Tajuk:"CABARAN KELUARGA MASAKINI"
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan
menghayati sepenuhnya kandungan ajaran Islam agar kita dapat
menyelamatkan diri dan keluarga dari azab api neraka.
Saudara-saudara sekelian,
Zaman sekarang adalah zaman yang penuh dengan perubahan yang
pesat. Perubahan-perubahan ini membawa bersamanya berbagai
cabaran. Berjaya atau tidak seseorang itu banyak bergantung kepada
bagaimana ia menangani cabaran-cabaran tersebut.
Antara cabaran-cabaran yang kita tempuhi hari ini adalah cabaran
membina sebuah keluarga yang bahagia, yang berlandaskan lunas-lunas
Islam. Bagaimana kita membesarkan anak-anak kita di sekitaran yang
mencabar nilai-nilai murni Islam. Bagaimana kita menyesuaikan diri kita
dengan perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman ibu bapa kita.
Dewasa ini kita lihat ramai di kalangan keluarga Islam yang mana kedua-
dua suami dan isteri keluar bekerja. Kita lihat semakin ramai kanak-kanak
yang dijaga oleh datuk dan nenek mereka, atau dijaga oleh pembantu-
pembantu rumah. Kita lihat peranan tradisional seorang ibu dan isteri
terpaksa menghadapi perubahan apabila gaya hidup dan persepsi
masyarakat berubah.
Sidang hadhirin yang dirahmati Allah,
Islam tidak melarang seorang isteri keluar bekerja. Islam tidak melarang
seorang isteri membantu suaminya menambah pendapatan keluarga.
Tetapi Islam telah menggariskan syarat-syarat dan garis pandu agar umat
Islam dapat terus menikmati kehidupan yang bahagia. Islam adalah
agama yang syumul. Islam adalah agama yang universal. Islam adalah
agama yang tidak mengenal sempadan negara, budaya atau masa. Maka
Islam telah meletakkan garis pandu tersebut untuk mereka yang ingin
mencari kebahagian di dunia dan di akhirat.
Peranan suami dan isteri dalam Islam adalah jelas. Begitu juga tanggung-
jawab masing-masing. Seorang suami berkewajipan menyara kehidupan
isteri dan anak-anaknya. Seorang isteri berkewajipan mentaati dan
menjaga hak dan maruah suaminya. Kedua-dua suami dan isteri
berkewajipan membesarkan dan mendidik anak-anak mereka mengikut
didikan Islam.
Maka apabila seorang isteri keluar bekerja, ia mestilah atas keizinan dan
keredhaan suami. Apabila seorang isteri keluar bekerja, ia wajib
memastikan bahawa keluarga dan rumah yang ditinggalkannya tidak
terbengkalai. Dan biasanya, kita lihat isteri keluar bekerja adalah untuk
menambah pendapatan keluarga.
Sebagai suami, sebagai ketua keluarga, kita harus menghayati beberapa
perkara. Pertama: Apabila kita membenarkan isteri kita bekerja, ia tidak
bermakna bahawa isteri kita mesti berkongsi kewajipan mencari nafkah.
Memberi nafkah terhadap isteri dan anak-anak tetap menjadi tanggung-
jawab seorang suami. Islam tidak membebankan tanggung jawab mencari
rezeki ke atas isteri-isteri kita. Maka sebagai suami, kita tidak harus
memerintahkan atau memaksa isteri kita keluar bekerja. Sebagai suami,
kita harus berusaha sedaya upaya untuk menyara hidup keluarga kita.
Sekiranya isteri bekerja, itu hanya untuk menolong suami dalam usaha
menambah nafkah atau mungkin hanya sebagai pendapatan tambahan.
Kedua: Apabila isteri kita keluar bekerja, maka sebagai suami, kita harus
memahami keadaan mereka. Kita tidak harus memerintahkan mereka
membuat kerja rumah selepas pulang dari kerja sedangkan kita hanya
duduk berehat di atas kerusi. Masing-masing telah bekerja. Masing-
masing mengalami penat. Adakah patut dalam keadaan ini kaum yang
lebih kuat duduk diam sedangkan kaum yang lemah diperintahkan
melayaninya? Adakah ini suatu keadilan?
Sebaliknya, seorang suami harus sama-sama membantu isterinya dalam
kerja-kerja rumah. Daripada kita hanya duduk di hadapan telivisyen dan
mengharapkan si isteri menyiapkan makanan malam, kita sepatutnya
bersama-sama mereka di dapur, membantu mereka, atau sekurang-
kurangya membuat kerja-kerja rumah lain. Dengan ini, kita dapat
meringankan tugas isteri kita. Ini akan mempertingkatkan kesefahaman
dan merapatkan lagi hubungan antara suami dan isteri. Ini akan
menambahkan rasa kasih dan sayang antara kedua pasangan tersebut
dan membuat si isteri lebih menghargai sumbangan suami. Rumahtangga
merupakan perkongsian hidup antara pasangan suami isteri. Memastikan
kemantapannya dalam semua segi adalah tanggungjawab bersama.
