Ibu Bapa Muslim Sebenar
Saudara-saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekalian, hendaklah kita sering memupuk dalam jiwa kita sikap taqwa kepada Allah s.w.t., taqwa dalam segala gerak geri, tingkah laku, amal perbuatan serta perjuangan kita agar jangan sampai ada yang melanggar larangan- larangan Allah s.w.t. Hendaklah kita senantiasa berdiri kukuh di landasan kebenaranNya. Agar hidup kita ini benar-benar mendapat keredhaan, pengampunan serta selamat sejahtera di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t :
Yang bermaksud: "Barangsiapa yang mentaati perintah Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah memperolehi kebahagiaan yang besar" ( Al-Ahzab: 71)
Sidang jumaat sekalian,
Allah telah berfirman dalam surah Az-Zariyat ayat 56:
Yang bererti: "Dan Aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah ku"
Dari firman Allah ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa tujuan atau matlamat utama penciptaan setiap makhluk terutamanya manusia di muka bumi ini adalah untuk menyembah, tunduk dan patuh hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata, Tuhan seru sekalian alam. Kehidupan sementara yang sedang kita jalani sekarang ini adalah sebagai penghubung atau jambatan yang dapat menyampaikan manusia kepada kebahagiaan yang hakiki iaitu
alam akhirat. Inilah hakikat atau wawasan hidup yang perlu disedari dan dihayati oleh setiap individu muslim dalam menjalani kehidupan ini.
Setiap manusia yang dicipta Allah telah diberi misi dan tanggungjawab masing-masing bagi meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini, yang mana setiap tugas dan tanggungjawab tersebut adalah merupakan amanah Allah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tanggungjawab yang dimaksudkan ialah, memastikan berkembangnya generasi muslim yang beriman, bertaqwa serta menjadi penyambung umat Islam yang berkualiti serta tidak melalaikan dari tugas dan tanggungjawab masing-masing. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang bermaksud: "Seberat-berat agama ialah memelihara amanah. Sesungguhnya tidak ada agama bagi orang yang tidak memelihara amanah, bahkan tidak ada salat dan zakat baginya (tidak diterima)" (Hadith riwayat Al-Bazzaar)
Bagi memastikan berkembangnya umat manusia dan kesinambungan kehidupan di dunia, Islam telah mensyariatkan perkahwinan sebagai satu amanah kepada umatnya untuk melahirkan generasi umat Islam. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 72:
Maksudnya: "Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki yang baik-baik"
Maasyiral Muslimin rahimakumullah,
Jika kita lihat di sekeliling kita hari ini kita akan dapati beberapa aspek akhlak dan moral anak-anak kita yang boleh diperbaiki, seperti masalah pendedahan aurat, melahirkan anak luar nikah, pergaulan bebas, merusuh dan melakukan jenayah yang seolah-olah memperlihatkan kepada kita kurangnya ikatan akidah dan nilai-nilai murni untuk dijadikan pegangan dalam kehidupan.
Dalam menilai semula fenomena ini, di antara konsep hidup yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w ialah kepimpinan dan pendidikan terhadap anak-anak. Pendidikan anak adalah bermula dari individu-individu ibu bapa itu sendiri. Seorang bapa
dan ibu harus mengerti tujuan kita dihidupkan Allah di dunia ini, apa tugas dan kewajipan kita, dan apa jawapan kita nanti setelah kita dipanggil oleh Allah untuk mengadapNya. Tanpa memahami perkara-perkara ini, maka tidak mungkin akan lahirnya generasi yang bertaqwa, yang mampu memiliki kecemerlangan di dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Anak merupakan amanah dari Allah yang hendaklah dipelihara dan dibimbing sesuai dengan pesanan dan panduan syariat Allah dan RasulNya. Jika ini tidak dilaksanakan dengan betul, maka ianya boleh menjadi penyebab orang tuanya terseret ke lembah neraka di akhirat dan mendapat malu di dunia. Amaran ini dinyatakan oleh Allah dalam firmannya dalam surah At-Tahrim ayat 6:
Yang bermaksud: "Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka"
Sehubungan dengan itu, kita tidak ada pilihan atau alternatif lain kecuali mendidik anak-anak kita serta membimbingnya kepada Taqwa kepada Allah.
Zaman telah berubah, perkembangan dan kemajuan dunia hari ini sedikit sebanyak telah merubah nilai-nilai murni kehidupan dan kerohanian kita. Maka kita sebagai ibu-bapa hendaklah banyak memberi bekal kerohanian kepada anak-anak kita agar tidak hanyut dan kalah dengan perkembangan zaman. Begitu juga agar kehidupan sosial mereka seimbang dengan tuntutan agama. Sejak kecil lagi anak-anak seharusnya menerima pendidikan agama. Sejak dari dalam kandungan, setelah lahir hingga dewasa masih perlu dibimbing. Ini diakui sendiri oleh ilmu pengetahuan moden yang mengatakan bahawa masa yang paling dominan untuk membentuk jiwa manusia ialah ketika di dalam lingkungan asuhan ibu dan ayah. Ini sesuai dengan fitrah perkembangan jiwa anak bermula dari sejak kecil, kita bimbing dan kita juruskan ke jalan yang sesuai. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya setiap anak dilahirkan atas fitrah (kesucian agama yang sesuai dengan naluri) sehingga lancar lidahnya, maka kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan dia beragama Yahudi, Nasrani atau Majusi" (Hadis riwayat Abu Ya'la. Thabrani & Baihaqi)
Sidang jumaat sekalian,
Dalam membicarakan cara bagaimana mendidik anak, perhatikanlah pesanan pendidikan Luqman kepada anaknya di dalam Al-Quran. Ia meliputi pokok ajaran pendidikan yang mengandungi nilai-nilai tinggi yang antaranya: mencakupi asas pendidikan tauhid, akhlak, solat, pendidikan amr ma'ruf nahi munkar, bersikap tabah dan sabar serta kehidupan bermasyarakat.
Adalah menjadi harapan setiap orang tua agar dikurniakan anak-anak yang menjadi permata hati di dalam kehidupan mereka dan menjadi anak yang soleh yang dapat menjadi aset atau saham di akhirat kelak. Soleh atau tidaknya seseorang anak itu adalah menjadi pertanda sama ada berhasil atau gagalnya orang tua dalam mendidik anak. Sabda Rasulullah s.a.w.:
bermaksud :"Dan bahawasanya anak-anak itu termasuk hasil usahamu" (Riwayat Bukhari)
Mendapat anak soleh adalah satu kurniaan Allah yang tidak ternilai. Dialah yang mendoakan orang tuanya yang telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah s.a.w. :
Ertinya: "Apabila anak adam telah meninggal dunia, maka putuslah semua amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya"
Anak soleh adalah harapan setiap orang. Maka selaku orang tua kita hendaklah membimbing dan mengusahakan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh.
Baarakallah.....