Khutbah Gerhana Bulan
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Malam ini kita telah bersama-sama menyaksikan satu tanda kebesaran Allah s.w.t. Kita telah dapat menyaksikan satu peristiwa yang agak jarang berlaku. Ia adalah peristiwa gerhana bulan.
Saudara-saudara sekelian,
Rasulullah s.a.w bersabda:
Ertinya: Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan tidak berlaku atas kematian seseorang atau kehiduapnnya. Jika kamu menyaksikan gerhana maka dirikanlah solat dan berdoalah kepadaNya. (Hadith riwayat Imam Bukhari)
Jelas dari hadith di atas bahawa berlakunya gerhana tiada hubungan dengan kehidupan manusia di Bumi ini. Kita tidak seharusnya mempercayai perkara-perkara khurafat dan karut yang dipegang oleh mereka yang jahil tentang agama Islam. Gerhana berlaku sebagai satu tanda kebesaran Allah s.w.t, agar manusia merasa insaf atas segala kesalahan mereka dan mengagungkan Allah s.w.t. Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada yang mentadbir alam ini melainkan Allah s.w.t. Maka mengapa manusia masih merasa bongkak dan takkabur di atas muka bumi ini? Mengapa manusia tetap melakukan dosa dan maksiat sedangkan mereka mengetahui bahawa Allah s.w.t amat berkuasa untuk mengazabkannya di akhirat kelak? Sepertimana Allah berkuasa menggerakkan bulan sehingga berlaku gerhana, begitu juga Allah berkuasa untuk membangkitkan manusia untuk dihisab kelak. Maka bersegeralah bertaubat kepada Allah, sebelum datang ajal maut. Bersegeralah melakukan amal soleh sebelum datang ajal maut.
Saudara-saudara sekelian,
Lihatlah kejadian gerhana ini. Lihatlah kehalusan pentadbiran Allah di alam semesta ini. Bulan yang bergerak mengelilingi Bumi, tidak berlanggar sedikit pun dengan Bumi. Lihatlah bintang-bintang yang bertaburan di langit. Siapakah yang mencipta mereka? Siapakah yang mengatur perjalanan mereka sehingga tidak berlanggar di antara satu sama lain? Siapakah yang menjadikan angkasa lepas begitu luas sekali sehingga dapat memuatkan berjuta-juta bintang?
Allah s.w.t! Allah sahajalah yang mencipta segala-galanya. Tuhan yang tiada sekutu bagiNya.
Sesungguhnnya kejadian-kejadian yang berlaku di angkasa lepas ini adalah tanda kebesaran Allah bagi mereka yang berfikir, untuk mereka mengambil iktibar. Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali Imran, ayat 190 dan 191 :
Ertinya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang adalah sebagai bukti dan tanda kekuasaan Allah, bagi orang-orang yang berfikir. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
Baarakallah.......