Marilah kita lihat contoh kehidupan rumahtangga Rasulullah s.a.w. Beliau
tidak pernah berasa keberatan untuk menolong isteri-isteri beliau dalam
kerja-kerja rumah. Beliau tidak marah apabila isteri beliau tidak dapat
menyediakan sarapan lantaran tiada makanan. Malah beliau hanya
berkata bahawa beliau akan berpuasa untuk hari itu. Rasulullah s.a.w
merupakan contoh utama bagi umat Islam. Lihat bagaimana Rasulullah
s.a.w menjahit baju beliau sendiri. Seseorang Rasul yang sibuk dengan
berbagai tugas dakwah, menjahit bajunya sendiri! Lihat bagaimana
baginda tidak pernah memarahi isteri-isteri baginda kecuali apabila hukum
Allah dilanggar. Baginda tidak marah apabila isteri-isteri baginda kurang
berkemampuan melayani kehendak baginda. Inilah contoh seorang
manusia yang kamil, yang lengkap. Maka benarlah apa yang disabdakan
beliau:
"Orang yang paling baik diantara kamu ialah yang paling baik terhadap
isterinya. Aku adalah yang paling baik terhadap isteriku." (Hadith riwayat
Tarmizi).
Begitulah bagaimana Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh agar
diikuti oleh umatnya. Kita cinta terhadap Rasulullah. Kita menyambut hari
kelahiran baginda. Maka adalah wajib bagi kita mencontohi kehidupan
baginda sebagai tanda cinta kita terhadap baginda.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Perkara ketiga yang harus difahami oleh ibu-bapa yang bekerja zaman ini,
adalah tanggung-jawab mereka terhadap anak-anak mereka. Bagaimana
si anak menghadapi kekosongan didikan ibu-bapanya yang hilang bekerja
selama lapan jam setiap hari. Bagaimana kita mengatasi kekosongan
tersebut agar anak tadi tidak mencari kasih sayang dari teman-teman
yang mungkin liar, atau dari telivisyen yang mempamerkan nilai dan gaya
kehidupan yang bercanggah dengan Islam.
Inilah yang harus kita renungi.
Tidak ada ganti didikan yang lebih baik daripada didikan seorang ibu.
Tidak ada ganti kasih sayang bagi kasih sayang kedua ibu bapa. Adakah
kita tergamak membiarkan anak kita dididik, dijaga dan dibelai oleh orang
lain sedangkan kita yang bersusah payah melahirkan dan membesarkan
mereka?
Oleh yang demikian apabila seorang isteri terpaksa keluar bekerja untuk
menampung kekurangan nafkah keluarga, maka suaminya mesti
memahami dan sama-sama membantu menyediakan masa yang sesuai
untuk menjaga, mengasuh dan membelai anak-anak tersebut. Penjagaan
anak-anak bukanlah satu tugas mutlak bagi isteri. Bahkan, penjagaan
anak-anak adalah tanggung jawab bersama. Belaian yang diberi kepada
anak-anak semasa mereka kecil lagi akan mengeratkan perhubungan kita
dengan anak-anak di masa depan.
Pasangan suami isteri juga harus mengetahui pentingnya menimba ilmu
pengetahuan tentang kekeluargaan. Membesarkan anak dan menjaga
rumahtangga bukanlah satu perkara mudah yang boleh dipelajari
menerusi pengalaman. Suami isteri harus bersedia mengambil bahagian
dalam bengkel-bengkel penjagaan anak dan rumahtangga yang sering
dianjurkan oleh badan-badan setempat. Bagaimanapun, sering kali
berlaku perkara-perkara yang amat menyedihkan apabila kursus-kursus
seperti ini dianjurkan. Ini adalah kerana rata-rata sekitar 70% daripada
mereka yang hadir adalah kaum wanita, walaupun kadang-kadang topik
yang dibincangkan adalah mengenai peranan ketua keluarga. Di manakah
kaum bapa kita dalam hal ini?
Marilah kita merenung firman Allah s.w.t dalam surah At-Tahrim, ayat 6
yang berbunyi:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu dan diri keluarga
kamu dari api neraka yang kayu bakarnya ialah manusia dan batu;
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak
menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka
dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperntahkan."