inilah antara keistimewaan yang terjelma dalam pelbagai ajaran Islam, termasuk ibadah yang sedang kita lakukan ini. Keunggulan perpaduan yang mampu menghimpunkan jasad dan hati berjuta-juta manusia untuk menghadap ke arah yang sama. Perpaduan yang agung ini mampu mewujudkan kekuatan dan manfaat yang amat besar kepada umat Islam sekiranya mereka bijak memanfaatkannya. Inilah anugerah yang sangat istimewa bagi umat akhir ini.
Allah telah menganugerahkan kepada kita syariat Islam, sebaik-baik aturcara hidup yang diturunkan kepada umat manusia. Allah telah menghadiahkan kepada kita agama Islam, sebaik-baik agama yang telah diredhai-Nya. Pada ketika yang mulia inilah, lebih 1400 tahun dahulu, Allah telah menurunkan sepotong ayat Quran kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w di bumi Arafah sebagai pemberitahuan bahawa Islam adalah agama yang telah lengkap dan diredhai oleh Allah swt:
"Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan ugama kamu dan Aku telah lengkapkan untuk kamu nikmat-Ku dan Aku redha Islam itu menjadi ugama kamu." (Al-Maidah, 3)
Oleh yang demikian, Allah telah mengingatkan kita agar tidak memilih cara hidup selain dari apa yang diajar oleh Islam. Firman Allah s.w.t:
"Dan inilah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain nescaya kamu akan tersesat dari jalan Allah. Demikianlah Allah berwasiat kepadaMu, mudah-mudahan kamu takut kepadanya."
Oleh itu, sebagai umat Islam, selayaknyalah kita menghayati segala nilai-nilai ajaran Islam. Kita tidak seharusnya terpedaya dengan nilai dan corak hidup yang bertentangan dengan Islam. Antara nilai yang sangat patut kita hayati ialah nilai perpaduan dan kesatuan. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Anfal, ayat 46:
"Dan taatlah Allah dan Rasul-Nya. Dan janganlah kamu bertelingkah nescaya kamu akan gagal dan menjadi lemah. Dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar."
Allahu Akbar! 3x
Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Sebagai Muslim, kita adalah orang yang paling layak memiliki kesatuan dan perpaduan. Kita seharusnya telah berjaya menghayati hidup berjemaah, saling menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain, bukan hidup nafsi-nafsi sahaja.
Perpaduan ini jelas dapat kita lihat dari semua syiar ibadah yang disyariatkan. Melalui galakan solat berjemaah, kita dapat melihat bagaimana Islam menekankan perpaduan dan sistem yang rapi. Di mana antara kesempurnaan solat itu sendiri adalah saf-saf yang lurus, jemaah yang berdiri rapat tanpa ada ruang bagi Syaithan untuk mencelah, dan kesinambungan dari satu saf ke satu saf yang lain. Bagaimana pergerakan para jemaah sejurus selepas pergerakan Imam. Semuanya mengadap kiblat yang satu, tidak kira dimana kita berada. Inilah kesatuan dan perpaduan.
Dalam ibadah puasa pula, umat Islam serata dunia melaksanakan ibadah ini serentak di bulan Ramadhan. Mereka memulakan puasa serentak di waktu fajar dan berbuka serentak diwaktu maghrib. Bahkan dengan berpuasa mereka yang berada akan dapat merasakan penderitaan mereka yang hidup serba kekurangan. Inilah kesatuan dan perpaduan.
Melalui ibadah zakat pula, terjalin hubungan antara yang kaya dan yang miskin. Hubungan yang memastikan keteguhan dan keharmonian ummah. Dengan zakat harta dan fitrah, si miskin mampu bergembira bersama-sama mereka yang berada di pagi Aidilfitri. Ini tentunya menyumbang dalam memperkukukhkan kesatuan dan perpaduan.
Begitu pula perpaduan juga terjalin melalui ibadah haji. Umat Islam dari segenap pelusuk dunia, dengan pelbagai latarbelakang; bahasa, warna, dan budaya, datang berhimpun di satu padang, bertasbih dan bersitighfar di padang Arafah, mengharapkan keredhan dan maghfirah Allah. Mereka membentuk perhimpunan raksasa terbesar di dunia. Di hadapan mereka terbentang peluang yang luas untuk berkenal-kenalan dan mempelajari antara satu sama lain, mengetahui keadaan saudara mereka dari negara yang lain, yang susah dan yang senang. Perhimpunan ini tidak hanya mendekatkan seorang hamba kepada Tuhan-Nya Rabbul 'alamin, malah mempertaut hati seorang hamba dengan saudaranya seIslamnya yang lain. Satu lagi gambaran kesatuan dan perpaduan.
