Peranan Individu dan Keluarga
Saudara-saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Pertama-tama saya mengingatkan saudara-saudara sekekelian dan diri saya sendiri agar kita semua bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Ingatlah bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah swt ialah orang yang paling bertaqwa kepada Allah, ini sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 13 :
Yang ertinya : "Hai manusia ! Kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan. Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan berbagai puak, supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah, ialah yang paling taqwa di antara kamu. Sungguh Allah mengetahui, lagi sebenarnya tahu"
Dari itu kerjakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan-larangan-Nya. Moga-moga kita tegolong dalam golongan orang-orang yang dimuliakan Allah.
Ma'asyiral muslimin rahimakumullah,
Kehidupan kita ini tidak terlepas dari keluarga dan kehidupan berkeluarga. Tidak ada individu yang dapat berdiri dengan sendirinya tanpa ada hubungan dengan orang lain. Individu itu tidak akan ada ertinya tanpa mempunyai ikatan sosial. Begitu juga perkembangan umat hanya akan dapat terlaksana dengan adanya usaha dari individu dan kerjasama diantara mereka . Firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat 71 :
Ertinya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong kepada yang lain ; Mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; Dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Hubungan antara individu dengan masyarakatnya adalah sesuatu yang diakui Islam. Malah dalam ajaran Islam, individu adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dari masyarakat. Rasulullah saw telah menjelaskan hal ini dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:
"Perumpamaan orang yang menjaga dan menerapkan batas peraturan Allah adalah laksana kumpulan penumpang kapal yang mengundi tempat duduk mereka. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas, dan sebahagian lain di bahagian bawah. Penumpang bahagian bawah, jika mereka memerlukan air, maka perlulah berjalan melewati bahagian atas kapal. Maka mereka pun berkata : "Bagaimana jika kami lubangi sahaja bahagian bawah kapal ini (untuk mendapat air) supaya tidak mengganggu orang yang berada di bahagian atas". Jika dibiarkan mereka berbuat mengikut kemahuan mereka itu, maka akan binasalah mereka dan seluruh penumpang kapal itu. Tetapi jika kamu cegah mereka, maka selamatlah mereka dan sekelian penumpang yang lain".
Malah Rasulullah saw juga telah menjelaskan bagaimanakah eratnya perpaduan individu dan masyarakat. Yang diibaratkan laksana satu tubuh, setiap individu tidak boleh dipisahkan dari masyarakatnya. Sabda Baginda yang maksudnya:
"Perumpamaan orang-orang Muslim, bagaimana kasih sayang dan tolong menolong yang terjalin antara mereka, adalah laksana satu tubuh. Jika satu bahagian merintih merasakan sakit, maka seluruh bahagian tubuh akan merasakan kesakitan." (Hadis riwayat Muslim).
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dari individu itu, lahirlah keluarga, iaitu kumpulan orang-orang yang terdekat dengan kita yang ada hubungan pertalian darah atau perkahwinan dengan kita. Daripada unit keluarga inilah, akan terbentuk kehidupan bermasyarakat Sebagaimana pentingnya hubungan individu dengan masyarakat, begitulah juga pentingnya kedudukan keluarga dengan masyarakatnya. Malah , jika unit-unit keluarga dalam sesuatu masyarakat tidak teratur, pincang, sentiasa diselubungi dengan pelbagai masalah, maka masyarakat itu pasti akan menjadi kucar kacir dan mundur.
Jadi untuk mengembangkan keupayaan dan kemakmuran masyarakat, tidak salah jika dikatakan bahawa potensi yang ada pada sesuatu keluarga itu perlu diperkembangkan dan dipertingkatkan. Alhamdulillah, dalam masyarakat kita, usaha-usaha sedemikian telah nampak jelas diperusahakan dengan gigih dan mendapat sambutan dari segenap lapisan masyarakat. Jadi terpulanglah kepada kita untuk memupuk potensi keluarga kita itu dalam setiap bidang yang dianjurkan oleh agama kita, seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi dan lain-lainnya.
Dalam bidang ekonomi misalnya, kita hendaklah memupuk kesedaran dan minat niaga dalam keluarga kita. Semangat kerja keras, dan keberanian membuka dan menerokai lapangan-lapangan baru. Ini selari dengan ajaran Islam yang menekankan semangat kerja dan kerja keras, malahan bekerja itu dikategorikan sebagai amal saleh yang akan mendapat balasan yang berupa kehidupan yang baik. Firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 97 :
Maksudnya : "Barang siapa yang mengerjakan amal saleh, baik lelaki mahupun perempuan, dalam keadaan beriman, maka Kami akan berikan kepadanya suatu kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan".
Dalam bidang pendidikan pula, kita harus berusaha memberikan pendidikan kepada anak-anak kita sama ada lelaki atau perempuan agar mereka mempunyai bekal yang secukupnya dalam menghadapi kehidupan mereka di hari muka nanti. Kehidupan mereka di hari muka nanti, akan jauh berbeza dengan apa yang telah kita lalui dan alami di zaman kita. Tentulah tidak sesuai jika mereka diberikan sesuatu yang sudah ketinggalan zaman. Saidina Ali bin Abi Talib ada berkata :
Ertinya : "Didiklah anak-anakmu, sesungguhnya mereka dijadikan untuk satu zaman yang berbeza dengan zamanmu".
Kita harus berusaha agar keluarga kita terutamanya anak-anak kita dapat mengikuti pendidikan setinggi mungkin. Disamping itu, kita juga harus meningkatkan pengetahuan kita, isteri kita dan lain-lain anggota keluarga kita. Hayatilah ajaran agama kita bahawa menuntut ilmu itu dari semenjak buaian hingga liang lahad.
Mudah-mudahan dengan perhatian dan keikhlasan kita, Allah akan memberkati usaha-usaha kita dalam mengembangkan daya upaya yang ada pada diri kita, keluarga kita bagi membangun masyarakat kita.
Barakallah........