Waqaf Institusi Penting Dalam Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Salah satu amalan untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah ialah dengan mewaqafkan harta kita ke jalan Allah.
Kerana waqaf itu suatu keistimewaan yang diberikan kepada kita, umat Islam dan tidak diberi kepada umat-umat sebelumnya.
Ugama Islam menggalakkan penganut-penganutnya membelanjakan harta ke jalan kebaikan dan kebajikan.
Firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 92:
Ertinya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian
dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
Waqaf pula adalah suatu usaha membelanjakan harta benda untuk jalan kebajikan. Malahan berwaqaf bukan hanya seperti bersedekah atau berderma biasa
tetapi lebih besar lagi pahala dan kemanfaatannya kepada diri yang mewaqafkan itu sendiri dan juga kepada masyarakat.
Kerana waqaf itu ialah menahan harta benda yang kekal zatnya untuk diambil manfaatnya untuk diberikan di jalan kebaikan.
Justeru itu, pahalanya berterusan selagi barang waqaf itu masih berguna.
Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (seperti waqaf), ]
ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh mendoakan untuknya.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Oleh kerana ganjaran pahala berwaqaf itu istimewa dan berterusan, maka syariat meletakkan beberapa syarat bagi harta yang diwaqafkan, iaitu:
Pertama: Harta itu mestilah benda yang dapat diambil manfaatnya.
Kedua: Harta itu mestilah yang memberi faedah yang berpanjangan dan ia diwaqafkan kepada penerima yang ada pada ketika itu.
Ketiga: Diwaqafkan untuk tujuan yang tertentu sahaja.
Keempat: Untuk tujuan yang baik sahaja.
Kelima: Milik sempurna orang yang memberi waqaf.
Alhamdulillah, di zaman mutakhir ini, kesedaran ulama dan cendekiawan tentang isu harta waqaf yang dinilai sebagai satu sumber yang berpotensi untuk penbangunan umat.
Justeru itu, mereka berpendapat harta-harta waqaf seharusnya disumbangkan untuk pembangunan umat Islam selari dengan tuntutan syariat.
Dalam menangani harta waqaf, ulama berserta pakar ekonomi berusaha membangunkannya demi kesempurnaan agama dan umatnya seperti golongan fakir dan miskin.
Dengan itu juga, sekaligus usaha pembangunan harta waqaf dapat menolak sikap jumud sesetengah ulama yang mengatakan harta waqaf sebagai harta beku yang tidak boleh
diubah daripada maksud dan tujuan asal diwaqafkan.
Para ulama mutakhir menangani isu pembangunan harta waqaf berasaskan konsep tertentu, antaranya adalah untuk menyelesaikan dan mengurangkan masalah sosio ekonomi umat
Islam dan untuk membantu golongan fakir dan miskin.
Sidang Jumaat yang berbahgia,
Berasaskan konsep tersebutlah, pengurusan dan pembangunan harta-harta waqaf dikembangkan. Iaitu melalui usaha membina bangunan untuk disewakan serta juga untuk perdagangan ,
asalkan matlamatnya selari dengan kehendak Islam. ]
Selain itu, harta waqaf juga dibangunkan untuk menjaga dan memberi kebajikan golongan fakir, miskin dan anak yatim.
Peranan ulama dan cendekiawan Islam dalam menangani isu penguasaan dan harta waqaf juga adalah untuk membendong dan membetulkan penguasaan harta waqaf yang tidak digunakan
dan diusahakan oleh orang bukan Islam, sama ada untuk perniagaan atau perdagangan.
Untuk menangani masalah dan isu tersebut, ulama harus membuat penilaian semula terhadap pembangunan harta waqaf tersebut, iaitu dengan menjaga dan memberi keutamaan kepada
golongan miskin, anak yatim dan umat Islam.
Semoga dengan kesedaran dan kerjasama semua pihak, fungsi harta waqaf dapat dibangunkan dan dikembangkan sebagaimana yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah s.a.w dan Khulafa-Arrasyidin.
Kejayaan pembangunan harta waqaf bergantung kepada kefahaman umat Islam yang jelas tentang konsep, peranan dan matlamat waqaf itu. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua, umat Islam, untuk
sama-sama mengembalikan harta waqaf ke taraf sebelumnya supaya menjadi institusi yang dapat membangunkan masyarakat Islam dan membawa ke arah kemajuan.
Ma'asyiral muslimin rahimakumullah,
Dalam masyarakat Islam kita di zaman mutakhir ini, didapati orang yang sanggup berwaqaf amat kurang bilangannya.
Pada zaman silam, orang-orang Islam berlumba-lumba mencari dan mengumpulkan harta dan apa yang lebih dari keperluan, mereka gunakan untuk berbuat kebajikan dengan mewaqafkannya.
Contohnya, seperti Waqaf Kassim yang telah dibangunkan semula oleh Majlis Ugama Islam Singapura, yang telah memberi kemanfaatan kepada masyarakat Islam kita di Singapura.
Tetapi, pada masa kini, nampaknya berbeza keadaannya. Ramai yang kelihatan berlumba-lumba mencari dan mengumpulkan harta tetapi untuk kemewahan diri mereka sendiri semata-mata.
Demi kebajikan umat, kita bukan sahaja dikehendaki bersedekah tetapi juga berwaqaf.
Saiyidina Othman bin affan r.a. mewaqafkan telaganya dan ramai lagi tokoh-tokoh kenamaan yang telah mewaqafkan harta benda mereka yang boleh kita jadikan contoh.
Baarakallah.......