Allahu Akbar! 3x
Maasyiral muslimin wa-zumaratal mukminin rahimakumullah,
Hakikat bahawa Islam adalah ugama kesatuan dan perpaduan bukanlah semata-mata dakwaan kita sahaja. Bahkan hakikat ini juga diakui oleh para orientalis Barat. Antaranya, seorang orientalis Barat menyatakan dalam buku tulisannya bahawa agama Islam adalah agama kesatuan. Menurut beliau, tidak ada agama lain di atas muka bumi ini yang melambangkan kesatuan seperti agama Islam. Umat Islam bersolat, berpuasa, berzakat dan mengerjakan haji semuanya melambangkan kesatuan. Inilah pengakuan dari seorang yang bukan Islam.
Saudara-saudara sekalian,
Sebagaimana maklum bagi kita bahawa Islam adalah agama yang tidak terhad untuk sesuatu kumpulan, persatuan atau sesebuah negara. Islam adalah agama universal. Umat Islam adalah umat yang global. Perikatan persaudaran kita umat Islam tidak mengenal sempadan dan negara. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain seperti bangunan, yang mana setiap bahagian menguatkan bahagian yang lain."
Sekiranya kita berhenti sejenak dan merenung, apakah hikmah disebalik perpaduan yang menjadi ciri utama Islam dan syiar-syiarnya, ianya tidak lain adalah kerana perpaduan membawa kekuatan. Bersatu teguh, bercerai runtuh. Kila lihat sejarah Rasulullah s.a.w. Bagaimana umat Islam yang kecil bilangannya mampu mengalahkan dan mengatasi kaum muysrikin yang lebih besar bilangannya. Apakah rahsianya? Rahsianya adalah kesatuan. Kerana mereka bersatu dan tidak bertelingkah sesama sendiri. Mereka bersatu dalam melaksanakan arahan dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan. Itulah yang membawa kemenangan kepada umat Islam dahulu.
Allahu Akbar! 3x
Saudara-saudara kaum Muslimin rahimakumullah,
Kesatuan dan perpaduan juga membawa muafakat. Dan muafakat membawa kejayaan. Sejarah telah membuktikannya, bagaimana kaum Ansar dan Muhajirin telah bersetuju sebulat suara untuk mengangkat Saidina Abu Bakar As-Siddiq menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Sekiranya mereka tidak bersatu dan berselisih pendapat, nescaya akan lemahlah umat Islam pada ketika itu. Tetapi sejarah telah membuktikan bahawa perpaduan umat Islam pada ketika itu telah menjadikan mereka umat yang kukuh; disegani dan dihormati oleh umat dan masyarakat lain.
Kita masyarakat Islam di Singapura ini amat memerlukan kesatuan dan perpaduan seperti ini. Kita tidak mampu untuk bertelingkah dan bermusuh sesama sendiri.Hal ini hanya akan membawa kepada perpecahan dan selisih. Lantas umat Islam menjadi lemah dan ketinggalan.
Kita adalah umat minoriti yang tinggal di sebuah negara yang kecil, yang tidak mempunyai hasil asli bumi. Kekuatan negara kita terletak pada kekuatan sumber manusianya. Kitalah yang harus menggerakkan ekonominya dengan kepandaian dan keahlian kita. Oleh itu, kita perlu cemerlang dari sudut pelajaran dan ekonomi. Untuk mencapai kecermelangan ini, kita perlukan kesatuan dan kita tidak mampu untuk mengalami perpecahan dan persengketaan. Ia akan hanya menghambat kemajuan masyarakat.
Allahu Akbar! 3x
Saudara-saudara kaum Muslimin rahimakumullah,
Perpaduan dan kesatuan tidak bermakna kita tidak boleh berbeda pendapat atau kita tidak boleh kreatif dalam mengetengahkan idea. Perbedaan adalah fitrah yang yang menjadi sifat semula jadi manusia. Allah s.w.t telah menyatakan demikian di dalam surah Hud ayat 118 dan 119:
Yang bermaksud: Dan sekiranya Tuhanmu menghendaki, Dia akan menjadikan manusia satu umat. Akan tetapi mereka akan tetap berselisih kecuali mereka yang Tuhanmu telah merahmatinya. Itulah tujuan Allah menciptakan manusia. Dan telah tetap penentuan Tuhanmu bahawa Aku (Allah) akan memenuhkan neraka Jahannam dengan Jin dan manusia.
Namun, kita harus fahami bahawa perbedaan tersebut tidak seharusnya membawa kepada pertelingkahan dan perpecahan. Perbedaan tersebut seharusnya memperkaya pilihan dan pendekatan kita. Terutama dalam mengahadapi masalah dan cabaran hidup masakini. Perbedaan tersebut seharusnya menyumbang dalam mematangkan minda kita, bukan melayani sentimen dan emosi sehingga membawa kepada perpecahan dan buruk sangka. Dengan kematangan inilah kita akan lebih bersikap realistik dan dapat mengatasi pelbagai masalah dengan berkesan.
Kita harus mengetahui bagaimana menjana kekuatan dari perbedaan pendapat tersebut. Jika kita dapat menjadikan perbedaan pendapat sebagai sumber kekuatan maka unsur kesatuan dan perpaduan tetap terjaga dan terpelihara. Hal ini dapat kita capai sekiranya kita bijak menghayati etika dan adab perbedaan pendapat.
