Topik: Solat dan Hikmahnya
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Saya berpesan kepada diri saya dan juga kepada saudara-saudara sekalian agar kita sentiasa bertaqwa kepada Allah, dengan melakukan segala suruhannya dan menjauhi segala larangannya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan manfaat di akhirat kelak.
Sidang Jumaat yang saya muliakan,
Dalam mencapai taqwa yang saya sebutkan tadi, Islam telah mewajibkan solat ke atas setiap orang Islam . Dalam pengertian yang lain, solat itu merupakan lambang pengabdian kita kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, Islam telah memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat. Ia merupakan ibadat fardhu yang diterima secara langsung oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w daripada Allah pada malam Israk dan Mikraj. Ini berlainan daripada ibadah-ibadah yang lain, kerana kewajipan solat itu diterima langsung tanpa ada perantaraan Malaikat Jibril. Justeru itu, solat mempunyai hikmah serta keistimewannya yang tersendiri.
Solat adalah saluran utama hubungan kita dengan pencipta kita, Allah s.w.t. Ia merupakan wadah bagi kita membuktikan pengabdian kita kepadaNya. Melalui solat, akan suburlah keimanan yang terdapat di dalam hati kita. Setiap ayat yang kita baca, pasti akan mendekatkan lagi diri kita dalam mengingati Allah s.w.t. Ia sentiasa memberikan kesedaran iman yang berterusan kepada seseorang Muslim. Dengan itu, dalam mendirikan solat, ia mengingatkan kita kepada Allah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam firmanNya:
(Thaahaa: 14)
Ertinya: Maka sembahlah Aku (yakni Allah) dan dirikanlah solat untuk mengingatKu.
Di samping menguatkan keimanan kita kepada Allah, solat juga meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepadaNya. Antara sifat utama golongan Muttaqin iaitu orang yang mempunyai sifat taqwa ialah kekal mendirikan solat, sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam Al-Qur'an:
(Al-Baqarah: 2-3)
Ertinya: Kitab (Al-Qur'an ) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Bukan sahaja solat itu dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, malah ia dapat menjadi benteng yang kuat dan kukuh kepada kita. Jika kita menjaga solat kita dengan baik, memahaminya dengan baik dan menghayatinya dengan baik, maka Insya Allah kita akan dapati bahawa solat itu dapat mengawal diri kita. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ankabut ayat 45:
Ertinya: Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Kitab (Al-Qur'an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Solat telah dianggap sebagai tiang agama Islam; tiang yang akan menguatkan dan mengukuhkan agama Islam itu. Bayangkanlah saudara-saudara sekalian, sebuah rumah yang tidak bertiang. Pastilah roboh rumah itu. Begitu juga dengan agama Islam. Jika tidak didasarkan pembinaannya dengan solat, pasti akan robohlah agama itu. Oleh yang demikian, ia merupakan amalan yang mula-mula akan dihisab Allah di Hari Akhirat nanti, sebagaimana yang dinyatakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w di dalam sebuah hadis:
Ertinya: Amalan yang mula-mula dihisab dari seorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Jika ia baik, baiklah seluruh amalannya. Sebaliknya jika ia rosak, maka rosaklah pula semua amalannya.
Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjaga ibadat solat kita agar ibadat kita yang lain, seperti puasa kita, zakat kita, haji kita dan segala ibadah-ibadah kita yang lain tidak menjadi sia-sia belaka. Sementara itu, kita juga digalakkan mengerjakan solat-solat sunat, kerana ia dapat menampal kekurangan yang mungkin terdapat pada solat-solat fardhu. Solat-solat sunat ini ada keistimewaannya yang tersendiri. Umpamanya, solat sunat Fajar. Di dalam sebuah hadis dari Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Ertinya: Kedua rakaat sunat Fajar itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.
Solat itu juga akan menjadi kunci kejayaan kita di akhirat kelak. Ia akan menjadi cahaya dan bukti bagi setiap Muslim yang melakukannya. Pasti solat itu akan membantu kita di Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga kewajipan solat, kelak dia tidak akan memperolehi cahaya dan pertolongan daripada Allah.
Solat juga boleh berfungsi sebagai suatu riadah. Pergerakan-pergerakan yang dilakukan di dalam solat seperti ruku' dan sujud dapat menggerakkan otot-otot dan secara tidak langsung menjadi satu latihan jasmani. Bukan sahaja riadah, malah solat juga dapat mengajar individu mengendalikan masanya. Setiap masuknya waktu solat, seseorang individu itu mestilah tahu membahagi-bahagikan masanya antara kerjanya dan solatnya. Dengan itu, solat dapat melahirkan individu yang cekap dalam pembahagiaan masa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setelah mengetahui hikmah-hikmah dan fadhilat-fadhilat solat, marilah kita sama-sama meningkatkan lagi azam dan semangat kita untuk menjaga dan menyempurnakan solat kita dengan baik. Janganlah kita meninggalkannya walau apa pun yang terjadi, kerana ancaman serta siksa yang amat berat telah dijanjikan Allah kepada orang-orang yang cuai dalam mengerjakan kewajipan solatnya. Sebagaimana firman Allah ....
(Al-Ma'un: 4-5)
Ertinya: Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, yakni orang-orang yang lalai dari melakukan solatnya.
Barakallah...