Aidilfitri 2000


Islam yang progressif

Saudara-saudara kaum muslimin sekelian, Di hari yang berbahagia ini, hari kemenangan bagi umat Islam, marilah kita mengekalkan ketaqwaan kita kepada Allah, ketaqwaan yang telah kita pupuk dan semai sepanjang bulan Ramadan yang lepas. Hanya dengan ketaqwaan sahajalah kita dapat menjaga aqidah dan iman kita sehingga akhir hayat, kerana itulah satu-satunya jalan untuk kita mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam. Kemenangan kita terhadap nafsu dan Syaithan. Kemenangan umat Islam dalam beberapa perjuangan mereka bermula dari perang Badar hinggalah kepada beberapa peperangan yang berlaku dilam abad kebelakangan ini. Segala pujian bagi Allah yang telah menganugerahkan kepada kita kemenangan dunia dan akhirat. Inilah hari kegembiraan. Hari kita menyambut kemenangan kita. Hari perayaan yang dianjurkan oleh syariat Islam. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Baqarah, menerangkan kepada kita akan tujuan menyambut Aidilfitri ini dengan firman-Nya:

Ertinya: "Dan agar kamu wahai umat Islam menyempurnakan bilangan hari puasa kamu, dan agar kamu mengangungkan Allah atas apa yang telah Dia anugerahkan kamu dari hidayahNya, dan moga-moga kamu bersyukur".

Saudara-saudara kaum Muslimin sekelian,

Rasulullah s.a.w menyifatkan umat Islam sebagai lebah, setiap satu anggota menolong dan membantu satu sama lain. Inilah yang dapat membantu menjadikan umat Islam sebagai umat yang cemerlang. Kita lihat bagaimana Islam berjaya membina kerajaan yang besar dan gemilang, kerajaan Umaiyah dan Abbasiah. Kemudian diikuti dengan kerajaan Othmaniah. Lihatlah bagaimana sumbangan umat Islam dahulu membantu kejayaan umat Islam yang datang selepasnya. Bagaimana kerajaan Abbasiah membentuk zaman kegemilangan Islam dengan usaha-usaha yang ditinggalkan oleh kerajaan Umaiyah. Bagaimana kerajaan Othmaniah tumbuh daripada asas yang dibentuk oleh pemerintahan Abbasiah. Inilah warisan masyarakat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Setiap golongan memainkan peranan menyumbang untuk kepentingan dan kebaikan orang lain yang datang selepasnya.

Alhamdulillah, kita masyarakat Islam di negara Singapura juga tidak ketinggalan. Generasi Islam terdahulu daripada kita yang datang ke negera ini telah membuat sumbangan yang besar terhadap Islam sehingga kita dapat menikmati warisan kejayaan mereka. Dengan semangat dakwah yang murni dan ikhlas, mereka telah mendirikan masjid-masjid, madrasah-madrasah dan persatuan-persatuan Islam sebagai wakaf dan amal jariah mereka. Mereka telah melahirkan para pemimpin dan ulama yang boleh kita banggakan. Mereka bukan sahaja telah menyumbang kepada kegemilangan Islam, malah mereka juga telah menyumbang terhadap ekonomi negara sehingga kita menikmati kehidupan yang selesa sekarang ini. Dengan kesungguhan dan pandangan jauh mereka, tertubuhlah Majlis Ugama Islam Singapura yang diakui oleh pemerintah sebagai badan Islam yang rasmi. Dengan mujahadah dan kesungguhan mereka memperjuangkan Islam maka hari ini kita dapati pegangan yang boleh dibanggakan terhadap Islam dari kalangan muda-mudi kita. Baru-baru ini telah tersiar di akhbar tempatan bahawa satu kajian yang dijalankan oleh seorang penyarah universiti tempatan mendapati bahawa 92 peratus muda-mudi masyarakat Melayu tidak mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif barat. Ini adalah kerana ugama Islam yang mereka anuti merupakan benteng mereka dari asakan nilai-nilai buruk tersebut.

Ini adalah hasil semaian nilai yang telah dipupuk sejak generasi terdahulu. Itulah sumbangan mereka. Sekarang ini giliran kita pula. Apakah sumbangan yang boleh ktia berikan bagi memastikan agar Islam terus kekal dan relevan di negara yang dinamik ini. Kita perlu merancang untuk masa hadapan kita. Mengikut istilah sekarang berfikir secara proaktif. Jangan kita leka dan berpuas-hati dengan apa yang sudah ada dan tercapai, kerana kita akan sentiasa menghadapi berbagai cabaran. Apatah lagi sedang kita memasuki alaf baru ini. Tentunya kita perlu bersedia agar tidak ketinggalan dalam arus kehidupan yang amat pesat berubah ini. Kita akan hanya berjaya menempuh dan mengatasinya sekiranya kita telah membuat persediaan yang cukup.