Kita harus memberikan perhatian kepada sikap-sikap berikut untuk menjana kekuatan daripada perbedaan pendapat ini:
Pertama: Kita harus mempunyai sikap saling menghormati pendapat orang lain, walaupun kita tidak setuju dengan pendapat tersebut. Ini adalah kerana kemungkinan pendapatnya adalah lebih baik dari pendapat kita. Kita tidak harus mempunyai sikap bahawa kita sahaja yang betul, kita sahaja yang lebih pandai, sehingga pendapat orang lain diketepikan dan dipandang rendah. Orang seperti ini mempunyai sikap takabbur di hatinya, ujub pada pandangannya dan riya' pada perbuatannya. Sikap-sikap buruk tersebut akan akhirnya membawa kehancuran pada dirinya di dunia dan di akhirat. Sebaliknya kita harus menghayati konsep syura, bertukar-tukar pendapat dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Inilah antara sifat orang-orang Mukmin. Allah s.w.t telah menyifatkan orang-orang Mukmin dengan sikap ini dalam firmanNya dalam surah As-Syura, ayat 38:
Ertinya: Dan mereka menyahut seruan Tuhan mereka, mendirikan solat, bermesyuwarah dalam hal-hal mereka dan menafkahkan sebahagian dari apa-apa yang telah Kami kurniakan kepada mereka.
Kedua, kita boleh mencari titik persamaan yang akan dapat menguatkan antara dua idea atau pendapat yang berbeza tersebut. Apabila kita berhadapan dengan dua pendapat yang berbeza, kita tidak seharusnya dengan pantas memilih satu idea dan mengetepikan idea yang lain. Sebaliknya, mungkin sahaja lebih baik kita mencari titik persamaan dan mengabungkan antara dua pendapat tersebut agar ia menjadi pendapat ketiga yang lebih utuh dan kuat dari dua pendapat yang asal itu. Ini jelas dalam sirah Rasulullah s.a.w semasa peperangan Khandak. Sebahagian para sahabat telah menyarankan agar umat Islam keluar dari kota Madinah untuk menghadapi musuh, sementara para sahabat yang lain pula menyarankan agar dipertahankan kota Madinah tanpa keluar menghadapi musuh. Datang pula Salman Al-Farisi dengan pendapatnya agar digali parit disekeliling kota Madinah agar musuh tidak boleh memasukinya.
Mari kita lihat bagaimana Rasulullah saw berhadapan dengan pendapat-pendapat yang berbeza ini. Rasulullah saw tidak mengambil satu pendapat dan mengetepikan pendapat-pendapat yang lain. Tetapi Rasulullah mengambil ketiga-tiga pendapat tersebut, mencari titik persamaan dan menyatukannya menjadi satu pendapat yang lebih utuh dan bernas. Rasulullah mengambil keputusan agar mempertahankan kota Madinah tetapi diluar kawasan kota tersebut. Dalam masa yang sama digali parit disekeliling kota Madinah sedangkan umat Islam bersiap sedia dibelakang parit tersebut. Inilah contoh bagaimana kita boleh menjana kekuatan dari perselisihan pendapat.
Sikap ketiga yang mesti kita hayati ialah dengan kita melihat kualiti dan kekuatan pendapat tersebut, bukan dari siapa pendapat tersebut itu datang. Permisalan Arab mengatakan:
Lihatlah apa yang dikata bukan siapa yang berkata.
Kemungkinan idea dan pendapat seorang kanak-kanak adalah lebih baik dari orang dewasa. Kemungkinan pendapat seorang muda lebih bernas dari orang tua atau sebaliknya. Kita mesti memahami bahawa idea dan pendapat yang baik datang dari Allah s.w.t dan Allah berkuasa untuk mencetuskan pendapat dan idea tersebut daripada siapa sahaja, miskin, kaya, tua, muda, lelaki atau wanita. Tidak semestinya seorang yang bijak dan terpelajar sahaja yang mampu mengeluarkan pendapat yang bernas. Pendapat yang bermanfaat boleh datang dari pemimpin dan ianya juga boleh datang daru yang dipimpin.
Dengan ketiga-tiga sikap yang disebutkan tadi, kita akan berupaya menjana kekuatan dan kesatuan dari perbezaan pendapat. Akhirnya ia akan menghasilkan perpaduan dan kesatuan. Perpaduan adalah asas kekuatan umat Islam. Oleh yang demikian saudara-saudara sekalian, marilah kita hayati konsep perpaduan ini dalam kita menangani berbagai masalah yang kita hadapi. Marilah kita bersikap objektif dan realistik dalam mencari huraian bagi masalah-masalah tersebut. Marilah kita hayati konsep syura Islam dalam perbincangan kita. Marilah kita jauhkan sikap buruk sangka dan hanya melayani sentimen dan emosi, sebaliknya kita bertukar pendapat dengan cara yang matang dan teliti, penuh ikhlas dan muhibbah. Semoga segala dapatan dan pencapaian mendapat keredaan dan barkah dari Allah swt.
Baarakallah...........