09 March
2001


Meningkatkan Ketaqwaan

Saudara-saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Terlebih dahulu saya mengingatkan diri saya dan saudara-saudara sekelian agar bertaqwa kepada Allah, taqwa yang membawa kita patuh serta mengamalkan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Alhamdulillah, kita telah dijadikan Allah, sebagai orang-orang mukmin, yang beriman kepada Allah, yang kepada-Nya kembali segala pujian, kebesaran dan kemuliaan. Marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah swt yang dengan rahmat dan pertolongan-Nya, kita masih lagi bernafas, masih lagi dapat bergerak dan dapat pula bersama-sama berkumpul di Masjid ini .

Dengan kuasa dan kehendak Allah jua, kita masih dapat terus menghirup udara pada hari ini, mata kita masih dapat melihat dan menikmati keindahan alam disekeliling kita, telinga kita masih dapat mendengar dan menikmati pelbagai bunyi-bunyian yang merdu, mulut kita masih terus boleh berkata-kata dan menikmati kelazatan makanan dan minuman. Akal kita masih segar dan waras, dapat berfikir, dapat mencari huraian bagi berbagai masalah-masalah hidup yang kita tempohi. Tidakkah itu semua cukup untuk menyedarkan kita agar mensyukuri Allah yang menjadikan segala nikmat-nikmat itu. Lalu menyedarkan kita untuk berfikir sejauh manakah tahap keimanan dan taqwa kita Allah swt.

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sudahkah kita renungkan, berfikir kenapa kita dijadikan Allah. Apakah yang akan kita bentangkan dihadapan Allah nanti. Allah telah memberikan kita peringatan-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Hasyr, ayat 18: Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah. Hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dipersiapkannya untuk hari esok. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah tahu benar apa yang kamu lakukan".

Kita diperintahkan Allah supaya bertaqwa kepada-Nya dan membuat persiapan untuk masa esok yang pasti akan datang. Apakah itu taqwa ? Taqwa ialah taat dan patuh menjalankan ajaran agama dalam segala aspek kehidupan kita. Bukan hanya dalam sebahagian aspek sahaja, ia bukan hanya dalam aspek ibadat sahaja, bukan hanya dalam aspek hubungan kita dengan Allah sahaja. Malah ia lebih luas dari itu, ia meliputi segala yang kita lakukan, mahu ia ibadat, ekonomi, kemasyarakatan dan seterusnya. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan At-Tarmizi :

Yang ertinya : "Bertaqwalah kepada Allah dimana sahaja kamu berada, dan kerjakanlah kebajikan agar kebajikan itu dapat menghapus kejahatan; dan bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik".

Kaum muslimin rahimakumullah,

Allah juga memerintahkan kita pada ayat yang dibacakan tadi agar kita membuat persiapan untuk hari esok yang pasti akan tiba. Perintah ini mengandungi erti yang mendalam. Bagaimanakah kita dapat membuat persediaan untuk hari esok jika kita tidak memahami hari ini ? Dari ayat ini juga, kita diajarkan bahawa sebagai seorang muslim, yang sepatutnya menjadi hala tuju kita ialah masa depan, maslahah jangka panjang bukan penyelesaian jangka pendek. Falsafah hidup pengangan kita seharusnya ialah hari ini hendaklah lebih baik dari semalam, dan hari esok hendaklah lebih cerah dari hari ini.

Jadi bagi umat Islam, masa depan kita selama berada didunia ini hendaklah baik. Digunakan untuk kesenangan kita dan untuk mengadakan persiapan untuk masa depan kita di akhirat nanti. Inilah doa orang mukmin sebagaimana yang diajarkan oleh Allah dalam bentuk doa yang indah yang tersebut dalam surah Al-Baqarah, ayat 201 :

Yang bermaksud : "Dan diantara mereka ada yang berdoa : Wahai Tuhan kami ! Berikan kami kebaikan di dunia. Dan berikanlah kami kebaikan di akhirat. Lindungilah kami dari siksaan api Neraka".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Taqwa adalah sebaik-baik bekalan bagi persiapan kita. Ini jelas dinyatakan Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 197 :

Yang ertinya : "Dan berbekallah kamu sekelian, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah Taqwa. Maka kerana itu, bertaqwalah kamu kepada-Ku, wahai orang-orang yang beriman".

Taqwa ini jika benar dapat kita tanamkan dalam diri kita, akan menjadikan kita sebagai seorang mukmin yang mempunyai kemampuan untuk dapat membezakan mana yang hak dan mana yang bathil, mana yang benar dan mana yang salah, mana yang baik dan mana yang buruk. Mukmin yang sebegini, akan diampunkan Allah dosa-dosa dan kesalahannya. Ini dijanjikan Allah. Firman Allah dalam surah Al Anfal, ayat 29 :

Ertinya : "wahai orang yang beriman ! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, akan diberinya kamu "furqan" (Pembeda antara yang salah dan yang benar). Dan akan dihapuskan daripadamu kesalahan-kesalahan kamu. Dan Allah akan ampuni kamu. Allah amat besar kurnia-Nya".

Moga-moga kita dapat menjadi orang yang bertaqwa, yang teguh keyakinannya, tekun dalam menuntut ilmu, semakin bertambah ilmunya, semakin merendah dirinya, semakin berkuasa, semakin bertambah kebijaksanaannya, selalu bersyukur dan bertafakur, bersih dan sabar walaupun miskin, hidup hemat dan sederhana walaupun kaya, murah hati dan dermawan, tidak suka menghina dan mengejek, tidak menghabiskan waktu untuk yang sia-sia, tidak berkeliaran membawa fitnah, disiplin dan bertanggung jawab dalam melaksanakan tugasnya, tinggi dedikasinya, terpelihara identiti dan harga dirinya, tidak menuntut yang bukan haknya dan tidak menahan hak orang lain, kalau bersalah cepat beristighfar, kalau ditegur merasa menyesal, kalau dimaki atau dicaci, dia tersenyum sambil berkata : "Jika cacianmu itu benar, aku bermohon kepada Allah semoga mengampuniku, dan jika makianmu itu keliru, semoga Allah mengampunimu".

Barakallah.....