Tanggungjawab ibu-bapa terhadap anak-anak
Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian ,
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kita mati melainkan di dalam keadaan menyerah diri kepada Allah SWT.
Maasyiral muslimin,
Anak-anak adalah kurnia dan rahmat dari Allah SWT kehadiran mereka di dalam keluarga adalah sesuatu yang dinantikan, kerana anak-anak merupakan salah satu sebab yang boleh membawa kebahagian untuk kedua orang tua. Sebaliknya pada masyarakat Musyrikin dahulu kehadiran anak-anak terutama anak-anak perempuan, adalah merupakan sesuatu yang sangat memalukan.
Di dalam Islam di samping kehadiran anak-anak merupakan kurnia dan rahmat dari Allah s.w.t mereka juga adalah amanah Allah yang diberikan kepada kedua orang tuanya yang merupakan pelaburan yang boleh membawa keuntungan yang besar jika amanah tersebut diperlihara dengan baik.
Kedua orang tua berkewajipan mendidik, mengarah dan mengasuh agar menjadi individu yang soleh dan berakhlak mulia. Maka apabila kewajipan ini dilaksanakan dengan baik oleh kedua orang tua dan pendidik, maka ia merupakan kebahagian di dunia dan akhirat. Sebagaimana firman Allah SWT :
Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu ; penajaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
Daripada Ayat tadi , Allah SWT menegaskan bahawa di antara peranan dan tanggungjawab kepimpinan keluarga adalah :
1. Memelihara dirinya dari api neraka.
2. Memelihara keluarganya dari ancaman api neraka.
Menurut Qatadah di dalam menafsirkan ayat ini :
Kamu perintahkan mereka taat kepada Allah s.w.t dan kamu larang mereka membangkang kepadaNya. Kamu tonton mereka melaksanakan perintah Allah, dan jika kamu melihat mereka membuat maksiat, maka kamu cegah mereka dan larang mereka daripada melakukannya.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
"Suruhlah anak-anakmu melakukan apa yang diperintahkan Allah dan tinggalkan apa yang dilarangNya, kerana demikian itu adalah benteng bagi mereka dari api neraka."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Memelihara keluarga dari ancaman nereka bukan sahaja bererti kita mesti bersikap pasif mencegah dari berbagai perbuatan maksiat. Tetapi juga bersikap aktif mendidik dan menerapkan nilai-nilai keislaman dalam diri mereka agar membentuk kubu, suatu daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh sekitaran yang penuh mencabar.
Peranan orang tua bukan sahaja menjadi sebagai "Tuan" dirumah, bahkan mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh. Sebagaimana yang ditekankan oleh nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadith yang bermaksud :
Dari Ibnu Umar r.a katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Setiap kamu adalah pemimpin (pengurus dan pengasuh) dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap pengurusannya. Seorang pemimpin adalah pengasuh dan bertanggungjawab keatas rakyatnya. Seorang suami adalah pengasuh rumahtangganya dan bertanggungjawab atas pimpinananya. Dan seorang isteri adalah pengasuh di rumahtangga suaminya dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya. (Muttafaqun 'alaihi)
Jika amanah pemberian ini tidak diperlihara, pendidikan dan akhlaknya tidak diarahkan dengan pengarahan yang baik dan sungguh-sungguh, maka anak-anak itu akan menjadi punca kerosakan. Bencana pada dirinya, keluarganya dan masyarakatnya.
Sidang Jumaat sekelian ,
Kajian hari ini menunjukkan bahawa kebanyakan ibu bapa bersikap lepas tangan. Mereka beranggapan yang mereka telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak mereka apabila menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk mendapatkan pelajaran yang akan menjamin masa depan hidup mereka. Sementara sekolah-sekolah yang dipilih pula memberikan pendidikan yang tidak seimbang kerana menyediakan ilmu pengetahuan duniawi dan mengarahkan mereka kepada perlumbaaan dunia ini.
Apa yang jelas kepada kita sekarang ialah pentingnya pendidikan untuk menyelamatkan diri kita semua daripada keruntuhan akhlak dan bencana azab di akhirat. Sememang itulah di antara sebab Allah mengutus dan membangkitkan para rasul dan Anbiya' di tengah-tengah masyarakat yang telah hancur nilai-nilai akhlak dan budi, dengan membawa petunjuk dari Allah s.w.t dan menjadi contoh teladan untuk diikuti oleh masyarakat manusia.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun :
Ketahuilah bahwa pendidikan al-Quran termasuk syiar agama yang diterima oleh umat Islam di seluruh dunia Islam. Oleh kerana pendidikan Al-Quran dapat meresapi ke dalam hati dan memperkuatkan iman, dan pengajaran Al-Quran patut didahulukan sebelum mengembangkan ilmu-ilmu yang lain.
Sidang Jumaat sekelian,
Pendidikan anak-anak dalam Islam mestilah dilakukan sejak awal lagi. Semakin awal adalah semakin baik. Kerana keadaan anak-anak lebih dekat dengan fitrahnya. Pesanan Ibnu Sina r.a : " ketika anak telah diasuh oleh ibunya, maka ajarkanlah adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk ".
Begitu juga sabda nabi SAW :
"Didiklah anak-anakmu dan elokkanlah adab mereka." (Ibnu Majah)
Ibnu Khaldun membahagikan tujuan pendidikan kepada :
Pertama : Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebab dengan cara itu potensi iman dapat diperkuatkan.
Kedua : Menyiapkan seseorang anak dari segi akhlak.
Ketiga : Menyiapkan seseorang dari segi pemikiran, sebab dengan pemikiran yang betul seseorang itu dapat memegang berbagai pekerjaan dan ketrampilan tertentu.
Imam Al-Ghazali menekankan bahawa tujuan pendidikan bukanlah untuk mencari rezeki di dunia, tetapi maksudnya ialah untuk sampai hakikat ilmu yang sebenar dan akhlak yang sempurna.
Tujuan akhir pendidikan Islam: pembentukan peribadi khalifah bagi anak didik yang memiliki fitrah, roh disamping tubuh badan yang sihat dan akal yang cergas, serta melahirkan anak-anak yang menghayati perjuangan Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
Mudah-mudahan dengan matlamat ini kita dapat membangunkan insan Muslim yang mempunyai keperibadian sepadu dan sempurna dan menjadi anggota masyarakat yang berguna. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Marilah kita menasihati anak-anak kita sepertimana yang dinasihatkan oleh Lukman Al-Hakim kepada anaknya:
Wahai anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah yang baik dan cegahlah perkara yang mungkar. Dan bersabarlah atas musibah yang menimpa kamu. Sesungguhnya itulah perkara yang diwajibkan. Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
Baarakallah.....
5