Tajuk: Pendidikan meningkatkan martabat manusia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita terus berusaha mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan dan perintahnya serta meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan dengan demikian kita semua menjadi golongan yang dikasihi Allah.
Para jemaah yang dikasihi,
Martabat manusia dapat diangkat dan menjadi lebih mulia daripada haiwan lain apabila akal dan jiwanya diasuh dan dididik dengan baik. Maka tidak memadai sekiranya pendidikan hanya diutamakan kepada aspek akal sahaja sedangkan aspek rohani diabaikan.
Islam sebagai agama yang sempurna telah mewajibkan penganutnya menuntut ilmu sebagaimana firman Allah:
Ertinya: Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan sekiranya kamu tidak mengetahui.
Dan sabda Rasulullah s.a.w
"Menuntut ilmu itu adalah suatu kewajipan keatas setiap Muslim."
Disamping itu Islam memerangi kejahilan sebagaimana firman Allah:
"Maka janganlah kamu sekelian menjadi orang-orang yang jahil."
Para jemaah yang dihormati,
Samada hal-hal yang berhubung dengan urusan keduniaan mahupun hal-hal yang berkaitan dengan urusan amal ibadat, ilmu amat diperlukan. Tanpa ilmu kita tidak dapat melaksanakan ibadat kita dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Ilmu menjadi syarat samada sah atau tidak amal ibadat yang kita lakukan. Bayangkanlah betapa ruginya kita apabila kita dapati amalan kita menjadi sia-sia disebabkan ianya dilakukan dengan tidak mengikut syarat-syarat yang ditentukan agama.
Tanpa ilmu juga manusia tidak dapat menjalani hidupnya di dunia ini dengan baik, samada hidup berkeluarga, bermasyarakat atau bernegara.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Kemajuan sesebuah negara, samada dibidang ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya, sangat-sangat bergantung kepada ilmu pengetahuan. Untuk mengurus ekonomi, ilmu adalah diperlukan Untuk mentadbir negara ia memerlukan ilmu pengetahuan. Untuk beramal juga memerlukan ilmu.
Ilmu yang baik dan bermanfaat akan mendorong seseorang untuk berakhlak mulia. Ilmu tersebut itu juga akan menjadikan seseorang mampu meberi manfaat dan sumbangan terhadap masyarakat dan negara. Dan sebaik-baik ilmu adalah ilmu yang membawa seseorang lebih dekat kepada Tuhannya, Allah Rabbul 'alamin.
Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Sesiapa yang bertambah ilmunya sedangkan tidak bertambah hidayah dari Allah, maka sesungguhnya ia semakin jauh dari Allah.
Saudara-saudara sidang Jumaat yang mulia,
Tidak dinafikan bahawa ilmu sains dan teknologi, ilmu hisab dan inggeris, adalah alat bagi kemajuan di dunia zaman sekarang. Akan tetapi, jika ilmu-ilmu tersebut tidak didasarkan bersama dengan ilmu agama, dengan pengetahuan agama Islam, maka ilmu-ilmu tersebut tiada manfaatnya di akhirat kelak. Maka adalah penting kita menanamkan ilmu-ilmu agama Islam dalam jiwa anak-anak kita, terutama sekali mereka yang masih lagi kanak-kanak. Ini adalah kerana kanak-kanak masih bersih. Apa yang diajarnya akan berkekalan sehingga dewasa.
Sebagai ibu-bapa, kita bertanggungjawab memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak kita. Hantarlah mereka ke kelas-kelas agama. Sekiranya kita tidak mampu menghantar mereka di madrasah-madarsah sepenuh masa, maka hantarlah mereka ke madrasah-madrasah separuh masa, atau kelas-kelas ugama di masjid-masjid.
Kita masin dan akan terus memerlukan bimbingan dan pimpinan para asatizah dan ulama untuk menjalani hidup yang penuh cabaran ini. Tanpa bimbingan ini kita khawatir kita akan hanyut oleh pengaruh dan perubahan hidup yang sangat pesat ini. Walaupun Rasulullah s.a.w tidak bersama kita, ktia bersyukur kerana kita mempunyai ulama yang berperanan sebagai pewaris nabi.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Ulama adalah pewaris nabi."
Ilmu agama adalah penting. Malah lebih penting dari segala ilmu yang lain. Apalah guna seseorang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi tidak memahami kehendak agamanya. Apalah guna seseorang disanjung di dunia ini tetapi tidak berjaya di akhirat kelak.
Tuntutlah ilmu sains dan sebagainya. Tetapi jangan lupa menuntut ilmu akhirat juga. Kerana ia akan menjamin kita di akhirat kelak.
Baarakallah....