05 January
2001


Peperangan Hunain

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mempertingkatkan rasa taqwa kita kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Hadirin sidang jumaat yang dimuliakan,

Kita sekarang sedang berada di dalam bulan Syawal, di mana ianya merupakan sebagai satu bulan kemenangan kepada umat Islam kerana berjaya melawan hawa nafsu mereka di dalam bulan Ramadan. Jika kita imbas kembali sejarah Rasulullah s.a.w., kita akan dapati bahawa umat Islam juga telah mencapai banyak kemenangan di dalam bulan ini.

Kita sebagai umat Islam amatlah perlu mempelajari sejarah kemenangan umat Islam yang terdahulu, kerana dari situ kita akan dapati beberapa pengajaran yang penting yang dapat kita ambil sebagai panduan dan juga teladan dalam kehidupan kita seharian di dunia ini.

Tidakkah kita ingin mencontohi keberanian para sahabat-sahabat dalam memperjuangkan agama Allah? Tidakkah kita juga ingin menjadi para syuhada' seperti mereka ? Ketahuilah ganjaran bagi mereka yang mati syahid di dalam medan peperangan semata-mata kerana ingin memperjuangkan agama Islam adalah sangat besar.

Firman Allah di dalam surah Ali Imran : 169

Ertinya : Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian,

Di antara peperangan yang telah membawa kemenangan bagi umat Islam dalam bulan ini ialah peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun kelapan Hijrah. Di antara sebab berlakunya peperangan ini ialah kerana pembesar - pembesar dari Thaqif dan Hawazin menjadi marah kepada Rasulullah s.a.w. setelah orang-orang Quraish yang dahulunya memusuhi baginda berpihak dan menyebelahi Rasulullah s.a.w selepas tertawannya kota Makkah.

Sebagai mana yang kita maklumi, sebelum berlakunya peperangan Hunain, umat Islam telah pun menempuh peperangan Badar Kubra yang jauh lebih hebat dan lebih mencabar daripada peperangan Hunain, di mana pada ketika itu bilangan umat Islam yang menyertai peperangan tersebut adalah paling sedikit berbanding dengan peristiwa-peristiwa peperangan yang lain. Tetapi itu semua tidak menjadi halangan kepada umat Islam pada ketika itu di sebabkan keimanan mereka yang begitu pejal dan kukuh kepada Allah dan Rasul Nya .

Adapun semasa peperangan Hunain pula bilangan tentera Islam adalah lebih ramai dari bilangan tentera yang menyertai peperangan Badar dan semua peperangan-peperangan yang lain.

Maka, dari sini kita dapat membuat kesimpulan bahawa walaupun bilangan tentera Islam yang sedikit, ia tidak boleh menghalang mereka dari mencapai kemenangan ke atas tentera musuh yang lebih ramai bilangannya, dengan syarat mereka bersifat sabar dan taqwa. Maka ghazwah Hunain ini pula telah membuktikan bahawa bilangan yang ramai juga tidak dapat menjamin kemenangan umat Islam jika mereka tidak mempunyai sifat sabar dan taqwa.

Allah s.w.t. telah menceritakan tentang keadaan orang-orang Islam di dalam peperangan tersebut yang pada mulanya gugup dan porak-peranda sebelum Allah memberikan 'sakinah' yakni ketenangan di dalam diri mereka dan juga RasulNya . Firman Allah dalam surah At-Taubah, ayat 25-26:

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) di hari (peperangan) Hunain, iaitu di saat kamu menjadi sombong kerana banyaknya bilangan kamu, maka bilangan yang banyak itu tidak memberi sebarang faedah kepada kamu, terasa sempitlah buat kamu bumi yang luas ini, kemudian kamu lari ke belakang porak-peranda - kemudian Allah menurunkan sakinah kepada RasulNya dan kepada mukminin, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak dapat melihatnya, dan Allah menimpakan bencana azab kepada orang-orang yang kafir.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian,

Di dalam peperangan Hunain ini, kita lihat terdapat banyak sekali pengajaran dan hukum yang terkandung di dalamnya, yang berguna kepada umat Islam :

Pertama: Keberanian Rasulullah s.a.w. di dalam peperangan.

Keberanian Rasulullah s.a.w. amatlah terserlah apabila beliau ditinggalkan keseorangan oleh sahabat-sahabatnya di tengah - tengah medan perang yang di kelilingi oleh pihak musuh. Di dalam suasana yang sebegitu genting, Rasulullah sedikit pun tidak menunjukkan rasa cemas, bahkan dengan keberanian baginda itu, baginda dapat mendorong para sahabat yang kemudiannya kembali semula dengan gagahnya ke medan peperangan.

Kedua: Jihad ini tidaklah bererti membalas dendam terhadap orang kafir.

Jihad sebenarnya adalah merupakan perlaksanaan tugas amar maaruf dan nahi mungkar. Jihad itu juga merupakan tanggungjawab semua manusia terhadap sebahagian manusia yang lain bagi mengelakkan azab abadi pada diri mereka di hari kiamat kelak. Oleh sebab itulah, doa orang muslimin tidak sepatutnya di tujukan kepada orang lain dengan kecelakaan, sebaliknya dengan memohon hidayah dan islah bagi saudaranya itu, walau sekalipun yang ditujukan itu ialah kepada musuhnya yang kafir, kerana matlamatnya ialah hikmah dari jihad yang di syariatkan.

Ketiga : Pendekatan Islam terhadap orang-orang yang baru memeluk Islam.

Kita dapat lihat hasil dari peperangan ini, Rasulullah telah mengutamakan penduduk Mekah yang baru memeluk agama Islam pada tahun pembukaan kota Mekah dengan memberikan mereka harta rampasan perang yang lebih banyak berbanding dengan golongan lain tanpa mengikut kaedahnya yang asal.

Perbuatan Rasulullah s.a.w. ini menjadi satu sumber hukum yang penting iaitu di bolehkan kepada ketua melebihkan pemberian kepada orang - orang yang sedang dilembut dan di jinakkan hati mereka dengan Islam, malah adalah menjadi wajib bagi ketua untuk berbuat yang demikian dalam keadaan yang tertentu. Dengan sebab inilah maka muallaf mempunyai bahagian atau sahamnya yang khas dalam pembahagian zakat.

Keempat : Di haramkan membunuh wanita, kanak-kanak dan hamba di dalam peperangan.

Para ulama bersepakat bahawa hukum membunuh mereka adalah haram kecuali jika mereka juga mengambil bahagian di dalam peperangan.

Jelas di sini bahawa Islam melarang umatnya melakukan keganasan ke atas kaum yang lemah dan juga terhadap orang awam yang tidak ada kena mengena dengan peperangan.

Semoga dengan pengajaran daripada peperangan ini akan dapat menyedarkan kita dari kelekaan dan juga khayalan. Ketahuilah, setiap seorang dari kita digalakkan berniat dalam diri mereka untuk berjuang pada jalan Allah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang di riwayatkan oleh Ibnu Majah :

Maksudnya :

Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda : Sesiapa yang meminta kepada Allah untuk syahid dengan sebenar- benarnya dari hatinya, Allah akan mengurniakan padanya kedudukan para syuhada', walaupun dia mati di atas katilnya.

Barakallah.....