04 Ogos 2000

 



Tajuk: Itqan dalam Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian agar sentiasa meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Maasyiral Muslimin rahimakumullah,

Umat Islam adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. Umat Islam diberikan sebaik-baik kitab iaitu kitab Al-Quran. Umat Islam diberi sebaik-baik contoh dalam keperibadian dan akhlak Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 21:

Ertinya: Sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.

Rasulullah s.a.w menekankan agar umatnya memiliki akhlak-akhalak dan sifat-sifat yang terpuji dan baik. Antara sifat-sifat yang terpuji adalah sifat itqan. Itqan bermaksud melakukan sesutu dengan sebaik mungkin. Melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh tanpa mengorbankan kualiti hasil kerjanya. Dalam aspek ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Sesungguhnya Allah suka seseorang kamu jika dia melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan sungguh-sungguh dan teliti.

Sesungguhnya sifat itqan atau ketelititan dalam melakuakn sesuatu pekerjaan adalah tuntutan dalam Islam. Allah s.w.t dalam mencipta manusia pun, Allah mencipta dengan sebaik-baiknya. Ini jelas dari firman Allah s.w.t dalam surah At-Tin, ayat 4:

Ertinya: Sesunggunya Kami telah mencipta manusia dalam sebaik-baik ciptaan.

Allah s.w.t berkuasa untuk menjadikan manusia makhluk yang hodoh. Tetapi sebaliknya Allah memperelokkan ciptaan manusia ini. Bukan itu sahaja. Malah Allah mencipta setiap sesuatu sebaik-baiknya. Alalh s.w.t berfirman dalam surah As-Sajdah, ayat 7:

Ertinya: Allah yang mencipta setiap sesuatu dengan sebaik-baiknya.

Langit yang terbentang di atas kita. Adakah kita lihat retak pada langit tersebut? Sepertimana kita lihat retak di bangunan ciptaan manusia? Firman Allah dalam surah Al-Mulk, ayat 3:

Ertinya: Allah yang telah mencipta tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

Begitulah ciptaan Allah. Allah tidak mencipta sesuatu dengan main-main atau sambil lewa. Sebaliknya Allah mencipta sesuatu dengan sebaik-baiknya. Dalam penciptaan langit dan bumi, Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya, ayat 16:

Ertinya: Dan tidaklah Kami mencipta langit dan bumi dan apa-apa yang ada diantaranya dengan main-main.

Maka, sidang Jumaat yang dirahmati Allah, sifat itqan atau ketekunan dalam melakukan sesuatu pekerjaan amat dituntut dalam Islam. Tidak kira samada pekerjaan itu dalam bentuk ibadah atau dalam perhubungan antara sesama manusia. Dalam ibadah kita diminta agar mempunyai sifat itqan. Kita mesti melakukan ibadah dengan sungguh-sungguh, dengan penuh khusyuk, agar ibadah kita diterima oleh Allah. Kita harus pertingkatkan kualiti ibadat kita agar setiap hari kita menjadi lebih dekat kepada Allah. Janganlah tahun yang sudah sama dengan tahun yang sekarang. Kalau dulu kita biasa melewat-lewatkan solat, maka sekarang kita mesti berazam agar melakukan solat pada awal waktunya. Kalau dahulu kita cepat-cepat meninggalkan tikar sembahyang selepas solat, sekarang pula kita berazam untuk duduk sebentar membaca zikir mengingati Allah. Kita tingkatkan kualiti ibadat kita kepada Allah. Dengan itu kita akan menjadi hamba yang dicintai oleh Allah.

Mungkin ada sebahagian dari kita yang mempunyai pandangan bahawa yang penting dalam Islam adalah itqan dalam ibadah sahaja. Mereka tidak mengambil berat dalam meningkatkan itqan atau kualiti dalam pekerjaan seharian mereka. Ini adalah pendapat yang salah. Umat Islam dituntut juga agar mempunyai itqan dalam pekerjaan mereka. Hadith Rasulullah s.a.w yang saya baca sebentar tadi tidak membezakan antara perbuatan ibadah dan pekerjaan duniawi. Apa sahaja pekerjaan kita, kita harus mencari jalan dan berusaha untuk meningkatkan kualit pekerjaan tersebut. Tidak kira apa sahaja pekerjaan tersebut. Jika kita seorang peniaga, kita berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti perniagaan kita. Jika kita seorang ketua, kita berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti kepimpinan kita. Jika kita seorang pemandu, kita berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti pekerjaan dengan cara menjimatkan minyak kereta sebagai contoh. Malah jika kita seorang pelajar pun, kita dituntut agar meningkatkan lagi kualiti ilmu yang kita pelajari dengan membaca di luar skop apa yang diajar. Sebagai guru pula, kita dituntut untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran kita agar dapat menarik minat pelajar untuk mendalami ilmu yang diajar.

Begitulah, saudara-saudara sekelian, dengan menghayati tuntutan itqan, atau meningkatkan kualiti pekerjaan kita, umat Islam akan menjadi umat yang berjaya di dunia dan di akhirat. Kita akan menjadi umat yang disegani. Akan tetapi, jika kita tidak mempunyai sifat itqan dalam diri kita, jika kita melakukan pekerjaan kita sambil lewa, atau apa yang disebut dalam pepatah, seperti melepaskan batuk di tangga, maka kita tidak akan maju sampai bila-bila. Jika kita hanya melakukan solat hanya untuk melepaskan kewajipan kita, kita tidak akan dapat meningkatkan darjat kita disisi Allah.

Dalam pekerjaan dunia kita, jika kita hanya melakukan pekerjaan kita hanya untuk mencari sesuap makanan, maka pekerjaan kita akan menjadi hambar. Pekerjaan kita tidak akan meningkat kualitinya. Akhirnya pekerjaan kita mungkin diambil oleh orang lain. Kita akan kehilangan pekerjaan.

Sebagai penuntut, jika kita hanya belajar setakat untuk lulus dalam peperiksaan, ilmu yang kita pelajari akan hilang begitu sahaja selepas peperiksaan tersebut. Ini adalah kerana tidak timbul dalam diri kita sifat itqan dalam belajar. Tidak ada dalam diri kita sifat minat untuk mendalami ilmu yang kita pelajari. Akhirnya, kita menjadi pelajar yang biasa sahaja, bukan pelajar yang cemerlang atau sekurang-kurangnya pelajar yang menonjol dalam pencapaian.

Sidang Jumaat sekelian,

Dalam meningkatkan itqan dalam pekerjaan kita, satu perkara yang asas yang tidak harus dilupai oleh setiap orang Islam. Satu perkara yang teramat penting yang menjadi penentu ganjaran di akhirat. Ia adalah niat kita. Jika kita berniat hanya untuk dunia ini, maka hanya dunia sahajalah yang kita dapat. Tetapi jika kita berniat untuk Allah, untuk menolong Islam, insya Allah, kita akan mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Firman Allah s.w.t:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong Allah nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kamu.

Baarakallah......