Aidilfitri 2000


Meneruskan usaha dakwah

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Dalam suasana kita menyambut ketibaan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan ini, janganlah kita lupa untuk terus mengekalkan ketaqwaan kita kepada Allah, ketaqwaan yang telah kita pupuk dan pertingkatkan sepanjang bulan Ramadhan yang lepas. Janganlah kita menjadi ummat yang menurun tahap ketaqwaannya apabila perginya bulan Ramadhan. Kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan mensyukuri segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita, mensyukuriNya dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya. Kita mensyukuri Allah s.w.t atas nikmatNya yang tidak terhingga sehingga kita dapat melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan dengan sempurna. Kita mensyukuri Allah atas pertolonganNya kepada kita sehingga kita dapat melaksanakan perbagai ibadah-ibadah sunnat yang lain yang mungkin tidak terlaksana sekiranya bukan di bulan Ramadhan, seperti mengkhatamkan Al-Quran, mengerjakan solat Terawih dan witir, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Dan lebih dari segala itu, kita bersyukur kepada Allah s.w.t atas kemenangan yang telah dianugerahkan kepada kita dalam bulan Ramadhan. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 185:

Bermaksud: Dan agar kamu melengkapkan bilangan (hari puasa tersebut) dan kamu mengangungkan Allah atas apa yang telah Ia beri petunjuk kepada kamu dan agar kamu bersyukur.

Maka kita bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita. Nikmat yang zahir, mahupun yang batin. Kita bersyukur kepada Allah atas ketenteraman dan kemewahan negara kita yang tercinta ini sehingga kita tidak merasai kesusahan dan kepayahan ekonomi seperti yang dialami oleh saudara-saudara se-Islam kita di banyak negara. Kita bersyukur kepada Allah atas nikmat kemenangan batin yang dianugerahkan kepada kita sehingga kita mampu menundukkan hawa nafsu kita sepanjang bulan Ramadhan, sehingga kita dapat mengawal nafsu kita dari berbelanja yang berlebihan untuk menyambut Aidilfitri, sehingga kita dapat mengawal nafsu kita dari membazir, kerana orang yang membazir adalah saudara Syaithan. Kemenangan-kemenangan ini tidak datang dari diri seorang hamba tanpa pertolongan dari Allah s.w.t. Maka segala puji dan syukur kita panjatkan dan khususkan untuk Allah s.w.t, Tuhan sekelian alam.

Allahu akbar 3x

Saudara-saudara sekelian, Berdasarkan perangkaan bilangan penganut agama di Singapura yang baru dikeluarkan sebelum Ramadhan yang lepas, kita dapati bahawa bilangan umat Islam turut bertambah dengan meningkatnya bilangan penduduk Singapura. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana umat Islam tidak berkurangan. Bagaimanapun, kita harus memastikan bahawa kesedaran umat Islam terhadap agama yang mereka anuti, dan penghayatan mereka terhadap nilai-nilai murni agama Islam juga meningkat. Usaha-usaha yang telah dimulakan oleh para pendakwah kita pada masa lalu harus kita teruskan, bahkan kita pertingkatkan lagi.

Jika kita lihat cara para pendakwah-pendakwah tersebut menyampaikan dakwah mereka, kita akan dapat lihat bagaimana kesungguhan mereka untuk menyebarkan dakwah Islam, bukan kerana wang, bukan kerana pangkat atau kedudukan, tetapi kerana Allah s.w.t, seperti mana para nabi dan rasul berdakwah. Allah s.w.t menukil perkataan mereka dalam surah As-Syuara ayat 109:

Ertinya: Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Mereka menyampaikan risalah Islam dengan sebaik cara yang termungkin ketika tersebut. Mereka tidak mengenal erti kata jemu dan malas dalam menyampaikan tugas murni ini. Mereka telah memberikan sumbangan-sumbangan yang tidak ternilai kepada umat Islam. Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kepada Allah yang telah mengeluarkan pendakwah-pendakwah cemerlang dari kalangan kita.

Allahu akbar 3x

Saudara-saudara yang dirahmati Allah, Kita tidak mampu memberi ganjaran yang setimpal kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh pendakwah-pendakwah kita yang lepas. Hanyalah Allah s.w.t sahaja yang mampu memberikan ganjaran yang setimpal malah yang lebih dari itu. Akan tetapi, saudara-saudara sekelian, bagaimana pula kita sekarang ini? Apakah sumbangan kita terhadap kesinambungan dakwah yang dilakukan oleh mereka? Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 140:

Ertinya: Itulah umat yang telah berlalu sejarahnya. Untuk mereka apa yang mereka telah usahakan dan untuk kamu apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak akan ditanya apa yang mereka kerjakan.

