Menghargai pengorbanan ibu bapa
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita gunakan kesempatan pada hari ini untuk mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Antara perintah Allah s.w.t adalah untuk mentaati kedua ibu bapa kita dan berlaku baik kepada mereka. Ini jelas dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra', ayat 23:
Ertinya: Dan Tuhanmu telah menentukan agar kamu tidak menyembah selain dari Dia dan hendaklah kamu berlaku baik kepada kedua ibu bapa kamu. Jika salah seorang dari mereka, atau kedua-dua mereka, telah sampai kepada hari tua, maka janganlah kamu mengherdik mereka atau berkata kasar kepada mereka. Hendaklah kamu berkata kepada kedua mereka dengan perkataan yang mulia.
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa adalah satu daripada perintah Islam kepada setiap muslimin dan muslimah. Sebagai anak kita diperintahkan agar melakukan kebaikan kepada mereka, bersikap lembut, tidak kasar dan menghargai jasa dan budi mereka yang telah ditaburkan selama ini kepada kita. Ibu bapa yang telah bersusah payah memelihara anak-anak mereka siang dan malam, dengan tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberi yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t telah menjelaskan dengan tegas peranan anak dalam melayan orang tuan. Allah menyuruh anak-anak agar mentaati orang tua mereka, berbuat baik, berkata lembut dan mengenang segala jasa-baik mereka. Atas sebab inilah kita lihat bahawa berlaku baik kepada orang tua amat besar tuntutannya sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah. Firman Allah dalam surah An-Nisaa' ayat 36:
Yang bermaksud: "Dan sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukannya dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa."
Kita juga dituntut agar menunjukkan rasa syukur dan terimakasih kita kepada kedua ibu bapa kita yang telah banyak berkorban untuk kita. Allah s.w.t menggandingkan perintah mensyukuri kepadaNya dengan perintah mensyukuri kepada kedua ibu bapa. Firman Allah s.w.t dalam surah Luqman ayat 14:
Ertinya: Dan Kami (Allah) mewasiatkan kepada manusia (agar berlaku baik kepada) kedua orang tuanya. Ibunya mengandungkannya dengan penuh kesusahan dan kepayahan, dan menyusukannya sehingga 2 tahun. Hendaklah engkau mensyukuri Aku (Allah) dan kedua ibu bapa engkau. Kepada Aku sahaja kamu semua akan kembali.
Begitu besar pengorbanan ibu sehingga Allah mengangkat darjat mereka lebih dari bapa. Allah memerintahkan kita agar memuliakan ibu lebih dari bapa. Dalam sebuah riwayat seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan bertanya, "Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?" Jawab baginda, "Ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya"
Berdasarkan hadith ini baginda saw telah mengariskan satu dasar bahawa Islam mengutamakan ibu sebagai orang yang paling layak menerima segala layanan yang terbaik dari anak-anak, ini kerana pengorbanan, kesakitan dan jerih-payah yang ibu alami ketika tempoh kehamilan, diikuti proses melahirkan dan kemudian memelihara adalah satu tempoh yang sukar yang berjaya di atasi dengan rasa kasih sayang yang kental dalam diri si ibu.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Dalam menghargai jasa-jasa ibu, sebahagian manusia mengenalkan apa yang dipanggil sebagai hari ibu. Ia mula diikuti oleh masyarakat kita. Kita dapat melihat bagaimana anak-anak merayakan hari tersebut bersama ibu mereka dengan mengadakan jamuan, bercuti ke tempat-tempat peranginan, memberi hadiah dan cenderahati kepada ibu mereka. Usaha ini semua dilakukan sebagai menunjukkan rasa penghargaan dan kasih sayang mereka kepada ibu masing-masing.
Walaupun secara dasar Islam tidak melarang sambutan seperti ini jika ia tidak melibatkan aqidah dan unsur keugamaan, namun dari satu sudut perlu difahami bahawa Islam telah meletakkan kedudukan ibu pada satu tempat yang amat tinggi lagi mulia untuk diberi penghargaan, bukan setakat dalam tempoh hanya satu hari sahaja. Dalam Islam, hari ibu adalah pada setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun. Anak-anak perlu mengetahui apakah hak-hak yang perlu mereka laksanakan terhadap ibu bapa mereka.
Kita seharusnya sentiasa mendoakan kesejahteraan bagi kedua ibu bapa kita. Allah telah mendidik kita dengan sabaik-baik didikan dalam firmannya, di surah Al-Ahqaf, ayat 15:
Ertinya: Dan Kami telah mewasiatkan kepada manusia agar berlaku baik kepada kedua ibu bapa mereka. Ibunya telah mengandungkannya dengan penuh kesakitan dan melahirkannya dengan penuh kesakitan juga. Dan tempoh kehamilan dan penyusuannya adalah selama tiga puluh bulan. Sehingga apabila ia sudah menjadi kuat dan sudah sampai ke umur 40 tahun, ia berdoa "Wahai TuhanKu! Tunjukilah aku untuk bersyukur atas nikmatMu yang telah Engkau berikan kepada aku dan kedua ibu bapaku, dan agar aku membuat amal soleh yang Engkau redhai, dan berikanlah kebaikan kepada aku melalui keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam.
Dan jika ibu bapa kita sudah meninggal dunia, tidak semestinya kita sudah tidak payah berlaku baik kepada mereka. Bahkan kita dituntut agar terus berlaku baik kepada mereka dengan mendoakan mereka.
Sebagai penutup khutbah ini, marilah kita berdoa:
Baarakallah.....