6 August 99

 



Tajuk:"Islam Ugama Yang Mendokong Pembangunan"


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pertama-tama, saya menyeru kepada para jemaah sekalian dan juga pada diri saya, agar kita sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t, berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Hanya dengan cara ini, kita akan berjaya menjadi umat yang mulia di dalam kehidupan bermasyarakat dan dapat bergaul secara berkesan sesama manusia dan di redhai pula oleh Allah s.w.t.

Para jemaah yang dimuliakan,

Allah telah menjadikan manusia sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat. Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat, ayat 13:

Yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah amat Mengetahui, lagi amat Mendalam pengetahuannya (akan keaadaan dan amalan kamu)".

Kehidupan bermasyarakat ini sebenarnya tidaklah semudah seperti yang kita idamkan. Kita membaca dan mendengar laporan-laporan dimana masyrakat menjadi kacau-bilau apabila keharmonian dan ketenteraman di angkat oleh Allah walaupun masyarakat tersebut dari satu rumpun, bahasa dan agama. Mengapakah demikian? Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anfal, ayat 73:

Maksudnya: Dan jika kamu (wahai orang-orang Islam) tidak melakukan (sepertimana yang telah Allah perintahkan kepada kamu) nescaya akan terjadi kekacauan di bumi dan kerosakan yang besar.

Allah memerintahkan kita agar mengerjakan amar ma'ruf nahi munkar. Allah memerintahkan kita agar berbuat baik sesama manusia. Allah juga memerintahkan kita agar memakmurkan bumi ini, dan bukan merosakkannya. Maka adalah kewajipan bagi kita menyokong usaha-usaha untuk memakmurkan bumi Allah ini mengikut lunas-lunas yang telah Allah tetapkan. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kehidupan yang tenteram dan harmoni tidak dapat dikecapi tnapa usaha yang gigih dan bersepadu. Apatah lagi kehidupan di negara berbilang bangsa dan ugama, yang penuh dengan cabaran dan perlumbaan untuk terus berjaya. Maka tuntutan peningkatan terhadap ilmu dan kerjaya begitu amat ketara sekali.

Sebagai individu yang bertanggung-jawab, adalah penting untuk kita memupuk rasa kecintaan terhadap negara dan bangsa dengan memberikan sumbangan dalam usaha-usaha ke arah pembangunan negara.

Masyarakat merupakan tunggak berdirinya sesebuah negara. Masyarakat cemerlang bererti akan lebih kukuh kedudukan negara itu. Begitu juga sebaliknya, jika masyarakat menjadi lemah, akan lebih buruk lagi kedudukan negara tersebut. Segala kegiatan kehidupan, menjadi lemah, goyah dan terancam.

Saya ingin mengajak para jemaah sekalian, merenung dan bermuhasabah terhadap diri kita sebagai individu dan anggota masyarakat. Apakah peranan dan sumbangan yang dapat kita lakukan, demi meningkatkan keutuhan bangsa dan negara kita. Renungkanlah, apa yang telah kita sumbangkan selama ini, apa yang sedang kita kerjakan waktu ini dan apakah pula peranan yang akan kita mainkan di hari muka.

Islam menggalakkan bermuhasabah untuk memastikan apa yang kita lakukan hari ini lebih baik daripada hari sebelumnya, dan apa yang akan kita lakukan hari esok, hendaklah akan lebih baik daripada hari ini. Ini adalah sesuai dengan firman Allah di dalam surah AL-Hasyr ayat 18:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Hadirin yang dimuliakan Allah,

Keperibadian Rasulullah dalam memupuk keutuhan perpaduan umat dan memberi contoh kehidupan yang terbaik, telah terbukti apabila syiar Islam dapat diterima oleh penduduk serata dunia, termasuklah benua Eropah, Afrika, Asia dan sebagainya. Kita boleh mengambil iktibar daripada pengajaran itu, sebagai umat Islam di negara yang berbilang bangsa ini.

Antara ajarannya ialah Baginda sering berpesan dan memastikan umat Islam hidup saling hormat menghormati, dengan jiran mereka yang Islam dan bukan Islam, tidak mengamalkan penganiyaan dan sentiasa mengutamakan keamanan dan keselamatan mereka.

Betapa kita harus bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana telah memberikan kita suatu kehidupan di negara yang aman, sejahtera dan berkecukupan dalam segala hal. Banyak kemudahan yang kita kecapi hasil daripada keupayaan kita untuk bersikap toleransi, sanggup berusaha keras untuk seganding dengan bangsa lain, di samping kekuatan kita memelihara kesucian agama dan budaya kita. Kejayaan yang kita kecapi ini tanpa sedikitpun mengorbankan jatidiri, kebudayaan dan keimanan kita terhadap Allah dan RasulNya.

Malah, dalam beberapa perkara menentukan dasar-dasar perundangan, pendapat kita sering diminta dan dimasuk hitung. Ini melambangkan ikatan kenegaraan yang kukuh, jalinan kemasyarakatan yang saling menghargai kepercayaan serta budaya masing-masing bangsa.

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Sempena Hari Kebangsaan ini, marilah kita memperkukuhkan jatidiri, bersesuaian dengan matlamat untuk hidup aman damai sesama bangsa dan warganegara. Keselamatan dan kedaulatan negara yang melindungi keharmonian hidup kita hendaklah diutamakan.

Semoga kita dapat memupuk jatidiri yang lebih baik untuk kemakmuran di dunia dan kesempurnaan di akhirat.

Barakallah...