KHUTBAH ARAFAH
BAGI
TAHUN 1419 HIJRAH
KHUTBAH PERTAMA
Labbaika allahumma labbaik, Labbaika la syarika laka labbaik, Innal hamda wanni'mata laka wal-mulk, La syarika lak.
Saudara-saudara kaum muslimin sekelian yang sedang berhimpun di tempat yang mulia ini. Pada hari yang besar ini, hari Allah melimpahkan rahmatnya dan keampunannya bagi hamba-hambanya yang beriman yang berkumpul disini khususnya dan di lain tempat umumnya, marilah kita bersama-sama bertaqwa kepada Allah padanya dan melapangkan diri semata-mata untuk beribadat kepadanya. Persiapkanlah diri kamu pada hari ini untuk mendapatkan pemberian dan kurnian yang berupa keredhaan, keampunan dan pengkabulan daripada Nya, sehingga kita kembali dengan haji yang mabrur, perjalanan yang diterima Allah dan perniagaan yang tidak rugi. Semoga kita bersih dari segala dosa seperti hari kita dilahirkan dari perut ibu kita, suci daripada dosa dan mendapat keredhaan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Para tetamu Allah dan pengunjung rumah suci Nya,
Sesungguhnya Allah telah mengkhususkan hari ini, hari ke sembilan dari bulan Zulhijjah pada setiap tahun, untuk Allah mengurniakan keampunan kepada hamba-hambanya yang berkumpul di tempat ini. Tiada sesiapa yang akan kecewa melainkan Syaithan yang telah tersia-sia segala usahanya. Pada hari ini, Allah mengampunkan dosa hamba Nya yang ada di sini, tidak kira kecil atau besar, termasuk dosa sesama hamba menurut pendapat sebahgian ulama, juga akan diselesaikan oleh Allah. Apa yang penting pada hari ini bagi para hamba Allah sekelian adalah bersungguh-sungguh memohon keampunan Allah, mensucikan hati dan berbaik-sangka kepda Allah Tuhan yang Maha Pemurah yang telah menjanjikan pengampunan dosa mereka yang datang ke tempat ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, keampunan, keredhaan dan kurniaan daripada Allah dengan menyambut seruanNya.
Labbaika allahumma labbaik, Labbaika la syarika laka labbaik, Innal hamda wanni'mata laka wal-mulk, La syarika lak.
Saudara-saudara para tetamu Allah sekelian,
Pada hari ini, kira-kira seribu empat ratus tahun dahulu, Nabi besar Muhammad s.a.w. telah menyampaikan khutbah dan amanatnya di Jabal Rahmah. Baginda bertanya kepada kaum Muslimin yang hadhir ketika tersebut: Tahukah kamu hari apakah ini? Saat apakah ini ini? Bumi apakah ini? Kemudian dijawab oleh Nabi sendiri: Inilah hari haji yang terbesar, hari yang termulia sepanjang tahun, hari kebaikan dan rahmat.
Setelah Baginda menerangkan kelebihan hari ini dan saatnya, Baginda pun menerangkan kewajipan setiap individu menjaga kepentingan umat dan kesucian agama Allah yang telah diamanatkan kepada Baginda untuk disampaikan kepada mereka yang tidak hadhir dan yang akan datang selepasnya. Dalam amanatnya juga, Baginda menggesa supaya kita menjaga diri daripada sebarang pencerobohan terhadap hak saudara kita samada jiwanya, marwahnya dan hartanya. Kemudian Baginda meminta supaya umatnya menyaksikan bahawa Baginda telah pun menyampaikan segala apa yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka. Kemudian Baginda bermohon kepada Allah untuk menyaksikan perkara tersebut, maka Allah pun menurunkan ayat yang menegaskan bahawa Nabi telah menjalankan tugasnya dan menyampaikan amanatnya dengan sempurna. Firman Allah s.w.t.didalam Surah Al-maidah, ayat 3:
“Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku cukupkan atasmu nikmat Ku dan Aku redha Islam menjadi agama kamu.”