Allah s.w.t mengingatkan kita agar kita mengorak langkah kita sendiri, kita berusaha dan terus meningkatkan usaha kerana akhirnya, kita akan ditanya apa yang kita kerjakan dan bukan apa yang dikerjakan oleh mereka yang telah meninggalkan kita. Sekiranya para pendakwah yang lalu telah menjalankan tugas mereka dengan efektif, kita tanya diri kita pula, apakah sumbangan kita terhadap agama Islam? Apakah sumbangan kita terhadap dakwah Islam? Apakah kita hanya berpeluk tubuh dan hanya mengharapkan para asatizah dan ulama kita sekarang ini menyampaikan dakwah Islam? Adakah kita hanya penerima sahaja dan tiada sumbangan sedikit pun? Saudara-saudara sekelian, kita semua mempunyai tanggung-jawab untuk menyampaikan dakwah Islam. Kita tidak boleh hanya mengharapkan para asatizah dan para ulama semata-mata untuk menyampaikan dakwah. Kita juga mesti sama-sama membantu kerana tugas dakwah bukan tugas fardi, tugas keseorangan, tugas individu; tetapi tugas jama'i, tugas secara jamaah, tugas kolektif. Kita harus membantu para astizah di madrasah, masjid dan kelas-kelas agama untuk memperbaiki akhlak dan iman anak-anak kita dengan menunjukkan contoh yang baik di rumah, dengan mengamalkan gaya hidup sebagai Muslim. Kanak-kanak akan merasa kebingungan jika apa yang dipelajari di kelas-kelas agama mereka tidak dipraktikkan oleh ibu bapa mereka di rumah. Akhirnya, mereka akan kurang rasa hormat kepada ibu bapa mereka itu. Maka tugas mendidik generasi akan datang, tugas melahirkan umat Islam yang lebih tinggi tahap kesedaran mereka terhadap Islam terletak di atas bahu setiap dari kita. Tugas dakwah adalah tugas yang berat. Ia adalah amanah dari Rasulullah s.a.w. Maka kita perlu bersama-sama membantu satu sama lain dalam menjalankan amanah Rasulullah ini. Seperti kata pepatah Melayu: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Allahu akbar 3x

Saudara-saudara sekelian, Kita harus bantu-membantu dalam menjalankan amanah dakwah ini. Janganlah kita biarkan segala sumbangan pendakwah kita pada masa lalu, ulama dan asatizah kita yang lepas, hilang begitu sahaja. Hasil sumbangan mereka, kita pada hari ini dapat merasai kenikmatan Islam dan Iman. Alhamdulillah. Kita harus memastikan bahawa kenikmatan Islam dan Iman ini dapat terus dirasai oleh anak cucu kita, generasi akan datang. Oleh itu kita mesti meneruskan usaha mereka. Kita harus terus mampu melahirkan para ulama dan asatizah untuk memimpin masyarakat Islam agar tidak tergelincir dari landasan Islam. Kita tidak mahu melihat generasi umat Islam akan datang hilang identiti mereka sebagai orang Islam. Satu perkara yang harus menjadi kebimbangan kita ialah hakikat terdapatnya sebilangan besar anak-anak kita diperingkat umur bersekolah yang mungkin tidak mendapat sebarang pendidikan agama, baik di madrasah, di masjid ataupun di kelas-kelas. Apabila mereka dewasa kelak dan mempunyai anak, adakah anak-anak mereka juga tidak akan menerima pendidikan agama? Inilah yang perlu kita perhatikan.

Saudara-saudara sekelian, Masyarakat Islam Singapura pada masa lalu berjaya melahirkan para ulama yang ulung, yang disegani bukan sahaja di negara ini, bahkan di rantau ini. Mereka menjadi pakar rujuk. Mereka menghasilkan banyak karya-karya yang bermutu tinggi. Budaya ilmu ini harus kita teruskan. Kita mampu melakukannya. Apatah lagi dengan kemajuan teknologi sekarang yang memudahkan kita untuk mengumpul maklumat dengan mudah dan cepat. Apa yang diperlukan adalah ketekunan dan kesungguhan untuk mencari ilmu ini. Kita tidak seharusnya mempunyai persepsi yang silap bahawa kita tidak mampu untuk melahirkan ulama yang ulung.

Sebagai langkah pertama untuk melahirkan ulama yang ulung, kita harus meletakkan kepercayaan kita kepada kebolehan para asatizah kita di Singapura. Kita tidak boleh memandang rendah kepada para ahli ugama kita, para asatizah kita dan ulama tempatan kita. Kita harus menyingkirkan pendapat bahawa ulama luar negara lebih berkemampuan dan berwibawa dari asatizah tempatan kita. Apabila sesebuah masyarakat hilang kepercayaan terhadap ulama setempat, hilang keyakinan untuk melahirkan ulama yang ulung dan unggul, maka itulah masyarakat yang pincang dan lemah, masyarakat yang tidak mampu berdiri dan bersaing dengan masyarakat lain, masyarakat yang hanya tinggal pada kuantiti tetapi tiada kualiti.

Kita harus yakin akan kebolehan masyarakat kita untuk terus melahirkan ulama yang berwibawa. Maka kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan lagi pendidikan agama Islam di Singapura ini. Janganlah kita mudah terpesona dan terpedaya dengan kenikmatan dunia sehingga kita hilang fokus kita terhadap matlamat yang lebih utama lagi iaitu akhirat. Kerana kehidupan dunia ini hanya sementara belaka. Tidak kekal. Manakala kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Untuk mencapai kehidupan yang bahagia di akhirat, perlu pendidikan agama. Dan untuk meningkatkan pendidikan agama, perlu para ulama dan asatizah yang berwibawa. Dan untuk melahirkan para ulama dan asatizah yang berwibawa, perlu ada keyakinan diri bahawa kita mampu melakukannya. Keyakinan sahaja tidak mencukupi kalau tidak disertakan bersama kesungguhan dan kegigihan.

Akhir kata, kita perlu bersungguh-sungguh merubah keadaan masyarakat Islam kita, tahap dakwah kita dan tahap pendidikan agama kita agar ia terus cemerlang, insya Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra'ad ayat 11:

Ertinya: Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Baarakallah.....