01 Jun
2001


Penghayatan Maulud Nabi

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian agar bertaqwa kepada Allah, dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Kita sekarang sudah berada di bulan Rabiul Awal. Dua hari lagi kita akan menyambut hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Setiap tahun kita menyambutnya. Setiap tahun umat Islam diseluruh dunia menyambutnya. Dalam kesempatan ini marilah kita bersama-sama berfikir sejenak: apakah tujuannya kita menyambut Maulidur Rasul? Dalam mana setiap tahun, apabila tiba 12 Rabiul Awal, umat Islam menyambut Maulidur Rasul?

Diantara jawapannya ialah kita ingin mengingati perjuangan Rasulullah s.a.w dalam menegakkan Islam dan melahirkan rasa cinta kita kepada beliau. Maka apabila tiba bulan Rabiul Awal, dengan sempena sambutan Maulidur Rasul, membuat kita berfikir kembali dan sendiri dan membuat perhitungan: berapa dalamkah penghayatan kita terhadap pengorbanan Rasulullah s.a.w? Dan apakah bukti cinta kita kepada beliau?

Maasyiral Muslimin rahimakumullah,

Rasulullah s.a.w berjuang selama 23 tahun, untuk membawa cahaya Iman dan Islam kepada manusia. Dengan usaha gigih beliau, kesabaran beliau, pengorbanan beliau, kita hari ini dapat menikmati Islam dan Iman. Tanpa perjuangan Rasulullah dan ketabahannya, tidak mungkin hari ini kita dapat merasai nikmat Islam dan Iman. Rasulullah s.a.w pernah direjam sehingga berdarah oleh penduduk Taif apabila beliau ke sana untuk berdakwah. Rasulullah s.a.w pernah diletakkan najis binatang atas kepala beliau semasa beliau sujud ketika solat. Rasulullah s.a.w dicaci, dimaki, dilemparkan berbagai tuduhan sehingga diancam untuk dibunuh. Semua ini Rasulullah s.a.w menghadapinya dengan tabah. Tidak pernah Rasulullah s.a.w berhenti berdakwah walaupun diancam dan dizalimi oleh orang-orang kafir. Malah, apabila mereka menawarkan Rasulullah s.a.w pangkat dan harta sekiranya Rasulullah s.a.w berhenti dari berdakwah, Rasulullah s.a.w menolaknya dengan hadith beliau yang sangat masyhur yang maksudnya:

"Sekiranya matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan diletakkan di tangan kiriku, nescaya tidak akan aku berhenti dari dakwah ini sehingga aku dimatikan oleh Tuhanku atau aku diberi kemenangan."

Begitulah saudara-saudara sekelian, kecekalan Rasulullah s.a.w untuk terus berdakwah walaupun ditawarkan berbagai hadiah. Beliau tidak akan berhenti berdakwah walaupun beliau dapat menguasai matahari dan bulan. Kegigihan dan kesabaran beliau membuahkan hasil yang sangat manis. Dalam masa satu generasi sahaja, masyarakat Islam menjadi sebaik-baik umat. Tidak ada manusia sebelum Rasulullah atau sesudahnya yang dapat menyaingi pencapaian Rasulullah ini.

Moga-moga dengan menghayati perjuangan Rasulullah ini, menjadi subur dalam hati kita cinta yang tulen terhadap beliau. Lalu mendorong kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi umat Islam yang baik yang dapat dibanggakan oleh Rasulullah s.a.w.

Dari itu kita perlulah mempergigihkan usaha-usaha kita bagi menangani kepincangan-kepincangan dalam masyarakat kita seperti masalah penagihan dadah dan perceraian. Malah pada masa yang sama, kita perlulah mempertingkatkan prestasi masyarakat kita dalam bidang ilmu dan pelajaran dan juga ekonomi.

Kita mengaku cinta kepada Rasulullah. Maka buktikanlah cinta kita itu dengan menjadi umat yang boleh dijadikan contoh. Rasulullah mengajar kita agar gigih menuntut ilmu, duniawi dan ukhrawi. Maka hendaklah kita gigih dan tidak malas untuk belajar sehingga kita akan mempunyai bilangan tertinggi pelajar yang cemerlang.

Rasulullah mengajar kita agar mengejar kecermelangan duniawi dan ukhrawi. Maka janganlah ada dari kita yang kecundangan gagal bukan sahaja duniawi tetapi juga ukhrawi. Yang rugi dunia dan akhirat. Tidakkah ini satu perkara yang amat malang?

Rasulullah mengajar kita agar mempunyai akhlak yang mulia, samada sesama orang Islam atau orang bukan Islam. Maka hendaklah kita menghayati akhlak yang mulia itu supaya jangan timbul tanggapan yang salah mengenai Islam dari persepsi mereka yang bukan Islam. Begitulah caranya, moga-moga mereka yang bukan Islam akan terbuka hatinya untuk menerima Islam? Tidakkah Rasulullah s.a.w menunjukkan sifat yang mulia walaupun terhadap orang yang bukan Islam sehingga dapat menarik mereka untuk menerima Islam? Dan Rasulullah bersabar atas cacian dan hinaan mereka. Inilah sifat mulia Rasulullah sehingga Allah memuji beliau dalam surah Al-Qalam ayat 4:

Ertinya: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang agung.

Maka seharusnya kita orang Islam, yang mengaku cinta dan kasih kepada Rasulullah s.a.w, berusaha untuk mengikut sunnah beliau dan ajaran beliau. Ini adalah perintah dari Allah s.a.w dalam surah Al-Ahzab, ayat 21:

Ertinya: Demi sesungguhnya dalam Rasulullah s.a.w itu satu contoh tauladan yang baik untuk diikuti oleh mereka yang mengharapkan pertemuan dengan Allah dan hari akhirat, dan mereka yang mengingati Allah dengan banyak.

Jadilah umat Islam contoh. Jadilah umat Islam yang disegani. Jadilah umat Islam yang berilmu dan berakhlak mulia. Kita boleh mencapaiknya, insya Allah.

Baarakallah.....