Labbaika allahumma labbaik, Labbaika la syarika laka labbaik, Innal hamda wanni'mata laka wal-mulk, La syarika lak.
Para tetamu Allah yang berkumpul di padang Arafah ini,
Pada hari ini kita dapat menyaksikan semangat perpaduan umat Islam, semangat yang sepatutnya kekal sehingga kita pulang ke tanah air kita nanti. Kita dapat menyaksikan bagaimana umat Islam, tidak kira bangsa, warna kulit, taraf kedudukan, kaya dan miskin, semuanya berkumpul pada hari ini, di tempat yang satu ini, berpakaian yang tidak menunjukkan kemegahan dan kekayaan, mereka semua berkumpul disini untuk mengharapkan rahmat dan keampunan dari Allah, Tuhan yang menciptakan manusia semua dari tanah yang hina, dari air yang hina, keluar dari tempat yang hina. Adakah kita patut berbangga dengan keadaan kita? Adakah selayaknya kita menyombong diri dari meminta keampunan Allah? Adakah kita boleh menyombong dan berbangga sesama manusia, sedangkan didalam pemandangan Allah tidak ada perbezaan antara yang berkulit hitam dan merah, yang arab dan yang bukan arab melainkan sifat taqwa yang kita tanam dalam diri kita.
Labbaika allahumma labbaik, Labbaika la syarika laka labbaik, Innal hamda wanni'mata laka wal-mulk, La syarika lak.
Saudara-saudara tetamu Allah sekelian,
Hari ini mengingatkan kita kepada hari Masyhar, hari dimana semua manusia akan diperhitungkan, samada layak ke syurga atau lebih sesuai ke neraka. Hari dimana setiap manusia mengharap-harapkan sesuatu yang dapat memberatkan timbangan amalan kebaikan mereka dan meringankan timbangan amalan keburukan mereka. Hari dimana manusia mengharapkan agar ada jarak yang jauh antara dirinya dan amalan buruknya.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran, ayat 30 yang bererti:
“Pada hari tersebut, setiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan kepadanya. Dan segala kejahatan yang telah dikerjakannya dikumpulkan dihadapannya, maka ia ingin sekali agar ada jarak yang jauh antaranya dan amalan kejahatannya. Dan Allah memperingatkan kamu akan siksa Nya. Dan Allah itu sangat Penyayang kepada hamba-hamba Nya.”
Padi Hari Arafah ini, hari dimana Allah mencucurkan rahmat Nya yang tidak terhingga kepada hamba-hambanya yang beriman kepada Nya, maka janganlah kita mensia-siakan peluang ini. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah, marilah kita memperbanyakkan istighfar kepada Allah. Marilah kita bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha, taubat yang diikuti dengan azam tidak mahu mengulangi perbuatan jahat kita, taubat yang diikuti dengan amalan yang baik yang dapat memberatkan timbangan amalan baik kita di Hari Masyhar nanti.
Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Tahrim, ayat 8 yang bererti:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha.”
Labbaika allahumma labbaik, Labbaika la syarika laka labbaik, Innal hamda wanni'mata laka wal-mulk, La syarika lak.
Saudara-saudara para pengunjung Baitullah,
Semasa kita berada di bumi Arafah ini, sebelum kita keluar daripadanya dan mungkin keluar yang tidak kembali lagi, marilah kita menginsafi diri kita, meminta ampun kepada yang Maha Esa. Kita berdoa untuk kebaikan diri kita, anak-anak kita, keluarga kita, sahabat handai kita, para pemimpin kita dan masyarakat kita serta sekelian kaum Muslimin agar mendapat kebahagian hidup di dunia dan akhirat, Berdoalah wahai saudar-saudara sekelian dan memperbanyakkanlah doa kerana tempat ini adalah tempat pengkabulan doa. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana telah terpilih untuk berada di tempat ini. Kita dapat menyambut seruan Allah. Sesiapa yang terpilih dan ditakdirkan Allah datang ke mari maka dia telah beruntung besar. Dia telah menjadi tetamu Allah. Sesiapa yang diperkenankan Allah untuk datang, akan datang jua, tidak kira samada perjalannanya susah atau mudah. Hal ini telah diterangkan Allah s.w.t. dengan firmannya dalam surah Al-Haj, ayat 27:
“Serukanlah (wahai Ibrahim) di kalangan manusia untuk mengerjakan haji nescaya mereka datang kepada mu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus. Mereka datang dari ceruk rantau yang jauh.”
