3 September 99

 



Tajuk: Pentingnya Ilmu Pengetahuan


Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ilmu pengetahuan merupakan salah satu alat terpenting yang amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagian hidup, samada di dunia mahupun di akhirat. Islam, menurut takrifnya yang sebenar, ialah Ad-Din, iaitu suatu sistem hidup yang lengkap, menyeluruh, mencakupi kegiatan peribadatan, perekonomian, kemasyarakatan, pendidikan, politik dan pentadbiran. Semua kegiatan tersebut tidak akan bernilai dan sempurna disisi Islam tanpa berasaskan aqidah, syariah dan akhlak. Dengan kata-kata lain, semua kegiatan tersebut, samada berbentuk spritual mahupun fizikal, matlamat dan tumpuan akhirnya adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah. Ini adalah selaras dengan matlamat manusia itu dijadikan:

Ertinya: Dan tidaklah aku menciptakan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku.

Oleh itu, bagi mencapai kebahagian yang sebenar samada di dunia mahupun di akhirat, dengan berlandaskan kegiatan-kegiatan tersebut, Islam telah menjadikan ilmu pengetahuan sebagai alat dan penggerak utamanya. Ilmu diangkat ke tahap yang paling tinggi di antara urusan hidup manusia. Tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan tersebut akan menemui kegagalan dan tidak akan sampai kepada matlamatnya yang sebenar, iaitu keredhaan Allah.

Menurut Islam, ilmu pengetahuan juga merupakan satu ukur tara yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain, juga antara masyarakat dengan masyarakat yang lain. Ini telah pun dijelaskan oleh Al-Quran didalam surah Az-Zumar, ayat 9 yang berbunyi:

Ertinya: Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Selain itu, ilmu pengetahuan juga merupakan alat bagi mencapai tahap keimanan yang sempurna dan kayu ukur ketaqwaan seseorang terhadap Tuhannya. Ilmu dan dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketaqwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit. Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti yang ditegaskan oleh Al-Quran:

Ertinya: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.

Saudara-saudara sekelian,

Menurut pandangan Islam, ilmu ialah semua jenis ilmu pengetahuan yangboleh mendorong manusia mencapai kebahagian samada di dunia mahupun di akhirat. Ilmu sebagai suatu alat yang unik, yang boleh mendorong dan membimbing pemiliknya untuk mengenal Allah dan memperhambakan diri semata-mata kepadanya. Justeru itu, kepentingan berilmu samada bagi individu mahupun masyarakat, begitu bernilai dan disanjkung tinggi.

Sejarah telah membuktikan bagaimana pentingnya kedudukan ilmu ini sebagai alat dan syarat utama kepada manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Nabi Adam a.s sebelum diutus ke bumi, telah dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan bagi melayakkan diri sebagai khalifah Allah yang bertanggung-jawab mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini.

Ilmu juga penting bagi manusia mencapai tujuan ia dijadikan oleh Allah iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah. Tanpa ilmu adalah sukar baginya untuk mencapai ketaqwaan yang sebenar kerana ilmu memainkan peranan penting dalam peningkatan iman dan pendorong bagi seseorang untuk mengenal Allah dengan lebih dekat lagi.

Oleh yang demikian, Islam sejak kemunculannya telah mengingatkan umatnya agar menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Dengan kata lain, pembelajaran menurut Islam berlaku sepanjang hayat. Rasulullah s.a.w bukan sahaja menggalakkan umat Islam, bahkan mewajibkan setiap individu menuntut ilmu pengtahuan.

Menurut pandangan Islam juga, ilmu itu suatu yang suci serta bernilai dalam kehidupan seseorang Muslim. Mereka yang berilmu diberi kedudukan yang paling tinggi serta dijadiakan sebagai saksi kepada manusia lain, beserta Allah dan para malaikat. Mereka juga diberi kedudukan yang teristimewa sesudah para nabi, khususnya umat Rasulullah s.a.w. Mereka diberikan tanggung-jawab untuk menyampaikan seruan, memimpin umat dan mentadbirkannya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Dengan kata lain, mereka sebagai pewaris yang mempusakai tugas Rasulullah s.a.w selepas kewafatan baginda.

Imam Ghazali menyatakan, tidak ada martabat yang lebih tinggi daripada martabat kenabian dan tidak ada kemulian yang lebih mulia daripada menjadi pewaris martabat kenabian.

Kelebihan ilmu pengetahuan juga dapat ditanggapi daripada perutusan Rasulullah s.a.w. Disamping menjadi Rasul, Baginda juga berperanan sebagai seorang guru dan pendidik. Allah menegaskan:

Ertinya: Maka sesungguhnya kewajipan Rasul kami hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan terang.

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

Ertinya: Sesungguhnya aku diutus sebagai seorang guru.

Galakan Rasulullah s.a.w kepada umat Islam supaya menguasai berbagai-bagai ilmu pengetahuan bukan sekadar kata-kata dalam bentuk sabda atau teori sahaja. Bahkan diperlihatkannya menerusi amalan. Baginda tidak henti-henti menyampaikan ilmu Allah itu samada di rumahnya, di rumah sahabat seperti di rumah Al-Arqam Ibn Abi Al-Arqam, di masjid, juga di tempat-tempat perhimpunan. Rasulullah s.a.w sekali-kali tidak mengizinkan individu dan masyarakat Islam berada dalam kejahilan dan buta huruf.

Baarakallah....