Saudara-saudara sekelian,

Untuk ini kinta perlu memastikan agar unsur-unsur kekuatan yang telah membantu kejayaan umat terdahulu terus kita miliki dan dipertingkatkan. Unsur kekuatan pertama ialah ilmu, yang menjadi dasar Islam. Islam sangat mementingkan ilmu.

Islam tanpa ilmu, tidak sempurna. Orang Islam yang beribadah secara jahil tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Ayat-ayat Al-Quran yang mula-mula turun kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah ayat-ayat ilmu. Orang yang dipuji Allah sebagai Ulama' yang takut kepada Allah adalah ahli ilmu yang mengkaji tentang alam sekeliling. Yang dilihat melalui mata kepala lalu difahami oleh mata hati mereka. Ilmu pula ialah semua jenis ilmu yang baik. Cuba perhatikan firman Allah SWT ini:

Ertinya : Tidaklah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit. Lalu kami keluarkan dengannya buah-buahan yang bermacam-macam warnanya. Dan daripada gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan yang merah yang beraneka macam warnanya. Dan ada yang hitam pekat. Dan di antara manusia dan haiwan yang melata dan binatang ternakan itu bermacam-macam pula warnanya. Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari kalangan hambanya ialah ulama, yakni orang mengetahui kekuasaan Allah menerusi penglihatan dan pengkajiannya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. (Al-Fathir, ayat 27-28)

Perkataan Ulama dalam ayat di atas tidak sahaja dikaitkan dengan ilmu fiqih dan tauhid serta ilmu-ilmu agama yang bercorak Ukhrawi sahaja, tetapi ia juga mencakupi ilmu duniawi. Bagaimana orang-orang yang mengetahui dan menghayati kebesaran-kebesaran Allah s.w. melalui ciptaan-ciptaanNya akan mengukuhkan lagi keimanan mereka.

Unsur kekuatan kedua pula yang ada pada umat Islam terdahulu ialah kekuatan ekonomi. Islam juga adalah agama ekonomi. Islam mementingkan ekonomi. Lantaran itu, ia telah meletakkan dasar0dasra ekonominya tersendiri. Ini dapat kita lihat dalam penentangannya terhadap riba, menggesa keadilan sosial, mewajibkan kejujuran dalam semua transaksi atau muamalat. Ia juga telah meletakkan lima dasar positif ekonominya iaitu:

i) berlumba-lumba dalam perniagaan
ii) melarang monopoli
iii) melarang sorok-menyorok
iv) menyuruh kejujuran
v) melarang penipuan dan pemerasan

Dengan memiliki kekuatan ekonomilah generasi Islam terdahulu telah dapat menyumbang dengan berkesan dalam menegakkan syiar Islam. Kita juga harus berusaha menguasai bidang ekonomi dan perniagaan dengan melahirkan lebih ramai ahli ekonomi dan peniaga yang berjaya yang memiliki jiwa Islam, dan menghayati semangat dakwahnya. Kita perlu yakin bahwa Islam sangat menganjurkan hal ini. Bahkan Islam menjadikan usaha seperti ini sebagai sebahagian amal soleh yang berpahala. Orang yang tidak mencari penghidupan dan takut mencari kekayaan adalah orang yang lemah dan tercela di dalam Islam, kerana ia akan menjadi beban kepada orang lain.

Unsur kekuatan ketiga ialah kekuatan institusi keluarga. Islam juga mempunyai peraturan dan tatasusila yang lengkap dalam hidup berkeluarga. Peraturan ini jika dihayati akan memastikan pembentukan kelluarga yang berjaya dan mantap. Islam bahkan meletakkannya sebagai salah satu nikmat kehidupan dunia. Cuba kita renung firman Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang berani mengharamkan keindahan hidup yang diizinkan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambanya dan juga benda-benda yang baik untuk dinikmati daripada rezki. Katakanlah (wahai Muhammad) ianya juga untuk orang yang beriman di dalam kehidupan di dunia ini dan khususnya bagi mereka pada hari kiamat kelak. Begitulah kami menerangkan ayat-ayat kami bagi orang yang ingin mengetahui".