Maka kita yang datang dari tempat yang jauh itu, janganlah kita mensia-siakan masa kita semasa berada di tanah suci ini. Penuhkanlah masa dengan ibadah. Elakkan lah segala yang sia-sia yang tidak mendatangkan pahala, apa lagi kalau membawa dosa. Ia hanya satu kerugian besar. Pada hari ini, sesudah khutbah ini, kita akan berdoa dan berzikir atau membaca Al-Qur'an. Maka perbanyakkanlah berzikir:
La-ilaha illa-illah, wahdahu la syarika lah, lahul mulku wa-lahul hamdu, yuhyi wa yumiitu, wa-hua ‘ala kulli syai-in qadirr.
Di tempat inilah Syaithan begitu marah sekali dan begitu kecewa kerana usahanya menarik kita masuk ke neraka akan sia-sia sahaja apabila kita telah mendapat keampunan daripada Allah dengan haji yang mabrur. Kerana haji yang mabrur itu tiada balasannya melainkan syurga sebagaimana yang tersebut didalam hadith.
Diharapkan agar dengan pertemuan di Arafah ini kita kembali dengan azam yang baru untuk menambah taqwa kita kepada Allah. Kita berjanji kepada diri kita untuk lebih bertaqwa kepada Allah, tidak mensia-siakan umur yang diberi Allah untuk kita beramal soleh samada untuk diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat. Marilah kita menghayati firman Allah s.w.t dalam surah Al-Asr:
Demi masa! Sesungguhnya manusia itu didalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Baarakallah…….
KHUTBAH KEDUA
Wahai sekelian hamba Allah,
Para tamu Allah yang masih berada dalam majlis Allah ini, yang mengharap kurnia dan pemberian Nya, bertaqwalah kamu kepada Allah dan berbaik-sangkalah kepada Allah, kerana Allah menurut sangka hamba-hambaNya terhadapNya, agar kamu kembali daripada tempat ini dengan membawa limpah kurnia dan pemberian. Sebentar nanti kita akan beredar dari tempat ini menuju ke Muzdalifah dan Al-Masy'aril Haram. Sebagaimana firman Allah s.w.t. didalam surah Al-Baqarah :
“Maka apabila kamu beredar dari Arafah maka ingatlah Allah (berzikir dan berdoa) di Al-Masy'aril Haram.”
Saudara-saudara sekelian,
Al-Masy'aril Haram yang disebut dalam ayat ini menurut setengah ahli tafsir mengandungi dua tafsiran: ada yang mengatakan ianya sebuah bukit yang bernama "Qazah" dalam kawasan Muzdalifah. Dan ada pula yang mengatakan keseluruhan Muzdalifah itulah Al-Masy'aril Haram. Dengan adanya tafsiran ini peluang berdoa dan mengingati Allah di Al-Masy'aril Haram itu akan terhasil, insya Allah. Bacalah doa yang khusus untuk Muzdalifah atau apa sahaja doa yang baik bagi dunia dan akhirat kita. Disitu juga kita akan memungut batu untuk digunakan bagi melontar jamrah di Mina. Sejurus selepas tengah malam kita akan bergerak menuju ke Mina. Di Mina kita akan melontar jamrah Aqabah. Ingatlah wahai saudara-saudara sekelian, amalan ini adalah suatu amalan yang menunjukkan suatu azam dan tekad diri kita untuk menentang Syaithan yang menggoda kita. Rejamlah dengan tujuan ibadah mengikut amalan Rasulullah s.a.w. Setelah kita melontar, kita akan bercukur dan keluar dari ihram dengan tahallul awal. Tidak ada lagi perkara yang terlarang atas kita selain daripada jima' dan akad nikah. Kita akan duduk di Mina dua hari dan bermalam dua malam bagi mereka yang mahu keluar cepat, dan tiga hari tiga malam bagi mereka yang mahu keluar lambat. Semuanya diharuskan berdasarkan firman Allah s.w.t. didalam surah Al-Baqarah:
“Barangsiapa yang beredar (dari Mina) dengan cepat maka tidak ada dosa atasnya. Dan barangsiapa yang beredar lambat maka tidak ada dosa atasnya bagi setiap yang bertaqwa.”
