01 Disember
2000


Fadhilat bulan Ramadhan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersempena Jumaat pertama dalam bulan Ramadhan ini, saya ingin menyeru kepada diri saya dan saudara-saudara sekelian, agar merebut peluang bulan yang mulia ini untuk menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah. Kita bertaqwa kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya, terutama dalam bulan yang penuh berkah ini. Dan kita meninggalkan segala laranganNya, terutama yang merosakkan pahala ibadah puasa kita.

Dan marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi syukur kita kepada Allah s.w.t yang telah memberikan kita peluang untuk menemui sekali lagi bulan Ramadhan tahun ini. Ini adalah satu anugerah besar dari Allah. Lihatlah, berapa ramai dari manusia yang sudah tiada lagi. Lihatlah berapa ramai dari saudara dan kenalan kita yang sudah meninggalkan kita dan tidak dapat menyambut Ramadhan pada tahun ini. Maka bersyukurlah kepada Allah! Firman Allah dalam surah An-Naml, ayat 40:

Ertinya: Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

Saudara-saudara sekelian,

Bulan Ramadhan bukanlah bulan siksaan seperti yang dianggap oleh sesetengah orang. Mereka menganggap bahawa dengan berpuasa dalam bulan Ramadhan, ia seolah-olah menyiksa diri sendiri. Akan tetapi sebaliknya, bulan Ramadhan adalah bulan rahmat dan pengampunan. Ia adalah rahmat dari Allah s.w.t bagi hamba-hambaNya yang beriman. Pada bulan ini sahajalah, dan tiada di bulan-bulan lain, yang mana Allah s.w.t membuka segala pintu Syurga dan menutup segala pintu neraka. Ini adalah lantaran rahmat Allah s.w.t. Bulan Ramadhan juga adalah bulan pengampunan. Di dalam bulan ini, Allah menerima taubat semua hambanya dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka yang bertaubat kepada Allah. Tidakkah kita mahu dosa-dosa kita terampun? Tidakkan kita mahu segala maksiat yang kita telah lakukan sepanjang 11 bulan yang lepas diampunkan oleh Allah s.w.t? Maka gunakan kesempatan bulan pengampunan ini. Pohonlah keampunan dari Allah s.w.t dengan penuh ikhlas dan tawadhu'. Bertaubatlah kepadaNya dengan taubat nasuha. Sesungguhnya Allah menerima segala taubat hambanya selagi mana ia tidak mensyirikkan Allah s.w.t. Allah telah memberitahu kita dalam surah Az-Zumar, ayat 53:

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan firman Allah selanjutnya:

Ertinya: Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

Marilah kita bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha, meminta ampun dari Allah dan menyesal atas segala maksiat yang telah dikerjakan. Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: Sesiapa yang bertemu bulan Ramadhan, akan tetapi tidak diberi pengampunan, maka sesungguhnya Allah telah menjauhkan orang tersebut dari rahmatNya.

Ini adalah kerana pada bulan ini adalah mudah untuk mendapat pengampunan dari Allah jika kita bersungguh-sungguh memintanya. Maka tidak diharamkan pengampunan kecuali bagi orang-orang yang sengaja dan terang-terang melanggar perintah Allah, dan tidak menghormati Tuhan penciptanya iaitu Allah Rabbul 'Alamin. Orang-orang ini tergamak untuk melakukan maksiat pada bulan Ramadhan. Orang-orang ini mencabar Allah s.w.t dengan melakukan maksiat pada bulan Ramadhan. Maka tidak hairanlah orang-orang ini dijauhkan Allah dari pengampunan dan rahmatNya. Mereka inilah orang-orang yang rugi dunia dan akhirat. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini, ameen.

Saudara-saudara sekelian,

Bulan Ramadhan adalah bulan kemenanan bagi umat Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak kemenangan umat Islam berlaku pada bulan Ramadhan. Bermula dari kemenangan pertama umat Islam terhadap orang-orang muysrik Mekkah pada peperangan Badar, sehinggalah kepada kemenangan uamt Islam menawan kembali sebahagian Semenanjung Sinai dari tangan orang-orang Yahudi pada abad ini. Pengunduran tentera Russia dari negeri Afghanistan berlaku pada bulan Ramadhan. Berhentinya peperangan di Bosnia sehingga umat Islam dapat hidup tenteram berlaku pada bulan Ramadhan.

Kita kaji. Adakah kemenangan semua ini adalah bersandarkan kepada kekuatan material dan fizikal sahaja? Jawapannya adalah tidak! Kemenangan umat Islam pada bulan Ramadhan ini adalah kerana kekuatan jiwa dan rohani mereka semasa mereka menjalankan ibadah puasa. Inilah kunci kejayaan gemilang umat Islam. Akan tetapi sayang sekali, sekarang ini ramai umat Islam percaya yang kejayaan hanya dapat diraih melalui kekuatan fizikal sahaja. Mereka seolah-olah lupa bahawa Allah berkuasa untuk menghancurkan orang-orang Musyrik dan memberi kemenangan kepada umat Islam sekiranya mereka mempertingkatkan dan memperkukuhkan hubungan mereka dengan Allah. Sudahkah kita memperkukuhkan hubungan kita dengan Allah?

Sekiranya jawapan adalah ya, maka buktikanlah perhubungan kita dengan Allah dengan melaksakan segala perintahnya dengan taat dan ikhlas, cinta pada Allah, mengharapkan keredhaanNya, bukan keredhaan sesama manusia. Jangan hanya cakap dimulut sahaja, tetapi lakukanlah sebanyak amal yang termampu, agar kita mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Saudara-saudara sekelian,

Bulan Ramadhan sudah datang. Dan sudah pasti ia akan meninggalkan kita. Alhamdulillah, kita masih lagi berada di minggu pertama bulan Ramadhan. Tetapi janganlah terpedaya. Janganlah terpedaya dengan anggapan bahawa masih banyak lagi hari dalam bulan Ramadhan, maka ktia bermalas-malasan untuk melaksanakan ibadat. Ingatlah, bahawa jika bermalas-malasan melakukan ibadat pada awal bulan Ramadhan, kemungkinan kita akan bermalas-malasan terus, sehingga Ramadhan meninggalkan kita.

Rebutlah peluang Ramadhan yang datang setahun hanya sekali ini. Rebutlah nya dari awal bulan lagi. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Ertinya: Awal bulan Ramadhan ini adalah rahmat dari Allah. Pertengahannya pula adalah keampunan, dan akhirnya pula adalah kelepasan dari api neraka.

Untuk melepaskan diri kita dari api nereka pada akhir Ramadhan nanti, maka mulalah dari awal bulan lagi. Saya menyeru kepada diri saya dan saudara-saudara sekelian agar memperbanyakkan membaca zikir ini pada 10 malam pertama Ramadhan:

Ya Allah! Rahmatilah daku, wahai yang Maha Pengasih.

Baarakallah....