Saudara kaum Muslimin,

Mengikut kiraan kalendar masehi, kita akan memasuki kurun yang kedua puluh satu. Ada orang yang meramalkan bermacam-macam kejadian yang tidak menyenangkan yang mungkin berlaku padanya. Dan ada pula yang meramalkan sebaliknya. Bagi kita umat Islam sudah ada dasarnya, iaitu akan tiba Hari Kiamat. Tanda-tanda Kiamat yang kecil sudah banyak kelihatan di dalam dunia sekarang ini. Hanya tinggal yang besar sahaja yang belum muncul. Apabila muncul kelak, akan bertalu-talu datangnya. Apa yang penting bagi kita umat Islam ialah mempersiapkan diri untuk masa hadapan kita. Kepercayaan dan keyakinan terhadap Islam janganlah hilang. Jangan luntur, jangan lemah kerana ini adalah perisai kita. Disinilah unsur kekuatan yang keempat iaitu kekuatan pegangan prinsip agama memainkan peranannya. Masa depan anak-anak kita bergantung kepada pegangan agama kita. Kalau kita abaikan agama kita, kita terbawa-bawa dengan arus kemodenan yang tidak berlandaskan agama, meskipun kita mempunyai ilmu dan kekuatan ekonomi, kita tetap akan hanyut.

Pegangan agama inilah yang memandu kita agar tetap dengan hidayah Allah. Sekali pun seseorang itu berilmu, jika tidak dipandu oleh hidayah boleh sahaja membawa kepada kesesatan. Tentunya kita tidak mahu menempa kesesatan. Sabda Rasulullah saw:

Ertinya : Barangsiapa yang bertambah ilmu dan tidak bertambah hidayat, tidak akan bertambah dekat kepada Allah malah bertambah jauh.

Kaum Muslimin rahimakumullah,

Pada pagi Aidilfitri yang mulia ini, marilah kita tanamkan dan perkuatkan lagi keazaman kita untuk terus teguh dengan ajaran Islam, di samping teguh menegakkan ajarannya, agar ia tidak pupus pada masa akan datang. Inilah salah satu benteng kekuatan kita bagi menjamin kesinambungan warisan pegangan Islam yang betul untuk generasi hari muka.

Saudara-saudara sekelian,

Di samping empat unsur kekuatan diatas yang perlu kita perkukuhkan demi menjamin kesinambungan penghayatan Islam, kita juga perlu menjaga imej Islam itu sendiri agar tidak disalah fahamkan oleh mereka yang tidak berkongsi akidah dengan kita. Kita perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memberikan gambaran sebenar tentang Islam kepada mereka yang tidak seagama dengan kita. Kita harus tonjolkan imej Islam yang sebenar, yang indah dan mulia. Kita tidak seharusnya menonjolkan imej Islam sebagai agama yang menentang kemajuan dan peningkatan. Sebaliknya kita harus menonjolkan imej sebenar Islam sebagai agama yang selari dengan kemajuan dan peningkatan. Kita harus menangani apa sahaja isu dengan cermat dan penuh bijaksana.

Bak kata pepatah, tarik rambut dari tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berkecai. Inilah pendekatan yang diambil oleh pedagang-pedagang Islam yang mula-mula datang berniaga di rantau ini. Bagaimana mereka memaparkan nilai-nilai ajaran Islam yang dinamik dan relevan, indah dan toleran, sehingga berjaya memikat penduduk asli rantau ini yang tidak beragama Islam pada ketika itu. Mereka adalah duta-duta Islam yang telah berjaya memaparkan keindahan Islam kepada dunia. Pendekatan yang bijak dan matang dalam menangani masalah yang berhubung dengan Islam akan menghasilkan natijah yang baik bagi kedua-dua pihak masyarakat Islam dan bukan Islam.

Umat Islam harus menghadapi apa sahaja krisis dengan hikmah dan bijaksana, bukan dengan emosi dan sentimen. Kita lihat contoh Rasulullah s.a.w, bagaimana beliau berjaya mendapat kejayaan atas orang-orang musyrik Quraish Mekkah ketika berlakunya perjanjian Hudaibiyah. Walaupun perjanjian tersebut secara zahirnya amat berat sebelah bagi pihak orang-orang kafir Mekkah, tetapi Rasulullah dengan kebijaksanaannya menerima perjanjian tersebut, walaupun ditentang oleh sebahagian sahabat seperti Saidina Umar. Akhirnya perjanjian tersebut membawa kebaikan dan keuntungan bagi umat Islam apabila pemerintahan Islam di Madinah mendapat pengiktirafan dari orang-orang musyrik Mekkah. Begitulah saudara-saudara sekelian, apabila kita menangani sesuatu perkara dengan hikmah dan bijaksana, insya Allah, kita akan mendapat kemenangan akhirnya.

Baarakallah...........