Apa yang perlu bagi kita untuk fahamkan ialah sekurang-kurangnya, kita harus bermalam di Mina selama dua malam dan melontar pada siangnya. Setelah selesai bermalam dan melontar kita akan kembali ke Mekkah untuk membuat tawaf ifadhah atau tawaf haji. Kemudian sai' bagi mereka yang belum sai' kerana membuat haji ifrad atau qiran. Maka dengan tawaf dan sai' ini kita telah bertahallul tsani dan selesailah amalan haji kita, insya Allah.
Ya Allah Tuhan kami! Mudahkanlah perjalanan kami ini dan jadikanlah haji kami haji yang mabrur, dan perjalanan kami perjalanan yang diterima oleh Mu, dengan mendapat pahala yang berlipat ganda sebagai perniagaan yang tidak rugi.
Ya Allah! Cucurilah selawat dan salam Mu ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarganya, ahli baitnya dan zuriatnya. Dengan berkah selawat ini Engkau selamatkan kami daripada bahaya, Engkau sucikan kami daripada segala keburukan, Engkau angkatkan kami disisiMu ke tempat yang tinggi, Engkau tunaikan segala hajat kami, Engkau sampaikan kami ke pengsudahan segala kebaikan didalam hidup ini dan di akhirat kelak.
Ya Allah! Berilah keredhaan kepada para sahabat dan khalifah NabiMu yang empat: Saadaatinaa Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali, dan sekelian para sahabat dan tabi'in serta pengikut jalan mereka hingga ke hari Qiyamat.
Ya Allah! Berilah sokongan Mu dan kekuatan daripada Mu kepada mereka yang telah Engkau pilih untuk menegakkan kalimah agama Islam dan mempertahankannya dari kalangan para raja, sultan, presiden, panglima, pemimpin, pendakwah dan para ulama serta para pejuang dengan jiwa dan harta mereka pada jalan agama Mu.
Ya Allah! Bantulah mereka untuk mengalahkan mush-musuh mereka dari golongan kafirin dan munafiqin. Palingkanlah segala tipu daya musuh itu agar menimpa diri mereka sendiri.
Ya Allah! Ampunilah sekelian kaum Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat yang masih hidup dan yang sudah wafat.
Yaa Allah! Ampunilah kami dan mereka yang terdahulu dari kami dan janganlah Engkau letakkan sebarang perasaan dengki dalam hati kami atas orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Pelembut lagi Penyayang. Ya Tuhan Kami! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkanlah kami daripada api neraka. Ameen ya rabbal 'alamin.
Wahai sekelian hamba Allah!
Sesungguhnya Allah menyuruh supaya ditegakkan keadilan dan melakukan ihsan, serta diberikan hak kaum kerabat serta melarang dilakukan kekejian, kemungkaran dan penderhakaan. Allah menasihati kamu semoga kamu beringat. Maka hendaklah kamu semua ingat kepada Allah nescaya Allah ingat kepada kamu. Bersyukurlah kepada Nya nescaya ditambahnya nikmat. Mintalah limpah kurnia daripadanya nescaya diberinya kepada kamu. Sesungguhnya mengingati Allah itulah perkara yang terbesar.