"KEPENTINGAN ZAKAT DALAM ISLAM"
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Zakat mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam Islam. Pengamalan zakat adalah merupakan persoalan pokok dalam Islam. Hakikat ini dapat dilihat melalui kedudukan sebagai salah satu daripada rukun-rukun Islam sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud:-
"Islam dibina atas lima perkara: kesaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan salat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, berpuasa Ramadan"
Dan jika dilihat kepada firman Allah pula, kita akan dapati bahawa perintah melaksanakan salat seolah-olah sesuatu yang berkembar. Di antaranya adalah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud:-
"Dan dirikanlah salat, dan tunaikan zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku' "
Persoalannya sekarang ini ialah, adakah kita juga telah melaksanakan ibadat zakat kita sebagaimana kita telah melaksanakan ibadat salat? Adakah kita tergolong dalam orang-orang yang bersalat tetapi mengabaikan zakat walaupun kita telah memenuhi syarat-syarat wajib zakat? Kedudukan zakat sebagai salah satu ibadat penting dalam Islam telah ditunjukkan contohnya oleh Sayyidina Abu Bakar r.a. beliau telah memerintahkan agar golongan yang ingkar mengeluarkan zakat setelah wafatnya Rasul diperangi, walaupun golongan ini tetap mengucapkan dua kalimah syahadah dan melaksanakan ibadah yang lain.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Kita telah sama-sama maklum bahawa kegawatan ekonomi sedang melanda negara kita. Akibatnya, ramai di kalangan saudara-saudara Islam kita telah ditimpa kesusahan kerana kehilangan pekerjaan mereka. Sebagai seorang muslim, kita bertanggungjawab untuk menolong mereka menangani kesusahan yang mereka alami sebagaimana hadis Rasul s.a.w yang bermaksud:-
"Tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (yang menerima)" (bukhari & Muslim)
Institusi zakat sebenarnya adalah salah satu sumber ekonomi masyarakat Islam yang boleh disalurkan kepada usaha tersebut. Seperti yang telah dilakukan oleh Majlis Ugama Islam Singapura baru-baru ini bersama AMP dan Mendaki melalui projek cerah sejumlah 1.2 juta dari hasi pungutan zakat pada tahun lepas telah diperuntukkan bagi membantu para pekerja tersebut mengharungi kegelapan ekonomi keluarga mereka. Zakat telah dapat sedikit sebanyak memberikan cahaya disebalik kegawatan ekonomi yang melanda.
Pada tahun 1418H, Majlis Ugam Islam Singapura telah mengagihkan hampir 1 juta dolar hasil dari pungutan zakat kepada 30 badan badan islam dan masjid-masjid setempat bagi kategori fi Sabilillah. Natijahnya jelas. Antaranya kegiatan-kegiatan dakwah semakin giat dijalankan, masalah sosial dapat ditangani dengan lebih berkesan dan aktiviti2 belia semakin mendapat perhatian. Ini semua melahirkan kesan yang positif kepada masyarakat dan membantu kita mencapai matlamat Khairu Ummah (sebaik-baik ummah) sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud:-
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka: di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik"
Sidang Jumaat sekelian,
Tanpa zakat, mungkin usaha-usaha tersebut akan terbatas kerana hambatan kewangan. Sudah jelas bahawa zakat memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ummah, yang kemudian akan dapat melahirkan masyarakat Islam contoh.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tinjauan Majlis Ugama Islam Singapura terkini mendedahkan bahawa hanya sekitar 1,000 orang Islam sahaja di Singapura yang mengeluarkan zakat setiap tahun. Jumlah ini hanyalah kira-kira 9 peratus dari jumlah pekerja Islam di Singapura iaitu seramai kira-kira 130,000 orang. Sedangkan pada hakikatnya lebih ramai lagi yang layak mengeluarkan zakat terutama golongan peniaga. Apakah yang mungkin menyebabkan keadaan sedemikian? Jika kita tinjau sikap masyarakat Islam, kita akan dapati ada segolongan masyakat kita tidak mengambil berat terhadap ibadat zakat yang penting ini. Rata-rata, kefahaman masyarakat Islam mengenai zakat masih rendah jika dibandingkan dengan kewajipan rukun Islam yang lain. Sering kali, kita lihat ada di kalangan masyarakat Islam yang menganggap bahawa zakat yang wajib adalah zakat fitrah sahaja, maka setiap tahun apabila ia mengeluarkan zakat fitrah dalam bulan Ramadan, ia merasakan bahawa ia telah menunaikan zakat walaupun hartanya banyak dan telah melebihi kadar nisab zakat.
Sidang Jumaat sekelian,
Pengetahuan mengenai hukum-hukum zakat masih berada ditahap yang rendah. Ramai di kalangan ahli masyarakat yang tidak mengetahui harta-harta yang diwajibkan zakat, pengertian nisab dan haul, kaedah mengira wang yang wajib dikeluarkan zakat dan lain-lain, sedangkan pengetahuan ini adalah persoalan asas. Ada pula yang mengganggap apabila mereka telah memberikan sedekah kepada individu-individu atau badan-badan tertentu, maka kewajipan mereka terhadap Zakat telah selesai. Mereka mungkin keliru dan menyangka bahawa sedekah sama dengan rukun zakat walaupun pada hakikatnya kedua-duanya adalah berlainan. Menunaikan zakat lebih utama dari memberi sedekah kerana zakat ialah suatu ibadat yang wajib menakala sedekah hanyalah ibadat yang sunnah.
Sidang Jumaat sekelian,
Hari ini, kita melihat sekelompok masyarakat Islam yang begitu mengambil berat ibadat salat, puasa dan haji, tetapi penghayatan mereka terhadap zakat tidak sama dan tidak sehebat penghayatan terhadap ibadat-ibadat tadi. Ada juga mungkin mereka yang pergi umrah setiap tahun tetapi tidak pernah menunaikan zakat harta seumur hidup. Di dapati di kalangan masyarakat Islam, ada golongan yang begitu bersungguh-sungguh mengumpulkan wang agar dapat menunaikan haji tetapi tidak begitu ramai di kalangan amereka yang sungguh-sungguh mengumpulkan wang agar mereka dapat menjadi orang yang layak menunaikan kewajipan zakat harta setiap tahun. Sedangkan haji dan zakat kedua-duanya adalah rukun Islam dan kedua-duanya adalah wajib. Bahkan jika kita lihat nas-nas hadis dan Al-Quran, kita akan dapati bahawa zakat sentiasa disebut dahulu dari haji. Semua yang dinyatakan di atas merupakan sebahagian dari masalah-masalah yang berkaitan dengan pengamalan zakat di kalangan masyarakat Islam Singapura yang menimbulkan pelbagai kesan sampingan yang negatif. Pengabaian yang sengaja oleh sebahagian ahli masyarakat Islam terhadap kewajipan zakat akan menyebabkan kecelakaan di akhirat kelak dan kemurkaan Allah taala di dunia ini . Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan Rahib-rahib Nasrani benar-benarmemakan harta orang dengan yang batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafaqahkan pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih" Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neaka jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: "inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu"
Maka bagi mereka yang memahami isi firman Allah taala ini, ia seharusnya merasa insaf terhadap bahaya yang akan menimpa jika mengabaikan perintah Allah. Allah akan murka dengan menurunkan azabnya. Sudah sewajarlah sebagai orang-orang yang beriman, kita mendalami ibadah zakat ini dan mengambil sikap yang lebih perihatin terhadapnya.
Wassalam.
Barakallah.......