Tajuk: Peranan ibu-bapa dalam mendidik anak-anak
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan mengerjakan segala perintah nya dan menjauhi segala larangannya. Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dalam menjalankan tugas kita sebagai ibu-bapa, sebagai orang yang memikul amanah dalam membimbing anak-anak kita.
Sekarang ini, sudah tiba musim peperiksaan bagi anak-anak kita yang masih bersekolah. Ada yang sedang menduduki peperiksaan akhir tahun. Ada yang akan menduduki peperiksaan GCE 'O' atau 'A'. Ada yang juga sedang menduduki peperiksaan Thanawi 4, Pra - U, dan seterusnya.
Mereka sedang menghadapi tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan mereka. Mereka sedang bertungkus-lumus untuk menghadapi peperiksaan di sekolah.
Mungkin sebahagian dari kita menganggap tekanan peperiksaan yang dihadapi oleh anak-anak kita ini sesuatu yang remeh dan tidak penting berbanding dengan masalah yang kita hadapi di tempat kerja. Lantaran itu tugas atau tanggungjawab untuk memerhatikan pembelajaran anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada isteri, guru, abang atau kakak mereka. Ini kerana kita merasakan bahawa kita mempunyai tugas yang lebih penting lagi untuk dilaksanakan. Ketahuilah bahawa kedua ibu-bapa telah bertanggungjawab memastikan agar amanah memimpin keluarga dalam semua aspek dilaksanakan dengan sempurna. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:
Bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.
Dalam sebuah riwayat yang dikeluarkan oleh Abd Razzak dan Said bin Mansur daripada Ali r.a berkata: "Didiklah anak-anak dan keluarga mu dengan baik serta hiasilah mereka dengan akhlak yang baik"
Saudara-saudara sekelian,
Sebagai ketua dalam keluarga adalah penting kita turut memainkan peranan dalam membantu anak-anak kita untuk mengharungi tekanan hidup di Singapura ini, peperiksaan adalah satu tekanan tersebut. Ia merupakan faktor penting dalam menentukan masa depan anak-anak kita dalam pelajaran. Terutama dalam peperiksaan yang penting seperti peperiksaan darjah 4, PSLE (darjah 6), GCE "O" dan "A". Peperiksaan thanawi empat dan atau thanawi 'ali bagi ibu bapa yang mempunyai anak di madrasah sepenuh masa.
Sejauhmana anak-anak kita dapat mencapai yang terbaik dalam peperiksaan ini akan menjadi kayu ukur bagi masa depan mereka serta peluang mereka dalam bidang pekerjaan. Peperiksaan yang dihadapi oleh anak-anak kita merupakan satu penilaian bagi mengetahui sejauhmana pengetahuan dan kemahiran yang dapat mereka kuasai di sekolah. Jika mereka dapat meletakkan usaha yang konsisten,sepanjang tahun, mereka akan dapat menunjukkan kelakonan yang cemerlang dalam peperiksaan. Kita boleh menggalakkan anak-anak kita untuk konsisten (istiqamah) terhadap pelajaran mereka dengan cara mengambil berat pembelajaran mereka sepanjang tahun agar kita dapat mengenali masalah dan kepayahan yang mereka hadapi.
Istiqamah dan ketekunan belajar merupakan anak kunci kejayaan dalam peperiksaan. Sesungguhnya Allah cinta kepada orang-orang yang bersungguh-sungguh dan sabar. Selepas kita menerapkan sifat Istiqamah kepada anak-anak, janganlah pula kita lupa untuk menerapkan sifat tawakkal dan berserah kepada Allah dalam segala urusan termasuk juga peperiksaan. Sudah tentulah kita hanya mengajar mereka berserah kepada Allah selepas mereka melakukan usaha. Usaha yang berterusan memerlukan disiplin. Disiplin dalam diri anak-anak boleh dicapai menerusi latihan, sebagaimana pepatah Melayu mengatakan "melentur buluh biarlah dari rebungnya".
Masa yang terbaik untuk membiasakan anak-anak dengan disiplin ialah ketika mereka masih kecil lagi. Menanamkan sikap disiplin pada anak-anak boleh dilakukan dengan mengatur jadual seharian mereka di rumah seperti waktu untuk belajar, sembahyang, bermain, berihat dan berinteraksi dengan ahli keluarga. Untuk menggalakkan mereka agar dapat terus mematuhi jadual tersebut, berikan mereka ganjaran atau hadiah atas usaha mereka itu. Pemberian ini sebagai satu galakkan untuk mereka.
Jika sekiranya kita mempunyai masa dan berkebolehan untuk mengajar sendiri anak-anak kita, ini adalah lebih baik. Jika sekiranya kita tidak dapat meluangkan masa untuk mengajar anak-anak kita, sediakanlah pilihan lain buat mereka seperti menghantar mereka ke kelas tambahan atau mendapatkan khidmat guru pembimbing. Akan tetapi kita perlu ingat, walau pun tanggungjawab membantu anak-anak dalam pelajaran diserahkan kepada orang lain, sebagai ibu bapa kita masih bertanggungjawab mengawasi secara kerap kemajuan mereka dalam pelajaran.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Tekanan dan kekhuatiran merupakan masalah yang dihadapi semasa peperiksaan. Perasaan ini boleh menimbulkan keraguan pada jiwa anak-anak tentang keupayaan mereka. Kita boleh membantu mereka dengan menanamkan keyakinan tentang kekuatan dan kelebihan yang ada apada mereka.
Berikanlah pujian dan ganjaran bagi usaha gigih yang telah mereka tunjukkan, bukan hanya semata-mata terhadap kejayaan yang mereka capai. Di dalam kesungguhan ibu bapa untuk membantu anak-anak mereka menghadapi peperiksaan, tanpa disedari para ibu bapa terkadang memberikan satu tekanan dan menetapkan matlamat yang lebih kepada anak-anak, hal ini membuatkan anak-anak menjadi takut jika mereka tidak dapat memenuhi harapan atau matlamat yang diinginkan oleh para ibu bapa.
Kita perlu ingat tekanan yang dihadapi anak-anak akan mempengaruhi kelakonan mereka semasa peperiksaan. Untuk mengatasi masalah ini, kanak-kanak tersebut perlu berfikiran tenang dan memiliki jiwa yang damai. Al-Quran mengajar kita jalan yang terbaik untuk mencapai ketenanangan fikiran melalui solat dan zikir. Allah s.w.t berfirman:
"Ia itu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram"
Ajarilah anak-anak kita berdoa supaya tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat pertolongan dari Allah dalam menghadapi peperiksaan. Apabila kejayaan telah mereka perolehi, ingatkanlah mereka agar bersyukur kerana segala usaha yang telah dilakukan tidak akan menghasilkan apa-apa tanpa rahmat dari Allah s.w.t sebagaimana bermaksud:
"Di sana pertolongan itu hanya dari Allah yang hak. Dia adalah sebaik-baik pemberi pahala dan sebaik-baik pemberi balasan"
Barakallah....