Sudah Tiba Masanya Umat Memanfaatkan Masa
Sidang jumaat yang dirahmati Allah
Marilah kita mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Hadirin sidang jumaat yang dimuliakan,
Dalam dunia ini, semua orang boleh mengaku dirinya miskin atau kaya. Kita boleh mengaku kita memiliki harta. Dan sebaliknya, kita juga boleh menafikan diri kita kaya demi mendapatkan simpati orang. Sama ada benar atau tidak, Allah sahajalah yang Maha Tahu.
Tetapi, tidak seperti harta, ada satu perkara yang menjadi milik setiap kita. Tidak perlu kita buat pengakuan tentangnya, dan tidak boleh kita nafikan. Setiap kita ada perkara itu dalam tangan.
Apakah perkara itu? Perkara itu tidak lain tidak bukan adalah masa.
Baik yang miskin mahupun yang kaya, setiap kita memiliki masa. Baik yang jutawan mahupun yang miskin, masa yang ada bagi setiap kita sama sahaja, sama rata -- setiap hari kita ada 24 jam, setiap jam kita ada 60 minit, setiap minit kita ada 60 saat, tidak lebih, tidak kurang.
Walaupun demikian, masih ramai kita yang mengaku tidak ada masa. Kita mengaku tidak ada masa untuk buat kerja rumah, kita mengadu tidak ada masa untuk duduk bermesra dengan keluarga, kita merungut tidak ada masa untuk mengerjakan solat panjang-panjang, kita bersungut tidak ada masa untuk menyumbangkan tenaga kepada masyarakat. Sama ada benar atau tidak, Allah sahajalah Yang Maha Tahu.
Yang peliknya, sedang kita mengaku tidak ada masa, kita sempat pula menonton rancangan TV yang kita gemari, sedangkan apabila diajak untuk ke kelas agama, kita kata tiada masa. Kita sempat pula tengok perlawanan bola sepak pasukan kegemaran kita pada pagi-pagi buta dari mula hingga akhir, sedangkan apabila dianjurkan untuk bangun malam dan mengerjakan solat tahajjud, kita kata tiada masa. Kita sempat pula hafal lagu-lagu yang tiada manfaatnya, sedangkan apabila kita dianjurkan agar menghafal sebahagian surah Al-Quran, kita katakan tiada masa dan tak terdaya. Kita sempat pula membaca setiap perkembangan artis kesayangan kita, sedangkan apabila diminta kita membaca Al-Quran dan buku pengetahuan, kita kata tiada masa. Saudara-saudara sekelian, kenapakah sampai jadi sebegini?
Kalau kita bandingkan zaman dahulukala dengan zaman masa kini, sepatutnya orang sekaranglah yang patut mempunyai lebih banyak masa dalam sehari. Ini kerana teknologi telah banyak memudahkan tugas kita sehari-hari, dan telah mengurangkan masa untuk kita membuat sesuatu perkara. Sebagai contoh, kalau dulu kita perlukan banyak masa untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat, sekarang ini dengan pengangkutanyang canggih, ia lebih cepat lagi. Kalau dulu orang mengambil masa yang lama untuk masak, sekarang semuanya dengan petikan suis.
Sepatutunya kita mempunyai lebih banyak masa di tangan kita. Sebaliknya, kita mengadu dan mengeluh tidak cukup masa. Dimanakah perginya masa-masa kita? Adakah hari semakin pendek? Adakah sekarang sehari 20 jam dan dahulu 30 jam? Tidak! Sehari tetap 24 jam. Yang membezakan antara orang yang rugi dan beruntung adalah berkat waktu itu sendiri. Dan bagaimana kita hendak mendapat keberkatan dari waktu?
Jawapannya adalah satu, iaitu bijak menggunakan masa untuk kegiatan yang bermanfaat.
Orang yang bijak menggunakan masa, berusaha memastikan setiap detik hidup mereka - sekalipun dalam mereka beristirahat dan bersantai - digunakan sepenuhnya. Ini kerana mereka tahu, masa itu berharga, malah lebih berharga daripada harta yang ada dalam tangan mereka. Apakan tidak, harta yang hilang boleh diganti semula; masa yang hilang, hilang selama-lamanya.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian,
Sesungguhnya Islam amat menitikberatkan masa. Lihatlah pembahagian solat lima waktu. Lihatlah ibadat puasa dalam 30 hari Ramadan. Lihatlah seruan agar kita beribadat sepertiga malam. Lihatlah betapa Islam memberi penghormatan kepada mereka yang memanfaatkan masa melalui satu surah yang khusus dalam Al-Quran. Firman Allah dalam surah Al-Asr:
Ertinya: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih dan menasihat-nasihati dengan kebenaran dan dengan kesabaran."
Maka, setelah mendengarkan itu semua, apakah kita masih rela membiarkan masa kita mengalir lalu begitu sahaja? Tidak, sekali-kali tidak. Sudah tiba masanya umat kita mengorak langkah, mengatur masa yang tinggal bagi kita di dunia. Jadi apakah yang boleh kita lakukan mulai sekarang?
Pertama sekali, kita perlu insaf dan ubah sikap kita terhadap masa. Sesungguhnya, masa itu anugerah dan amanah yang besar daripada Allah s.w.t. Cubalah kita bayangkan setiap hari itu sebagai 24 jam yang diletakkan oleh Allah s.w.t ke dalam tangan kita. Ia adalah satu nikmat dari Allah. Dan ketahuilah bahawa setiap nikmat akan dipersoalkan kelak di Akhirat. Cuba kita senaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan secara seharian, secara mingguan, secara bulanan malah secara tahunan jika mampu. Kemudian, kita susun perkara-perkara itu menurut keutamaan, dan kita laksanakan menurut susunan itu.
Kedua, jangan sekali-kali melengah-lengahkan membuat sesuatu. Buatlah ia dengan segera, kerana dalam zaman kini, tanggungjawab dan tanggungan kita akan bertimbun dengan cepat sekali. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w:
Hadith riwayat Imam Ahmad, Baihaqi dan lain-lain.
Yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu, mudamu sebelum tuamu dam kekayaanmu sebelum kemiskinanmu.
Ketiga, kita tinjau kegiatan dan kelaziman kita setiap hari. Mana yang berfaedah, kita berusahalah menghentinya. Kalau tidak boleh hentikan denga segera, kita letakkanlah tempoh bagi kita menghentikannya sedikit demi sedikit, secara ansuran.
Saudara-saudara sekelian,
Pokok pangkalnya adalah bagaimana kita mengatur masa kita di dunia ini. Adakah kita hendak biarkan ia pergi tanpa apa-apa faedah, atau kita rebut masa tersebut untuk meraih faedah dunia dan akhirat. Dan ingatlah, bahawa masa kita di dunia ini ia amat singkat jika dibandingkan dengan masa di alam kubur dan akhirat. Ingatlah bahawa manusia di akhirat kelak akan menyesal kerana tidak mengisi masa mereka di dunia ini dengan sebaiknya. Yang ahli neraka akan kesal kerana tidak beriman ketika di dunia. Yang ahli syurga juga akan kesal kerana tidak merebut masa mereka di dunia untuk lebih giat melakukan kebajikan bagi mendapat darjat yang tinggi di syurga kelak.
Marilah kita berhenti sejenak dan merancang masa kita dengan lebih baik. Semoga dengan itu, kita akan menjadi masyarakat yang berjaya di dunia dan akhirat kelak, insya Allah.
Baarakallah.....