Kemenangan Umat Islam Dalam Bulan Ramadhan
Sidang jumaat yang dirahmati Allah
Marilah kita mempertingkatkan rasa taqwa kita kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala
laranganNya.
Hadirin sidang jumaat yang dimuliakan,
Sekarang ini kita sedang berada di dalam minggu kedua, bulan Ramadan, bulan yang sangat mulia di sisi Allah, bulan yang
di galakkan kita di dalamnya membuat ibadah sebanyak mungkin. Di mana pada bulan ini juga, ibadah yang kita buat akan di
gandakan oleh Allah s.w.t.
Bulan Ramadan juga adalah bulan yang penuh berkat kerana pada bulan ini jugalah diturunkan kitab suci Al Quran kepada
manusia. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 :
Ertinya : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan
penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).
Walaupun pada bulan ini, kita di wajibkan berpuasa selama sebulan, tetapi janganlah kita mengganggap ianya sebagai bulan
kelemahan bagi diri kita dan juga umat Islam seluruhnya atas alasan berpuasa.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian,
Ketahuilah, para salafussoleh sedikit pun tidak mengganggap bulan ini sebagai satu bulan kelemahan kepada diri mereka,
bahkan ia dianggap sebagai satu bulan kemenangan . Ini di buktikan di mana kemenangan yang pertama di raih oleh umat Islam
pada zaman Rasulullah s.a.w ialah dalam bulan Ramadan, iaitu ketika dalam peperangan Badar Kubra. Di mana jika diimbas
kembali kisah peperangan tersebut, kita akan dapati bahawa tentera Islam pada masa itu hanya seramai 313 orang sahaja
berbanding dengan tentera musyrikin Quraish sebanyak 1,000 orang tentera. Walaupun bilangan tentera Islam teramat kecil
berbanding dengan tentera musyrikin, tetapi mereka tetap mampu mencapai kemenangan walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Tidakkah kita terfikir apakah rahsia di sebalik kemenangan mereka yang begitu menakjubkan itu? Apakah sumber dorongan dan
juga motivasi yang membuatkan mereka begitu ghairah untuk berjuang semata-mata kerana Allah?
Tidak lain dan tidak bukan, jika kita benar-benar amati, kita akan dapati bahawa rahsia di sebalik kemenangan mereka ini
ialah kerana ketaqwaan mereka yang tinggi di samping keinginan yang kuat bagi mendapat pahala syahid di dalam peperangan.
Ketahuilah, sidang Jumaat sekelian, balasan bagi mereka ini tidak lain hanyalah syurga yang penuh dengan nikmat,
sebagaimana firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 111 :
Ertinya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang - orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk
mereka. Mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh.
Sidang Jumaat yang di rahmati Alah sekelian,
Oleh itu janganlah kita mengganggap bahawa bulan Ramadan ini adalah bulan kelemahan kepada diri kita, bahkan hendaklah
kita menanamkan dalam diri kita dan juga minda kita bahawa bulan Ramadan adalah bulan kemenangan bagi umat Islam, di mana
di dalamnya kita digesa untuk meningkatkan amal ibadah kita dalam usaha mencapai kemenangan dalam bulan ini.
Ketahuilah, bagi menjana kemenangan dalam bulan ini, hendaklah kita semaikan dalam jiwa kita beberapa perkara :
Pertama : Sifat taqwa.
Iaitu dengan menanamkan dalam diri kita rasa takut yang sebenar-benarnya kepada Allah dengan membuat segala apa yang di
perintahkannya dan meninggalkan segala apa yang di larangnya, inilah yang di katakan Taqwa.
Sifat ini merupakan salah satu faktor yang membawa kemenangan kepada umat Islam pada zaman dahulu, di mana mereka tidak
takut dan gentar dengan sesiapa sahaja walaupun dengan tentera musuh yang ramai bilangannya, kerana sifat taqwa yang
tersemat rapi di dalam diri mereka kepada Allah s.w.t.
Di dalam Al-Quran, kita dapati banyak sekali suruhan kepada umat Islam supaya mereka itu bertaqwa kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 102 :
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati
kecuali kamu dalam keadaan Islam.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian,
Antara cara yang boleh kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah ialah dengan cara kita meningkatkan ibadah kita
kepadaNya. Ketahuilah, pada bulan ini setiap amalan yang kita buat akan di gandakan, setiap amalan yang sunat, pahalanya
seperti pahala amalan yang wajib, dan pahala amalan wajib pula di lipat gandakan pahalanya ke atas fardhu-fardhu yang
biasa di tunaikan pada selain bulan Ramadan sampai tujuh puluh kali ganda.
Sebagaiman sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya :
"Siapa yang mendekatkan diri kepada Allah taala dengan suatu sembahyang fardhu dalam bulan Ramadan, sama diimbangi dengan
tujuh puluh sembahyang pada lain-lain bulan, siapa yang mendekatkan diri dengan suatu sunat, sama diimbangi suatu
sembahyang fardhu yang lainnya."
Kedua : Sifat Sabar
Bagi mencapai kemenangan dalam bulan ini juga, kita perlu mempertingkatkan kesabaran kita berbanding dengan bulan-bulan
lain.
Di mana kita di ajar oleh Rasulullah supaya bersabar lebih-lebih lagi ketika kita sedang berpuasa sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w.
Ertinya : Puasa itu adalah pendinding, maka apabila seseorang kamu itu menempuh hari puasanya, hendaklah ia tidak bercakap
kotor, tiada berlaku jahat, dan tiada menjahili sesuatu hukum, dan jika orang mencercanya, atau mengajak ia berkelahi,
hendaklah ia mengatakan : Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa. (Riwayat Abu Daud )
Sifat sabar ini juga berkait rapat dengan sifat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t . Sebagaimana firman Allah
dalam surah Ali Imran ayat 200 :
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara
yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah
(dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya
(mencapai kemenangan).
Ketiga : Memelihara anggota tubuhnya dari segala kemungkaran.
Iaitu setiap orang muslim harus memelihara semua anggotanya dari membuat dosa dengan itu barulah sempurna dan bersih
puasanya, iaitu dengan memelihara lidah kita supaya tidak berdusta, mencaci orang, menjaga mata kita dari melihat perkara
yang haram kita melihatnya. Seterusnya hendaklah ia menahan perutnya dari menelan makanan yang haram atau yang syubhat
terutama sekali ketika berbuka puasa. Ini ialah kerana berapa ramai di antara kita yang berpuasa, berpenat lelah, menahan
diri dari lapar dan dahaga, tetapi di samping itu, ia membiarkan anggotanya terjerumus ke dalam perkara maksiat, dengan
sebab ini maka rosak dan sia-sialah puasanya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
Ertinya : Berapa banyak orang yang berpuasa, tiada mendapat sesuatu dari puasanya selain dari lapar dan dahaga.
Ketahuilah, sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekelian, bahawa tidak ada kejayaan dan kemenangan melainkan dengan
datangnya taufik dari Allah s.w.t. Dia tidak meminta dari kita selain dari menghambakan diri kita kepadaNya dan
mendekatkan diri yakni (taqarrub ) kepada Allah dengan cara bersungguh-sungguh dan benar-benar ikhlas. Mudah-mudahan kita
semua tergolong daripada umat yang mencapai kemenangan di dunia dan juga di akhirat. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Baarakallah....